Thursday, July 14, 2011

RM1b bina loji jana kuasa solar

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2011/07/14

BCorp rancang bangunkan di Bukit Tagar dengan kerjasama POSCO E&C

BERJAYA Corporation Bhd (BCorp) akan membangunkan sebuah loji jana kuasa solar dengan kapasiti menjana 100 megawatt (MW) tenaga elektrik di Bukit Tagar, Selangor membabitkan pelaburan bernilai kira-kira RM1 bilion.
Ia dirancang dilaksanakannya dengan kerjasama POSCO Engineering & Construction Co Ltd (POSCO E&C), iaitu antara lima syarikat pembinaan terbesar Korea Selatan yang turut mempunyai kepakaran luas dalam sektor teknologi hijau menerusi pembabitannya dalam beberapa projek tenaga boleh diperbaharui dan loji petrokimia.
Penerokaan ke dalam sektor tenaga boleh diperbaharui itu adalah antara langkah BCorp mempelbagaikan lagi sumber pendapatannya, selain bertujuan menampung keperluan sumber tenaga alternatif di negara ini.

Pengerusi BCorp, Tan Sri Vincent Tan, berkata pihaknya sudah menghantar kertas cadangan bagi pembinaan loji kuasa solar itu kepada kerajaan awal tahun ini dan sedang menunggu keputusannya.

“Bagi loji kuasa solar, kita perlukan penetapan harga ‘feed-in-tariff’ (FiT) yang berdaya maju dan sepadan dengan pelaburan. Setakat ini Tenaga Nasional Bhd (TNB) turut menghasilkan tenaga solar, tetapi dalam jumlah kecil dan kami meninjau peluang menjana kapasiti lebih besar,” katanya selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara BCorp dengan POSCO E&C di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau memeterai perjanjian itu bagi pihak BCorp, manakala POSCO E&C diwakili Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Chung Dong-Hwa.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua syarikat berkongsi kepakaran serta sumber untuk meneroka dan mengenal pasti peluang perniagaan dalam sektor tradisional.

Ini termasuk pembangunan hartanah, pembinaan infrastruktur selain bidang perniagaan baru seperti tenaga boleh diperbaharui.

Jika menjadi kenyataan, loji yang dirancang dibina oleh BCorp di Bukit Tagar itu akan menjadi loji jana kuasa solar terbesar di negara ini.

Sebelum ini, BCorp menerusi syarikat usaha samanya dengan KUB Malaysia Bhd, iaitu KUB Berjaya Enviro Sdn Bhd, mengendalikan pusat pengurusan sisa pepejal di Bukit Tagar yang dirancangnya dibangunkan sebagai pusat penghasilan tenaga boleh diperbaharui.

BCorp juga menceburi sektor tenaga hijau menerusi pembabitan dalam projek pengurusan kumbahan air dan sisa pepejal di China.

Sementara itu, Tan berkata, kerjasama pertama yang dijalin BCorp dan POSCO E&C adalah projek pembinaan resort kediaman dan komersial, Berjaya Jeju Resort di Korea yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) AS$2.9 bilion (RM8.7 bilion).

“POSCO E&C akan menjadi kontraktor utama fasa pertama Berjaya Jeju Resort yang dimajukan oleh Berjaya Land Bhd. Setakat ini BCorp telah melabur kira-kira AS$30 juta dari segi infrastruktur dan pembelian tanah untuk memajukan projek itu,” katanya.

Di Malaysia, POSCO E&C turut membida projek sambungan transit aliran ringan (LRT) laluan Ampang dan aliran transit massa (MRT) Lembah Klang.

Tan berkata, jika POSCO E&C berjaya dalam bidaan itu, BCorp tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dalam beberapa bahagian projek berskala mega berkenaan.

No comments:

Post a Comment