Friday, July 8, 2011

Sedia pelbagai perkhidmatan secara lebih dekat, mesra orang ramai

BANK Muamalat Malaysia Bhd merancang membuka 12 kios perkhidmatannya di seluruh negara dalam tempoh satu atau dua tahun ini.
Selain dilengkapi mesin ATM dan CDM, kios itu akan turut menyediakan perkhidmatan membuka akaun dan permohonan bagi pembiayaan runcit, rumah, kenderaan dan peribadi.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Munir Abdul Majid, berkata melalui pembukaan kios itu, pihaknya mampu mendekati orang ramai dengan lebih mudah dan dalam suasana lebih mesra.

Beliau berkata, kios yang dibuka tujuh hari seminggu itu memberikan perkhidmatan hampir menyamai cawangan penuh.

“Pengendaliannya juga lebih murah lima atau enam kali ganda berbanding operasi cawangan.

“Dengan pembukaan kios itu, kami percaya Bank Muamalat dapat mencapai pertumbuhan 15 peratus dari segi pembiayaan, 25 peratus untuk simpanan runcit dan peningkatan pelanggan hingga 20 peratus untuk tahun kewangan berakhir pada Mac 2012,” katanya selepas merasmikan kios Bank Muamalat pertama di negara ini di pasar raya besar Giant, Kemuning Utama, Shah Alam, semalam. Hadir sama, Ketua Eksekutif BMMB, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.
Kios Bank Muamalat pertama yang beroperasi di sempadan Kemuning Utama dan Bukit Kemuning sejak 23 Mei lalu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan mencatat urus niaga kira-kira RM5 juta dalam tempoh sebulan.

Kios kedua akan dibuka di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru akhir bulan depan bagi kemudahan rakyat negara ini yang sering berulang alik ke Singapura dan tidak berkesempatan melakukan urusan perbankan.

Munir berkata, Bank Muamalat yang kini mempunyai hampir 60 cawangan di seluruh negara juga sudah menjalinkan kerjasama dengan Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) untuk menawarkan perkhidmatan perbankan menerusi lebih 400 cawangan Pos Malaysia di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

No comments:

Post a Comment