Tuesday, April 19, 2011

CARI, universiti berpakat

CARI, universiti berpakat
Daripada Kamarulzaidi Kamis di Jakarta
kamarulzaidi@bharian.com.my
2011/04/19
Bangun, laksana program komuniti rantau ASEAN

CIMB Asean Research Institute (CARI) mengukuhkan lagi usahanya dalam menggalakkan integrasi ekonomi dan sosial serantau apabila ia membentuk pakatan strategik dengan Universitas Indonesia (UI) untuk menjadi sumber utama kepada program Komuniti Ekonomi ASEAN pada peringkat serantau dan antarabangsa. Ia susulan termeterainya Perjanjian Kerjasama antara CARI dan UI untuk membangunkan dan melaksanakan program pendidikan secara bersama bagi mencapai matlamat itu. CARI yang diperbadankan sebagai anak syarikat milik penuh kumpulan perbankan kedua terbesar Malaysia dan antara peneraju perkhidmatan perbankan universal Asia Tenggara itu ditubuhkan untuk menyediakan platform kepada syarikat serantau menyelesaikan isu yang menghalang mereka mengembangkan operasi di ASEAN.

Pesuruhjaya CARI, Glenn Muhammad Surya Yusuf, berkata CARI dan UI berkongsi pandangan bahawa rantau ASEAN kini semakin penting kepada ekonomi global dan pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN perlu disokong dengan penyertaan serta input daripada pelbagai sektor seperti pendidikan dan perniagaan.

Susulan itu, katanya, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama khususnya dari segi penyelidikan serta berkongsi sumber dan rangkaian kukuh yang dimiliki masing-masing untuk menjayakan hasrat integrasi ASEAN.

“CARI ditubuhkan untuk merangsang penyertaan sektor swasta dalam membantu kerajaan dan sekretariat: ASEAN menjayakan program integrasi serantau.
“Susulan itu, antara agenda utama kami adalah untuk membentuk kerjasama dan pakatan strategik dengan pusat kecemerlangan seperti UI bagi mencari kaedah menyelesaikan masalah berkesan dalam menangani cabaran serta mencari peluang integrasi ASEAN,” katanya kepada media selepas majlis memeterai perjanjian itu di Depok, Indonesia semalam.

Pada majlis itu, Glenn Yusuf mewakili CARI, manakala UI diwakili Professor Firmanzah. Ia Ketua Eksekutif CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak dan Pengarah Pakatan dan Inkubasi Perniagaan UI, Prof Wiku Adisasmito.

Glenn Yusof berkata, selain menggalakkan penyelidikan asas dan gunaan mengenai isu berkaitan integrasi ASEAN, perjanjian itu juga akan menyaksikan kedua-dua pihak berkongsi maklumat, pendapat serta penemuan dalam bidang itu.

Sementara itu, Firmanzah berkata, kerjasama antara Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UI (FEUI) dengan CARI dalam penyelidikan dan pendidikan mencerminkan komitmennya dalam membantu mencari penyelesaian mengenai isu serantau dan global.

“Kerjasama dengan CARI sebagai rakan strategik serantau akan merangsang dan meningkatkan kesediaan untuk menjayakan integrasi ekonomi ASEAN pada 2015,” katanya.

No comments:

Post a Comment