Wednesday, April 20, 2011

Projek pintar MAS bantu pelajar jadi cemerlang

Projek pintar MAS bantu pelajar jadi cemerlang


2011/04/20
JERANTUT: Malaysian Airline System Bhd (MAS) akan terus memberikan komitmen bagi membantu sekolah-sekolah di negara ini dalam meningkatkan pencapaian akademik menerusi Projek Pintar MAS.

Pengerusi MAS, Tan Sri Dr Munir Majid berkata, Projek Pintar MAS adalah antara usaha MAS untuk mengurangkan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi dalam masyarakat selaras dengan pembangunan modal insan.
"Sebanyak 19 sekolah di seluruh negara terbabit dalam program itu bagi membantu Kementerian Pelajaran menjayakan kokurikulum standard sekolah rendah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pintar MAS di Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya di sini, hari ini. Munir berkata, MAS juga sedang berusaha menyediakan program berbentuk "Rakan Radio" di sekolah-sekolah yang memberi penekanan terhadap sebutan bahasa Inggeris yang betul.

"Program itu akan dibuat dalam bentuk yang menarik dan diharap dapat menarik minat murid sekolah untuk meningkatkan bahasa Inggeris masing-masing," katanya.

Sekolah yang dipilih di bawah projek itu akan dijadikan sekolah angkat MAS selama empat tahun.

MAS memulakan Projek Pintar MAS pada 2007 di Sekolah Menengah Raja Tun Uda, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
"Melalui porgram ini MAS akan memberi motivasi kepada pelajar di samping mengukuhkan jati diri agar mereka tidak terbabit dalam gejala tidak sihat," kata Munir.

Beliau berkata, MAS juga akan menyediakan klinik dan seminar peperiksaan, kursus kerja serta lawatan sambil belajar kepada murid yang akan mengambil peperiksaan.

Syarikat itu juga menawarkan tiket penerbangan percuma ke destinasi di Asia Tenggara sebagai insentif kepada pelajar dan guru yang cemerlang.

"Sebagai sebuah syarikat korporat, kami tetap memberi sumbangan bermakna untuk meningkatkan taraf pendidikan genersi muda di negara ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment