Monday, April 25, 2011

Perniagaan gula FELDA ke Bursa

Perniagaan gula FELDA ke Bursa
Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
2011/04/25

Draf prospektus IPO sudah dikemuka kepada SC, harga belum muktamad

FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd, iaitu sayap komersial Kumpulan FELDA akan menyenaraikan semua perniagaan gulanya di Bursa Malaysia, yang akan dikumpulkan di bawah sebuah syarikat pegangan pelaburan baru yang dikenali sebagai MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM Holdings).
Sumber industri berkata, draf prospektus bagi tawaran awam permulaan (IPO) MSM Holdings sempena penyenaraian itu sudah dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk kelulusan. Katanya, walaupun harga IPO setakat ini masih belum dimuktamadkan, tetapi berdasarkan sasaran pengumpulan modal antara RM800 juta hingga RM900 juta dan tawaran jualan sehingga 234.56 juta saham, anggaran awal harganya adalah antara RM3.50 hingga RM3.80 seunit.

“Sejajar dengan cadangan penyenaraian itu, FELDA Global menyusun semula empat aset gulanya iaitu Kilang Gula Felda Perlis Sdn Bhd (KGFP) dan Malayan Sugar Manufacturing Company Bhd (MSM) serta dua anak syarikatnya iaitu MSM Properties Sdn Bhd dan Astakonas Sdn Bhd, di bawah MSM Holdings. Ia dibuat bagi mewujudkan sinergi antara kumpulan MSM dan KGFP.

“IPO itu akan menawarkan jualan sehingga 234.56 juta saham biasa MSM Holdings bernilai 50 sen sesaham iaitu kira-kira 33 peratus daripada modal terbitan dan berbayar syarikat itu yang diperbesarkan iaitu 702.98 juta saham.

“Daripada jumlah itu, 206.44 juta ditawarkan kepada pelabur institusi tempatan dan asing, termasuk pelabur institusi Bumiputera sebanyak 80.84 juta atau 11.5 peratus, manakala baki 28.12 juta lagi ditawarkan untuk langganan pelabur runcit termasuk pelabur Bumiputera dan bukan Bumiputera masing-masing sebanyak 7.03 juta saham,” kata sumber itu kepada Berita Harian semalam.
Sumber itu berkata, FELDA Global sudah melantik CIMB Investment Bank Bhd sebagai Penasihat Prinsipal dan Pengatur Tunggal Global bagi IPO itu.

“FELDA Global sedang berunding dengan bank pelaburan untuk menentukan harga tawaran IPO yang akan dibuat menerusi binaan bida oleh pelabur institusi dan setakat ini harganya masih belum ditetapkan lagi.

“Harga muktamad hanya akan ditentukan selepas harga institusi ditetapkan pada tarikh yang akan ditentukan kelak,” katanya.

Matlamat IPO itu adalah untuk membolehkan MSM Holdings mengembang dan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri gula; meningkatkan kecekapan pengurusan kos dan bersedia untuk meraih peluang perniagaan lebih besar; mewujudkan kecairan sahamnya dan memberi peluang kepada pelabur untuk menyertai industri itu yang memiliki prospek yang luas.

Sementara itu, penganalisis berkata, penyenaraian MSM Holdings itu akan meningkatkan kedudukan FELDA sebagai peneraju dalam industri gula.

"Ia akan membolehkan FELDA merealisasikan pelaburannya dan pada masa yang sama mengekalkan kawalan ke atas aset," kata Kenanga Research dalam nota penyelidikannya baru-baru ini.

MSM Holdings terbabit dalam pengeluaran, pemasaran dan penjualan gula dengan keupayaan pengeluaran 1.1 juta tan setahun. Ia melaksanakan aktivitinya menerusi dua anak syarikat iaitu MSM dan KGFP dan pada tahun lalu mengeluarkan 945,000 tan gula yang mewakili 57 peratus pengeluaran gula negara.

Secara keseluruhannya, kumpulan itu meraih pendapatan terkumpul RM2.17 bilion tahun lalu, meningkat 32.3 peratus berbanding RM1.64 bilion pada 2009.

No comments:

Post a Comment