Wednesday, July 13, 2011

SSM jalin pakatan galak orang ramai ceburi perniagaan

2011/07/13
SURUHANJAYA Syarikat Malaysia (SSM) menjalinkan pakatan dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menggalakkan lebih ramai orang menceburi bidang perniagaan.

Menerusi pakatan itu, ia akan menyediakan produk dan perkhidmatan yang berbeza dan istimewa untuk masyarakat, khususnya golongan peniaga dan pengusaha, memandangkan golongan berkenaan bakal menjadi teraju kepada perkembangan ekonomi negara.
Pakatannya dengan TM akan menyaksikan mereka yang memperbadankan syarikat dan mendaftar perniagaan ditawarkan produk ‘office in a box’ (OIAB) bagi membantu urusan pada peringkat permulaan perniagaan.
Dengan caj serendah RM198 sebulan, OIAB akan menawarkan ciri istimewa yang sesuai dengan keperluan perniagaan termasuk kadar panggilan menarik dan capaian tanpa had menerusi pakej perkhidmatan jalur lebar perniagaan.

Pakej yang merangkumi perkhidmatan suara, jalur lebar, domain e-mail dan beberapa perkhidmatan tambah nilai lain itu menyediakan penyelesaian komunikasi lengkap dan mudah yang direka khas untuk memberikan perkhidmatan bagi operasi perniagaan berkonsepkan ‘small-office-home-office’ (SoHo) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pakatan SSM dengan BSN pula akan memberikan kemudahan kepada peniaga yang tinggal di pedalaman atau jauh dari pejabat SSM, memperbaharui sijil pendaftaran perniagaan mereka di mana-mana 389 cawangan bank itu itu di seluruh negara.

Caj yang dikenakan ialah hanya RM3.50 untuk setiap transaksi.
Ketua Eksekutif SSM, Datuk Azmi Ariffin, berkata dua inisiatif itu diharapkan akan menggalakkan pertumbuhan syarikat dan perniagaan di Malaysia.

Beliau berkata, jumlah syarikat yang diperbadankan ketika ini adalah 950,000, manakala perniagaan berdaftar pula berjumlah 4.5 juta.

“Pakatan SSM dengan TM ini dijangka menarik minat 4,000 syarikat untuk memperbadankan perniagaan mereka dengan kami menjelang akhir tahun ini.

“Ia akan menjadikan jumlah keseluruhan syarikat yang akan memperbadankan perniagaan mereka dengan SSM meningkat kepada 48,000 tahun ini berbanding 44,000 tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian kerjasama dengan TM dan BSN di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis berkenaan, SSM diwakili Azmi dan Timbalan Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan), Zahrah Abd Wahab Fenner; manakala TM oleh Naib Presiden Eksekutif Kanan Bahagian PKS, Azizi A Hadi, dan Pengurus Besar PKS TM, Mohamad Yusman Ammeran.

Sementara itu, BSN pula diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Adinan Maning; dan Timbalan Ketua Eksekutif, Perbankan, Pengguna dan Pembangunan Perniagaan, Yunos Abd Ghani.

Ia turut disaksikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; dan Pengerusi TM, Datuk Dr Halim Shafie.

Sehingga Mei lalu, 18,825 syarikat tempatan dan 20 syarikat asing baru diperbadankan dengan SSM.

No comments:

Post a Comment