Sunday, July 24, 2011

Sparkleen tawar program francais

Oleh Mahanum Abdul Aziz

2011/07/25
SPARKLEEN, pusat cucian kering dan perkhidmatan dobi milik penuh Diversified Dry Clean Corporation Sdn Bhd menawarkan program francais kepada usahawan yang berminat menceburi perniagaan dobi dan cucian kering.

Ia menawarkan program francais lengkap termasuk pemilihan tapak, reka bentuk ruang premis, latihan pengurusan perniagaan, latihan tenaga kerja dan sokongan premis perniagaan serta pemasaran yang berterusan.
Pengasas dan Ketua Eksekutifnya, Dr Hasnorliza Abu Hassan berkata, melalui program francais Sparkleen itu, pihaknya akan memberi bimbingan yang sewajarnya bagi membantu usahawan yang berminat dan berpotensi untuk memajukan diri dalam bidang perniagaan itu.

“Program francais kami bukan saja untuk mereka yang berminat dan baru berjinak-jinak untuk memulakan perniagaan, malah meliputi sokongan dan bimbingan untuk memperkembangkan perniagaan di samping mengekalkan mutu perkhidmatan dan penjagaan yang tinggi selain mengutamakan kehendak pelanggan.

“Program ini adalah peluang yang tepat kepada mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan mereka sendiri memandangkan kami menyediakan bantuan dan bimbingan lengkap untuk berjaya dalam bidang perniagaan dobi dan cucian kering ,” katanya.

Sparkleen kini mempunyai dua cawangan, iaitu di Shah Alam dan Taman Equine yang menawarkan perkhidmatan dobi lengkap bermula daripada pengambilan kepada pembersihan sehingga penghantaran terus kepada pelanggan.
Pusat dobi dan cucian kering berkenaan turut menawarkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi, pantas dan mesra pelanggan dengan sasaran pelanggannya terdiri daripada kelas menengah hingga atasan.

Sebagai anggota Institut Dobi dan Cucian Kering, ia sentiasa memastikan piawaian yang tinggi dari segi operasi dan perkhidmatan untuk memenuhi kehendak pelanggan.

Pusat dobi dan cucian kering berkenaan juga menyasarkan untuk muncul sebagai pusat cucian kering valet dan perkhidmatan dobi utama di Lembah Klang pada masa depan.

Sparkleen adalah antara syarikat yang mengambil bahagian dalam Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Thursday, July 14, 2011

RM1b bina loji jana kuasa solar

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2011/07/14

BCorp rancang bangunkan di Bukit Tagar dengan kerjasama POSCO E&C

BERJAYA Corporation Bhd (BCorp) akan membangunkan sebuah loji jana kuasa solar dengan kapasiti menjana 100 megawatt (MW) tenaga elektrik di Bukit Tagar, Selangor membabitkan pelaburan bernilai kira-kira RM1 bilion.
Ia dirancang dilaksanakannya dengan kerjasama POSCO Engineering & Construction Co Ltd (POSCO E&C), iaitu antara lima syarikat pembinaan terbesar Korea Selatan yang turut mempunyai kepakaran luas dalam sektor teknologi hijau menerusi pembabitannya dalam beberapa projek tenaga boleh diperbaharui dan loji petrokimia.
Penerokaan ke dalam sektor tenaga boleh diperbaharui itu adalah antara langkah BCorp mempelbagaikan lagi sumber pendapatannya, selain bertujuan menampung keperluan sumber tenaga alternatif di negara ini.

Pengerusi BCorp, Tan Sri Vincent Tan, berkata pihaknya sudah menghantar kertas cadangan bagi pembinaan loji kuasa solar itu kepada kerajaan awal tahun ini dan sedang menunggu keputusannya.

“Bagi loji kuasa solar, kita perlukan penetapan harga ‘feed-in-tariff’ (FiT) yang berdaya maju dan sepadan dengan pelaburan. Setakat ini Tenaga Nasional Bhd (TNB) turut menghasilkan tenaga solar, tetapi dalam jumlah kecil dan kami meninjau peluang menjana kapasiti lebih besar,” katanya selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara BCorp dengan POSCO E&C di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau memeterai perjanjian itu bagi pihak BCorp, manakala POSCO E&C diwakili Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Chung Dong-Hwa.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua syarikat berkongsi kepakaran serta sumber untuk meneroka dan mengenal pasti peluang perniagaan dalam sektor tradisional.

Ini termasuk pembangunan hartanah, pembinaan infrastruktur selain bidang perniagaan baru seperti tenaga boleh diperbaharui.

Jika menjadi kenyataan, loji yang dirancang dibina oleh BCorp di Bukit Tagar itu akan menjadi loji jana kuasa solar terbesar di negara ini.

Sebelum ini, BCorp menerusi syarikat usaha samanya dengan KUB Malaysia Bhd, iaitu KUB Berjaya Enviro Sdn Bhd, mengendalikan pusat pengurusan sisa pepejal di Bukit Tagar yang dirancangnya dibangunkan sebagai pusat penghasilan tenaga boleh diperbaharui.

BCorp juga menceburi sektor tenaga hijau menerusi pembabitan dalam projek pengurusan kumbahan air dan sisa pepejal di China.

Sementara itu, Tan berkata, kerjasama pertama yang dijalin BCorp dan POSCO E&C adalah projek pembinaan resort kediaman dan komersial, Berjaya Jeju Resort di Korea yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) AS$2.9 bilion (RM8.7 bilion).

“POSCO E&C akan menjadi kontraktor utama fasa pertama Berjaya Jeju Resort yang dimajukan oleh Berjaya Land Bhd. Setakat ini BCorp telah melabur kira-kira AS$30 juta dari segi infrastruktur dan pembelian tanah untuk memajukan projek itu,” katanya.

Di Malaysia, POSCO E&C turut membida projek sambungan transit aliran ringan (LRT) laluan Ampang dan aliran transit massa (MRT) Lembah Klang.

Tan berkata, jika POSCO E&C berjaya dalam bidaan itu, BCorp tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dalam beberapa bahagian projek berskala mega berkenaan.

UniFi TM diperluas ke seluruh negara

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/07/14
Liputan keseluruhan premis kepada 1.1 juta berbanding 110,000 premis sekarang

PEMBANGUNAN perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) Telekom Malaysia Bhd (TM) atau UniFi berjalan lancar dan kini sedang diperluas secara berperingkat ke sembilan lagi kawasan baru menjelang akhir tahun ini daripada 69 kawasan di seluruh negara sekarang.
Dengan perluasan ke kawasan baru itu, ia akan menjadikan keseluruhan premis yang diliputi perkhidmatan UniFi TM itu kepada kira-kira 1.1 juta daripada 110,000 premis sekarang.
TM sebelum ini dilaporkan menyasar memenuhi sasaran liputan 1.3 juta premis menjelang akhir tahun depan menerusi fasa pertama projek HSBB yang membabitkan perbelanjaan keseluruhan RM11.3 bilion itu.

Naib Presiden Jualan TM Bahagian Selangor, Datuk Zaini Maatan, berkata sejajar dengan perluasan capaian UniFi secara berperingkat ke seluruh negara, TM kini lebih agresif mengadakan rundingan dengan pemaju utama kawasan perbandaran, selain melaksanakan kempen pemasaran bagi mendidik pengguna dan menarik pelanggan baru.

“Beberapa rundingan untuk mengembangkan perkhidmatan UniFi dilakukan yang kami jangkakan dalam tempoh terdekat ini lima lagi kawasan perbandaran baru dapat dimuktamadkan,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian bagi pelaksanaan infrastruktur rangkaian dan perkhidmatan HSBB antara TM dengan TTDI Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Naza TTDI di Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu, Zaini mewakili TM, manakala TTDI Land diwakili Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin.
Ia disaksikan Pengurus Besar, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) TM, Mohamad Yusman Ammeran; dan Pengurus Besar, Perancangan dan Pembangunan Produk Naza TTDI, Zaidi Baharudin.

Lima kawasan baru yang akan menerima perkhidmatan UniFi dalam tempoh terdekat ini adalah di Melaka, Negeri Sembilan dan beberapa kawasan perbandaran lain di sekitar Lembah Klang,

Daripada 69 kawasan yang diliputi perkhidmatan menerusi inisiatif HSBB yang dilancarkan secara komersial pada Julai tahun lalu itu, 60 adalah di Lembah Klang, tiga di Pulau Pinang, satu di Kedah dan Negeri Sembilan, serta empat di Johor.

Terdahulu, pada sidang media yang sama, Zaini berkata, menerusi perjanjian dengan Naza TTDI itu, TM akan menawarkan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada projek Bandar TTDI Alam Impian, sekali gus menjadikan bandar yang terletak di Seksyen 35 Shah Alam itu sebagai bandar UniFi pertama di Zon Tengah (kawasan perbandaran di Selangor dan Cyberjaya).

Projek di kawasan yang memiliki 1,450 unit kediaman pelbagai jenis seperti banglo, rumah berkembar, rumah teres super, town house, apartmen dan unit komersial itu, dijangka disiapkan sepenuhnya menjelang 2016.

UniFi yang ditawarkan di kawasan itu merangkumi tiga komponen iaitu internet berkelajuan tinggi, video (televisyen protokol internet atau IPTV) dan suara dengan kelajuan dari lima megabit sesaat (Mbps) hingga 20Mbps menerusi penggunaan teknologi infrastruktur rangkaian gentian ke rumah (FTTH).

Wednesday, July 13, 2011

Tony dipilih hos The Apprentice edisi Asia

2011/07/13

Kejayaan pengasas AirAsia tarik minat produksi kendali program

TOKOH usahawan industri penerbangan, Tan Sri Tony Fernandes, akan menjadi hos edisi Asia siri televisyen digemari ramai, The Apprentice.
Ia diumumkan semalam oleh penerbit bagi Asia program realiti itu, RGM iaitu sebuah syarikat filem dan televisyen yang berpangkalan di Singapura.
The Apprentice yang direka dan diterbitkan Mark Burnett Productions, mencatatkan kejayaan selepas kemunculannya pada 2004 di Amerika Syarikat dengan jutawan Donald Trump sebagai hos dan penerbit eksekutif bersamanya.

Program berkenaan sejak itu sudah difrancaiskan pada peringkat antarabangsa, termasuk di United Kingdom yang dihoskan Lord Sugar.

“Kami gembira dengan kehadiran Tony dalam program itu. Beliau seorang ahli perniagaan yang berjaya, berkarisma dan tokoh Asia yang boleh dikaitkan dengan kejayaan di seluruh dunia,” kata Ketua Eksekutif RGM, Devesh Chetty ketika mengumumkan program itu.

Seorang daripada pemimpin perniagaan termuda dan terkenal, Tony yang kini adalah Ketua Eksekutif Kumpulan dan pengasas AirAsia Bhd, adalah penggerak di sebalik, Tune Group Sdn Bhd, syarikat induk AirAsia dan pasukan Formula One Lotus Racing.
Beliau dijangka menambahkan lagi tarikan pada sesi temu bual rancangan itu dengan perbicaraan jenaka tetapi pintarnya, membuat keputusan berani dan ketabahan sebagai seorang usahawan.

Ketika mengulas perkara itu, Tony berkata: “Adalah sesuatu menarik untuk menjadi peneraju The Apprentice Asia.”

“Kita akan menyaksikan bakat perniagaan yang cemerlang di rantau ini bersaing dari jalanan ke bilik lembaga pengarah,” katanya.

The Apprentice Asia akan menghimpunkan sejumlah eksekutif perniagaan pelbagai industri dan negara di rantau ini dengan melakukan penyingkiran sehingga seorang calon menjadi perantis bergaji besar kepada Fernandes. – BERNAMA

Mercedes jual 3,900 kenderaan

Oleh Sophia Ahmad
sophia@bharian.com.my
2011/07/13

FOLGER (tengah) bersama Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kenderaan Penumpang dan Komersial, Kai Schlickum (kiri), menunjukkan model terbaru keluaran Mercedes-Benz Malaysia, di Petaling Jaya, semalam.
Perniagaan naik 22.6 peratus terbaik sejak mula bertapak di Malaysia

MERCEDES-BENZ Malaysia (MBM) menjual 3,900 unit kenderaan penumpang dan komersial dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu terbaik sejak ia bertapak di negara ini.
Ketua Eksekutifnya, Roland S Folger, berkata ia adalah peningkatan 22.6 peratus berbanding 3,182 unit dalam tempoh dijual dalam tempoh sama tahun lalu.
Jelasnya, syarikat itu tahun lalu mencatatkan jualan keseluruhan 7,000 unit membabitkan 5,003 kenderaan penumpang dan 1,967 unit kenderaan komersial.

“Berdasarkan prestasi memberangsangkan dalam separuh pertama tahun ini, kami berada di landasan tepat mencipta rekod baru dalam penjualan kenderaan penumpang dan komersial, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai peneraju industri kenderaan penumpang mewah di negara ini,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, semalam.

Folger berkata, bagi meningkatkan lagi jualan, Mercedes-Benz Malaysia sedang berusaha mencari peluang baru untuk mengukuhkan kehadiran jenama kereta mewah itu di negara ini, bukan saja di Lembah Klang tetapi ke seluruh negara.

“Pertumbuhan utama kami adalah di Lembah Klang kerana kebanyakan pelanggan berpusat di sini. Kami juga menyasarkan lokasi lain di bahagian timur atau selatan negara, seperti Iskandar Malaysia di Johor untuk fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya.

SSM jalin pakatan galak orang ramai ceburi perniagaan

2011/07/13
SURUHANJAYA Syarikat Malaysia (SSM) menjalinkan pakatan dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menggalakkan lebih ramai orang menceburi bidang perniagaan.

Menerusi pakatan itu, ia akan menyediakan produk dan perkhidmatan yang berbeza dan istimewa untuk masyarakat, khususnya golongan peniaga dan pengusaha, memandangkan golongan berkenaan bakal menjadi teraju kepada perkembangan ekonomi negara.
Pakatannya dengan TM akan menyaksikan mereka yang memperbadankan syarikat dan mendaftar perniagaan ditawarkan produk ‘office in a box’ (OIAB) bagi membantu urusan pada peringkat permulaan perniagaan.
Dengan caj serendah RM198 sebulan, OIAB akan menawarkan ciri istimewa yang sesuai dengan keperluan perniagaan termasuk kadar panggilan menarik dan capaian tanpa had menerusi pakej perkhidmatan jalur lebar perniagaan.

Pakej yang merangkumi perkhidmatan suara, jalur lebar, domain e-mail dan beberapa perkhidmatan tambah nilai lain itu menyediakan penyelesaian komunikasi lengkap dan mudah yang direka khas untuk memberikan perkhidmatan bagi operasi perniagaan berkonsepkan ‘small-office-home-office’ (SoHo) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pakatan SSM dengan BSN pula akan memberikan kemudahan kepada peniaga yang tinggal di pedalaman atau jauh dari pejabat SSM, memperbaharui sijil pendaftaran perniagaan mereka di mana-mana 389 cawangan bank itu itu di seluruh negara.

Caj yang dikenakan ialah hanya RM3.50 untuk setiap transaksi.
Ketua Eksekutif SSM, Datuk Azmi Ariffin, berkata dua inisiatif itu diharapkan akan menggalakkan pertumbuhan syarikat dan perniagaan di Malaysia.

Beliau berkata, jumlah syarikat yang diperbadankan ketika ini adalah 950,000, manakala perniagaan berdaftar pula berjumlah 4.5 juta.

“Pakatan SSM dengan TM ini dijangka menarik minat 4,000 syarikat untuk memperbadankan perniagaan mereka dengan kami menjelang akhir tahun ini.

“Ia akan menjadikan jumlah keseluruhan syarikat yang akan memperbadankan perniagaan mereka dengan SSM meningkat kepada 48,000 tahun ini berbanding 44,000 tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian kerjasama dengan TM dan BSN di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis berkenaan, SSM diwakili Azmi dan Timbalan Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan), Zahrah Abd Wahab Fenner; manakala TM oleh Naib Presiden Eksekutif Kanan Bahagian PKS, Azizi A Hadi, dan Pengurus Besar PKS TM, Mohamad Yusman Ammeran.

Sementara itu, BSN pula diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Adinan Maning; dan Timbalan Ketua Eksekutif, Perbankan, Pengguna dan Pembangunan Perniagaan, Yunos Abd Ghani.

Ia turut disaksikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; dan Pengerusi TM, Datuk Dr Halim Shafie.

Sehingga Mei lalu, 18,825 syarikat tempatan dan 20 syarikat asing baru diperbadankan dengan SSM.

Tuesday, July 12, 2011

SapuraCrest, Kencana digabung

Oleh Ahmad Farizal Hajat

2011/07/12
IKSB sasar wujud penyedia khidmat minyak, gas keempat terbesar dunia

INTEGRAL Key Sdn Bhd (IKSB), syarikat tujuan khas (SPV), mengemukakan cadangan mengambil alih keseluruhan ekuiti SapuraCrest Petroleum Bhd (SapuraCrest) dan Kencana Petroleum Bhd (Kencana) dalam satu urus niaga bernilai RM11.85 bilion.

Jika menjadi kenyataan, kedua-dua syarikat itu akan digabungkan, sekali gus menjadi penyedia perkhidmatan lapangan minyak senaraian awam terbesar di Malaysia dengan jumlah aset keseluruhan mencecah RM5.98 bilion.
Kini, Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) adalah penyedia perkhidmatan minyak senaraian awam terbesar negara dengan jumlah aset RM4.93 bilion, diikuti KNM Group Bhd dengan RM3.77 bilion dan Scomi Group Bhd (RM2.46 bilion).
Gabungan dua syarikat itu juga akan mewujudkan penyediaan perkhidmatan minyak dan gas keempat terbesar dunia dengan saiz permodalan pasaran RM10.88 bilion, selepas Saipem dari Itali, Technip (Perancis) dan McDermott (Amerika Syarikat).

IKSB adalah anak syarikat May-ban Ventures Sdn Bhd dan cadangan pengambilalihan itu akan diuruskan secara bersama oleh Maybank Investment Bank Bhd (Maybank-IB) dan CIMB Investment Bank Bhd (CIMB).

Mengulas perkembangan itu, Ketua Eksekutif Maybank-IB, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata daripada RM11.85 bilion, sebanyak RM5.87 bilion adalah jumlah yang dicadangkan untuk mengambilalih SapuraCrest, manakala bakinya iaitu RM5.98 bilion untuk Kencana.

Nilai itu mewakili harga saham SapuraCrest dan Kencana masing-masing pada RM4.60 sesaham dan RM3 sesaham, yang mana 2.5 peratus dan 7.14 peratus lebih tinggi berbanding harga kaunter itu iaitu RM4.49 dan RM2.80 sesaham ketika penutup Jumaat lalu. Kedua-dua kaunter itu digantung urus niaga semalam dan akan didagangkan semula hari ini.
“Jika urus niaga itu selesai, SapuraCrest akan menerima tunai RM875 juta, manakala Kencana sebanyak RM969 juta, manakala baki pertimbangan urus niaga itu pula akan dipenuhi menerusi terbitan saham baru dalam IKSB,” katanya pada taklimat berhubung cadangan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Tengku Zafrul berkata, pembelian itu akan diselesaikan dengan modal yang diraih menerusi gabungan terbitan saham baru dalam IKSB serta tunai.

Beliau menjangkakan, cadangan penggabungan itu akan selesai dalam tempoh enam hingga lapan bulan dari tarikh penerimaan tawaran itu, sekali gus menyaksikan kedua-dua syarikat itu dikeluarkan dari Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Katanya, penyenaraian itu akan digantikan oleh IKSB dengan Sapura memiliki 20 peratus ekuiti, Khasera (16.2 peratus), Seadrill (11.8 peratus, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (sembilan peratus), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (3.4 peratus) dan bakinya dipegang pelabur minoriti lain.

Jika cadangan itu diterima, katanya, Presiden dan Naib Pengerusi Eksekutif Sapura, Datuk Shahril Shamsuddin dan Ketua Eksekutif Kencana Group, Datuk Mokhzani Mahathir akan dilantik sebagai Pengerusi Bersama IKSB.

Friday, July 8, 2011

UMW Toyota sasar 4,000 kereta hibrid

Oleh Mohd Zaky Zainuddin
zaky@bharian.com.my
2011/06/30

ISMET (dua dari kiri) dan Pengarah Eksekutif UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Keiichi Murakami (dua dari kanan) bersama Vios edisi baru di Seri Kembangan, semalam.
Vios edisi terbaru dijangka penyumbang terbesar peningkatan jumlah jualan tahun ini

UMW Toyota Motor Sdn Bhd menyasarkan menjual sehingga 4,000 unit kereta hibrid tahun ini berbanding hanya 200 unit tahun lalu.
Presidennya, Ismet Suki, berkata peningkatan 20 kali ganda itu susulan langkah kerajaan mengecualikan cukai import dan eksais bagi kereta jenis terbabit sehingga 31 Disember 2011 yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Oktober tahun lalu.
Berikutan itu, pihaknya berharap kerajaan melanjutkan tempoh pengecualian cukai bagi merancakkan pasaran kereta hibrid dan elektrik tempatan.

“UMW Toyota berharap kerajaan dapat meneruskan inisiatif ini kerana ia akan menggalakkan pembangunan teknologi hijau sekali gus membantu mewujudkan industri automotif yang lebih mapan, terutama dalam konteks pengeluaran kereta mesra alam sejajar matlamat menjadikan Malaysia hab teknologi hijau,” katanya selepas memperkenalkan model Toyota Vios 1.5G Limited di Seri Kembangan, semalam.

Ismet berkata, setakat Mei tahun ini, UMW Toyota sudah menjual 980 unit kereta hibrid yang mana 800 unit adalah model Prius, manakala 180 unit lagi Lexus CT200h.

“Daripada jualan 4,000 unit yang disasarkan tahun ini, 2,500 unit dijangka disumbang model Prius sementara selebihnya Lexus CT200h,” katanya.
Bagi sasaran jualan keseluruhan kenderaan Toyota tahun ini, beliau berkata pihaknya terus mengekalkan sasaran asal 90,000 unit didorong jumlah kuantiti industri (TIV) yang kekal kukuh walaupun sektor automotif dunia terganggu susulan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun Mac lalu.

Katanya, Vios yang menyumbang satu pertiga daripada jumlah keseluruhan jualan Toyota sebanyak 94,000 unit tahun lalu, dijangka menjadi penyumbang terbesar dengan sasaran 30,000 unit tahun ini.

“Kami sudah menjual 12,000 unit Vios dan yakin mencapai sasaran 30,000 unit menerusi pengenalan Vios 1.5G Limited ini,” katanya.

Sementara itu, Vios 1.5G Limited yang disasarkan untuk golongan muda ditawarkan pada harga atas jalan termasuk insurans bermula RM89,600 seunit.

Didatangkan dengan warna pilihan Silver Metallic, Coal Black, White, Medium Silver Metallic dan warna baru Deep Amethyst Mica Metallic, ia menampilkan bahagian depan lebih menarik dengan gril baru dan aerokit yang direka khas.

Jangan beri bank kod potongan gaji

KUALA TERENGGANU 29 Jun 2011 – Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berharap kerajaan tidak mudah tunduk kepada desakan institusi perbankan dan kewangan agar kod potongan gaji kakitangan kerajaan turut diberikan kepada mereka.
Presidennya, Prof. Datuk Mohd. Ali Baharum berkata, kerajaan perlu mempertahankan keputusan yang dibuat pada 2009 dengan menolak permohonan sedemikian demi masa depan koperasi di negara ini.
Beliau percaya kerajaan akan lebih memikirkan nasib 615 koperasi berfungsi kredit dan perbankan di negara ini dengan berjuta ahli daripada kelompok pemegang saham institusi kewangan yang berterusan mahu mengaut keuntungan lebih besar.
“Jika diberikan, ia akan mewujudkan persaingan langsung dan koperasi tidak akan mampu berdepan dengan had pinjaman terbatas sedangkan mereka berupaya memberikan pinjaman yang jauh lebih besar.
“Ini secara tidak langsung menyekat orang ramai menyertai koperasi, manakala ahli akan beransur meninggalkannya. Ia secara perlahan-lahan akan melemah dan menguburkan koperasi apabila sukar memberi pulangan kepada ahli nanti,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia di sini hari ini selepas menyerahkan zakat Angkasa kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berjumlah RM47,000 melalui Tengku Sri Bendahara Raja di sini hari ini.

Sedia pelbagai perkhidmatan secara lebih dekat, mesra orang ramai

BANK Muamalat Malaysia Bhd merancang membuka 12 kios perkhidmatannya di seluruh negara dalam tempoh satu atau dua tahun ini.
Selain dilengkapi mesin ATM dan CDM, kios itu akan turut menyediakan perkhidmatan membuka akaun dan permohonan bagi pembiayaan runcit, rumah, kenderaan dan peribadi.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Munir Abdul Majid, berkata melalui pembukaan kios itu, pihaknya mampu mendekati orang ramai dengan lebih mudah dan dalam suasana lebih mesra.

Beliau berkata, kios yang dibuka tujuh hari seminggu itu memberikan perkhidmatan hampir menyamai cawangan penuh.

“Pengendaliannya juga lebih murah lima atau enam kali ganda berbanding operasi cawangan.

“Dengan pembukaan kios itu, kami percaya Bank Muamalat dapat mencapai pertumbuhan 15 peratus dari segi pembiayaan, 25 peratus untuk simpanan runcit dan peningkatan pelanggan hingga 20 peratus untuk tahun kewangan berakhir pada Mac 2012,” katanya selepas merasmikan kios Bank Muamalat pertama di negara ini di pasar raya besar Giant, Kemuning Utama, Shah Alam, semalam. Hadir sama, Ketua Eksekutif BMMB, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.
Kios Bank Muamalat pertama yang beroperasi di sempadan Kemuning Utama dan Bukit Kemuning sejak 23 Mei lalu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan mencatat urus niaga kira-kira RM5 juta dalam tempoh sebulan.

Kios kedua akan dibuka di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru akhir bulan depan bagi kemudahan rakyat negara ini yang sering berulang alik ke Singapura dan tidak berkesempatan melakukan urusan perbankan.

Munir berkata, Bank Muamalat yang kini mempunyai hampir 60 cawangan di seluruh negara juga sudah menjalinkan kerjasama dengan Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) untuk menawarkan perkhidmatan perbankan menerusi lebih 400 cawangan Pos Malaysia di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Bertam maju dua lagi projek perumahan

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my
2011/06/30
Kediaman eksklusif di Bertam Perdana Lakehomes boleh diduduki Jun 2013

BERTAM Properties Sdn Bhd (Bertam Properties), pemaju hartanah utama di Pulau Pinang membangunkan dua lagi projek perumahan baru di daerah Seberang Prai Utara (SPU) yang penjualannya bermula hari ini.
Projek berkenaan adalah rumah teres dua tingkat (Inderaloka) dan rumah berkembar satu tingkat (Malinja). Kedua-duanya dibina di Bertam Perdana Lakehomes yang menerapkan konsep ketenangan dengan gaya hidup eksklusif.
Projek berkenaan dijangka siap dan boleh diduduki pembeli pada Jun 2013.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bertam Properties, Datuk Roslan Ibrahim, berkata Inderaloka yang mengandungi 74 unit ditawarkan pada harga antara RM321,200 hingga RM418,300 seunit dengan lima peratus diskaun untuk Bumiputera.

Keluasan rumah berkenaan adalah 2,100 kaki persegi dan menampilkan reka bentuk mewah, saiz lot serta binaan yang luas, kerangka besi, kabel bawah tanah, siling plaster, ruang keluarga luas dan anjung yang boleh menempatkan dua buah kenderaan.

Pembeli juga akan diberikan keahlian percuma Penang Golf Resort (PGR), sistem penggera rumah dan kawalan keselamatan selama 24 jam.
Bagi perumahan Malinja, sebanyak 50 unit rumah berkembar setingkat ditawarkan kepada pembeli pada harga antara RM310,600 hingga RM425,800 seunit dengan lima peratus diskaun untuk Bumiputera.

Berkeluasan 1,687 kaki persegi, ia menampilkan reka bentuk mewah, saiz lot serta binaan yang luas, kerangka besi, kabel bawah tanah, siling plaster dan anjung yang boleh menempatkan dua kenderaan.

Pembeli juga diberikan keahlian percuma Penang Golf Resort (PGR), sistem penggera rumah dan kawalan keselamatan 24 jam.

Bertam Properties juga menawarkan penjualan empat unit kedai di Pusat Bandar Bertam Perdana berharga dari RM559,200 sehingga RM569,500 seunit.

Diskaun sebanyak tujuh peratus diberikan kepada pembeli Bumiputera. Pembeli juga tidak perlu membayar yuran guaman kerana ditanggung oleh pemaju dan memperoleh sijil layak menduduki.

Selain itu, sebanyak 16 unit kedai juga akan dibina di BP3 Pusat Komersial yang harganya bermula dari RM347,400 sehingga RM417,800 seunit.

Pembiayaan akhir disediakan Bank Muamalat yang menawarkan pinjaman sebanyak 95 peratus dan tanpa bayaran untuk tempoh 24 bulan pertama.

Roslan berkata, kemakmuran serta kemudahan disediakan kerajaan dan pihak swasta untuk pemilikan hartanah di Bertam seharusnya menjadi faktor utama kepada pembeli apabila membuat pilihan membeli rumah ataupun kedai.

Untuk keterangan lanjut, hubungi Bertam Properties di talian 04-5782020 atau layari laman web www.bertam.com.my.

Orang ramai juga boleh berkunjung ke majlis pelancaran projek berkenaan di Galeri Bertam Properties di No 1, Jalan Dagangan 1, Pusat Bandar Bertam Perdana, Kepala Batas, hari ini.

Premis perniagaan cita rasa masa kini

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my
2011/06/30
UDA Land (North) tawar 16 unit kedai pejabat dua tingkat di Serdang Business Centre

UDA Land (North) Sdn Bhd menawarkan peluang kepada orang ramai untuk memiliki premis perniagaan yang memenuhi cita rasa masa kini serta mempunyai pelbagai tarikan di Serdang Business Centre di Taman Seri Serdang, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Menerusi pelaksanaan fasa ketiga projek di Serdang Business Centre, sebanyak 16 unit kedai pejabat dua tingkat yang pembinaannya bakal dimulakan Ogos depan dan dijangka siap dalam tempoh 14 bulan.
Pembinaannya susulan pelaksanaan projek fasa pertama dan kedua, masing-masing 16 unit kedai pejabat dua tingkat yang kini menjadi sebahagian daripada premis Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) serta kedai yang sudah pun beroperasi.

Ketua Bahagian Penjualan dan Pemasaran UDA Land (North), Fahrulrazi Yaakub, berkata fasa ketiga membabitkan pembinaan 16 unit kedai pejabat yang konsepnya berbeza daripada unit sebelum ini dengan menampilkan ciri lebih moden serta memenuhi cita rasa ramai.

Untuk rekaan kali ini, pemaju menampilkan ciri terbaru seperti menyediakan ruang siar kaki lebih luas dan ini cukup digemari seperti di kawasan bandar besar.

“Selain itu, keistimewaan Serdang Business Centre kerana mempunyai tiga laluan masuk iaitu dari Hospital Kepala Batas, Jalan Abdullah Badawi dan Pongsu Seribu, sekali gus memudahkan orang ramai dan ini memberi kelebihan kepada peniaga,” katanya.
Selain itu, pembangunan pesat perumahan iaitu Taman Seri Serdang dan Taman Seri Indah yang terletak bersebelahan juga meningkatkan lagi potensi kawasan berkenaan untuk menjadi pusat perniagaan yang maju.

Potensi kawasan itu cukup tinggi kerana selain komuniti sedia ada iaitu penduduk dari kawasan perumahan berhampiran serta pelajar dari institut pengajian tinggi (IPT) berhampiran, UDA Land (North) juga akan membangunkan tanah untuk tujuan lain.

“Ini sudah tentu akan menambahkan lagi nilai komersial kepada Serdang Business Centre. Jadi projek pembinaan 16 unit kedai pejabat dua tingkat di sana adalah satu pelaburan baik untuk orang ramai,” katanya.

Untuk projek fasa ketiga, keluasan kedai pejabat adalah 1,400 kaki persegi manakala yang terbesar adalah 2,607 kaki persegi bagi kedai dan harga ditawarkan bermula dari RM359,000. Pembeli Bumiputera akan diberikan diskaun lima peratus.

Mereka yang berminat boleh menghubungi UDA Land Sdn Bhd di talian 04-5755566 atau www.uda.com.my.