Wednesday, April 20, 2011

PETRONAS jual ekuiti Cairn India kepada Vedanta

PETRONAS jual ekuiti Cairn India kepada Vedanta


2011/04/20
PETRONAS menjual hampir 15 peratus ekuiti yang dimilikinya dalam Cairn India kepada syarikat sumber asli utama British, Vedanta yang menyasar untuk menguasai keseluruhan saham syarikat penerokaan tenaga India itu, demikian menurut satu laporan.

Pembelian oleh Vedanta itu memberikan isyarat bahawa syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham London itu berminat meneruskan pengambilalihan Cairn India, anak syarikat Cairn Energy berpangkalan di Scotland, bernilai AS$9.6 bilion, meskipun berlaku beberapa penangguhan, lapor CNBC-TV 18 di Mumbai, India.
Syarikat berkenaan gagal dihubungi untuk mendapatkan komen. CNBC-TV 18, yang tidak menamakan sumbernya, berkata Vedanta sudah membeli 11 peratus daripada 14.9 peratus ekuiti yang dijual secara langsung oleh PETRONAS, manakala 3.9 peratus lagi menerusi institusi kewangan.

CNBC berkata, PETRONAS berpotensi meraih dana sehingga AS$2 bilion daripada penjualan itu.

Vedanta, yang dikuasai hartawan India, Anil Agarwal, pada Ogos lalu berkata, ia berhasrat untuk membeli sehingga 60 peratus ekuiti Cairn India untuk menambah jumlah asetnya di India.

Bagaimanapun urus niaga itu tertangguh susulan berlaku pertelingkahan antara Cairn dengan rakan niaganya, Oil and Natural Gas Corp (ONGC) yang dimiliki kerajaan India, berhubung pembayaran royalti membabitkan beberapa lapangan minyak darat terbesar India. – AFP

No comments:

Post a Comment