Wednesday, April 27, 2011

U Mobile tawar internet tanpa had

U Mobile tawar internet tanpa had
Oleh Sophia Ahmad
sophia@bharian.com.my
2011/04/28
Pengguna telefon pintar dikenakan caj RM28 sebulan bagi 100 minit, 30 SMS

UMOBILE Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan mudah alih dan rumusan data 3G tempatan, memperkenalkan perkhidmatan internet Mudah Alih Tanpa Had (UMI) terbarunya yang disasarkan kepada pengguna telefon pintar pada kadar harga terendah di pasaran.
Ketua Eksekutifnya, Dr Kaizad Heerjee, berkata produk yang memberi tumpuan kepada penyediaan saling hubungan antara internet mudah alih dan pengguna itu, ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM28 sebulan, dengan 100 minit masa berbual dan 30 perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) sebulan.
Jumlah minit dan pesanan ringkas yang sama ditawarkan untuk setiap isian semula dan pengguna boleh mengumpul jumlah minit dan pesanan ringkas itu selama 60 hari berbanding hanya 30 hari oleh penyedia perkhidmatan mudah alih lain.

Bagaimanapun, kadar panggilan sembilan sen seminit akan dikenakan, jika pelanggan membuat panggilan melebihi tempoh 100 minit yang ditawarkan itu.

“Menerusi UMI, kami menyediakan penyelesaian untuk memenuhi keperluan pengguna internet mudah alih, pada kadar yang paling rendah di pasaran,” katanya pada majlis pelancaran UMI di Kuala Lumpur, semalam.

Kaizad berkata, sejak pengenalan U Mobile pada 2007, ia telah mampu mengikuti permintaan semasa pengguna generasi teknologi terkini.
“Kami sudah bekerjasama dengan peneraju global dalam pembangunan infrastruktur dan rangkaian perkembangan serta memanfaatkan kepakaran dan keupayaan domestik.

“Bulan lalu, kami telah memuktamadkan pembangunan sokongan akhir dan rangkaian kami ini sekurang-kurangnya setaraf dengan penyedia perkhidmatan mudah alih yang lain di Malaysia,” katanya.

Susulan perkembangan itu liputan perkhidmatan U Mobile dapat dikembangkan ke seluruh negara menjelang akhir tahun ini serentak dengan penggunaan yang semakin meluas, khususnya golongan profesional muda yang inginkan liputan internet tanpa had.

Kaizad berkata, syarikat itu sentiasa menjalankan kerja menaik taraf liputan rangkaian 3G dan 2G supaya ia boleh diakses pelanggannya tanpa sebarang masalah.

Katanya, buat masa ini liputan 3G kumpulan itu tertumpu kepada lokasi sekitar Pulau Pinang, Lembah Klang, Johor dan Ipoh, Perak.

Ia susulan semua kawasan itu mencatatkan penggunaan 3G pada skala lebih besar berbanding lokasi lain di Malaysia.

“U Mobile adalah antara peserta utama di negara ini yang mengkhusus dalam aspek pembekal data dan liputan 3G mudah alih walaupun kami masih baru di pasaran.

“Operasi meluaskan rangkaian dilakukan secara berterusan baik dari aspek liputan atau kapasiti data,” katanya.

No comments:

Post a Comment