Friday, July 8, 2011

Jangan beri bank kod potongan gaji

KUALA TERENGGANU 29 Jun 2011 – Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berharap kerajaan tidak mudah tunduk kepada desakan institusi perbankan dan kewangan agar kod potongan gaji kakitangan kerajaan turut diberikan kepada mereka.
Presidennya, Prof. Datuk Mohd. Ali Baharum berkata, kerajaan perlu mempertahankan keputusan yang dibuat pada 2009 dengan menolak permohonan sedemikian demi masa depan koperasi di negara ini.
Beliau percaya kerajaan akan lebih memikirkan nasib 615 koperasi berfungsi kredit dan perbankan di negara ini dengan berjuta ahli daripada kelompok pemegang saham institusi kewangan yang berterusan mahu mengaut keuntungan lebih besar.
“Jika diberikan, ia akan mewujudkan persaingan langsung dan koperasi tidak akan mampu berdepan dengan had pinjaman terbatas sedangkan mereka berupaya memberikan pinjaman yang jauh lebih besar.
“Ini secara tidak langsung menyekat orang ramai menyertai koperasi, manakala ahli akan beransur meninggalkannya. Ia secara perlahan-lahan akan melemah dan menguburkan koperasi apabila sukar memberi pulangan kepada ahli nanti,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia di sini hari ini selepas menyerahkan zakat Angkasa kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berjumlah RM47,000 melalui Tengku Sri Bendahara Raja di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment