Thursday, July 14, 2011

UniFi TM diperluas ke seluruh negara

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/07/14
Liputan keseluruhan premis kepada 1.1 juta berbanding 110,000 premis sekarang

PEMBANGUNAN perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) Telekom Malaysia Bhd (TM) atau UniFi berjalan lancar dan kini sedang diperluas secara berperingkat ke sembilan lagi kawasan baru menjelang akhir tahun ini daripada 69 kawasan di seluruh negara sekarang.
Dengan perluasan ke kawasan baru itu, ia akan menjadikan keseluruhan premis yang diliputi perkhidmatan UniFi TM itu kepada kira-kira 1.1 juta daripada 110,000 premis sekarang.
TM sebelum ini dilaporkan menyasar memenuhi sasaran liputan 1.3 juta premis menjelang akhir tahun depan menerusi fasa pertama projek HSBB yang membabitkan perbelanjaan keseluruhan RM11.3 bilion itu.

Naib Presiden Jualan TM Bahagian Selangor, Datuk Zaini Maatan, berkata sejajar dengan perluasan capaian UniFi secara berperingkat ke seluruh negara, TM kini lebih agresif mengadakan rundingan dengan pemaju utama kawasan perbandaran, selain melaksanakan kempen pemasaran bagi mendidik pengguna dan menarik pelanggan baru.

“Beberapa rundingan untuk mengembangkan perkhidmatan UniFi dilakukan yang kami jangkakan dalam tempoh terdekat ini lima lagi kawasan perbandaran baru dapat dimuktamadkan,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian bagi pelaksanaan infrastruktur rangkaian dan perkhidmatan HSBB antara TM dengan TTDI Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Naza TTDI di Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu, Zaini mewakili TM, manakala TTDI Land diwakili Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin.
Ia disaksikan Pengurus Besar, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) TM, Mohamad Yusman Ammeran; dan Pengurus Besar, Perancangan dan Pembangunan Produk Naza TTDI, Zaidi Baharudin.

Lima kawasan baru yang akan menerima perkhidmatan UniFi dalam tempoh terdekat ini adalah di Melaka, Negeri Sembilan dan beberapa kawasan perbandaran lain di sekitar Lembah Klang,

Daripada 69 kawasan yang diliputi perkhidmatan menerusi inisiatif HSBB yang dilancarkan secara komersial pada Julai tahun lalu itu, 60 adalah di Lembah Klang, tiga di Pulau Pinang, satu di Kedah dan Negeri Sembilan, serta empat di Johor.

Terdahulu, pada sidang media yang sama, Zaini berkata, menerusi perjanjian dengan Naza TTDI itu, TM akan menawarkan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada projek Bandar TTDI Alam Impian, sekali gus menjadikan bandar yang terletak di Seksyen 35 Shah Alam itu sebagai bandar UniFi pertama di Zon Tengah (kawasan perbandaran di Selangor dan Cyberjaya).

Projek di kawasan yang memiliki 1,450 unit kediaman pelbagai jenis seperti banglo, rumah berkembar, rumah teres super, town house, apartmen dan unit komersial itu, dijangka disiapkan sepenuhnya menjelang 2016.

UniFi yang ditawarkan di kawasan itu merangkumi tiga komponen iaitu internet berkelajuan tinggi, video (televisyen protokol internet atau IPTV) dan suara dengan kelajuan dari lima megabit sesaat (Mbps) hingga 20Mbps menerusi penggunaan teknologi infrastruktur rangkaian gentian ke rumah (FTTH).

No comments:

Post a Comment