Tuesday, April 19, 2011

Celcom labur RM168j di Sarawak

Celcom labur RM168j di Sarawak
Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2011/04/19
Pemasangan gentian pertingkat capaian rangkaian telekomunikasi syarikat

CELCOM Axiata Bhd (Celcom) melabur RM168 juta bagi meningkatkan capaian rangkaian telekomunikasinya di Sarawak, terutama di pedalaman dengan memeterai perjanjian sewaan gentian dengan syarikat milik kerajaan negeri itu, Sacofa Sdn Bhd. Di bawah perjanjian itu, Sacofa akan melaksanakan proses pemasangan gentian di semua 400 stesen tapak dan Node-B milik Celcom di Sarawak selain turut memasang kapasiti rangkaian baru Celcom di seluruh negeri itu membabitkan laluan antara Kuching, Miri dan Bintulu serta memasang kapasiti submarin merentas laut dari Kuching ke Mersing di Johor. Perjanjian terbabit bagi tempoh 10 tahun dan semua proses pemasangan dijangka selesai dalam dua tahun.

Dengan pemasangan gentian berkenaan, Celcom dapat menawarkan perkhidmatan rangkaian berkeupayaan tinggi di Sarawak seperti video dan suara definisi tinggi (HD) serta pelayaran Internet berkelajuan tinggi.

Ketua Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata pelaburan yang dilakukan kumpulan itu adalah bagi membolehkannya menyediakan rangkaian lebih stabil dan mantap dalam usaha meningkatkan pengalaman penggunanya di negeri berkenaan.

Katanya, berbanding pasaran lain di Malaysia, Sarawak memberikan cabaran lebih besar kepada kumpulan itu dari segi menambah baik infrastruktur kerana kedudukan geografi negeri itu yang memiliki banyak kawasan yang sukar dicapai.
“Berdasarkan pengalaman kami sebelum ini, lebih jauh sesebuah kawasan itu terletak maka lebih banyak permintaan yang diterima untuk mendapatkan perkhid-matan rangkaian telekomunikasi,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian antara Celcom dengan Sacofa di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau memeterai perjanjian itu bagi pihak Celcom manakala Sacofa diwakili Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Ir Abang Jemat Abang Bujang.

Sacofa yang berfungsi sebagai anak syarikat teknologi kerajaan negeri Sarawak menyediakan infrastruktur kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi di negeri itu dan memiliki 500 menara dengan liputan 70 peratus.

Sarawak mempunyai potensi pertumbuhan tinggi kepada Celcom dan menyumbang 15 peratus kepada pendapatan kumpulan itu dengan liputan 3G sebanyak 85 peratus dan liputan 2G (95 peratus).

Shazalli berkata, dengan adanya gentian di semua menara komunikasi Celcom di Sarawak akan membolehkan kumpulan itu melaksanakan perkhidmatan rangkaian generasi depan (NGN) seperti 4G dan LTE.

“Ini akan menyediakan penduduk negeri itu akses kepada teknologi jalur lebar berkelajuan tinggi pada harga berpatutan,” katanya.

Beliau menambah, selain menyasarkan kepada pengguna individu, langkah kumpulan itu meningkatkan capaian rangkaiannya di Sarawak adalah untuk meneroka pasaran enterpris di negeri itu.

“Seperti yang diketahui, sektor minyak dan gas adalah sangat besar di Sarawak dan terdapat keperluan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan telekomunikasi bagi sektor itu,” katanya.

Sementara itu, Abang Jemat berkata Sacofa kini mempunyai sistem gentian optik sepanjang kira-kira 3,000 kilometer di negeri itu dan menerusi perjanjian dengan Celcom itu, ia akan ditambah antara 1,000 hingga 1,500 kilometer lagi.

No comments:

Post a Comment