Wednesday, July 13, 2011

Tony dipilih hos The Apprentice edisi Asia

2011/07/13

Kejayaan pengasas AirAsia tarik minat produksi kendali program

TOKOH usahawan industri penerbangan, Tan Sri Tony Fernandes, akan menjadi hos edisi Asia siri televisyen digemari ramai, The Apprentice.
Ia diumumkan semalam oleh penerbit bagi Asia program realiti itu, RGM iaitu sebuah syarikat filem dan televisyen yang berpangkalan di Singapura.
The Apprentice yang direka dan diterbitkan Mark Burnett Productions, mencatatkan kejayaan selepas kemunculannya pada 2004 di Amerika Syarikat dengan jutawan Donald Trump sebagai hos dan penerbit eksekutif bersamanya.

Program berkenaan sejak itu sudah difrancaiskan pada peringkat antarabangsa, termasuk di United Kingdom yang dihoskan Lord Sugar.

“Kami gembira dengan kehadiran Tony dalam program itu. Beliau seorang ahli perniagaan yang berjaya, berkarisma dan tokoh Asia yang boleh dikaitkan dengan kejayaan di seluruh dunia,” kata Ketua Eksekutif RGM, Devesh Chetty ketika mengumumkan program itu.

Seorang daripada pemimpin perniagaan termuda dan terkenal, Tony yang kini adalah Ketua Eksekutif Kumpulan dan pengasas AirAsia Bhd, adalah penggerak di sebalik, Tune Group Sdn Bhd, syarikat induk AirAsia dan pasukan Formula One Lotus Racing.
Beliau dijangka menambahkan lagi tarikan pada sesi temu bual rancangan itu dengan perbicaraan jenaka tetapi pintarnya, membuat keputusan berani dan ketabahan sebagai seorang usahawan.

Ketika mengulas perkara itu, Tony berkata: “Adalah sesuatu menarik untuk menjadi peneraju The Apprentice Asia.”

“Kita akan menyaksikan bakat perniagaan yang cemerlang di rantau ini bersaing dari jalanan ke bilik lembaga pengarah,” katanya.

The Apprentice Asia akan menghimpunkan sejumlah eksekutif perniagaan pelbagai industri dan negara di rantau ini dengan melakukan penyingkiran sehingga seorang calon menjadi perantis bergaji besar kepada Fernandes. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment