Wednesday, April 20, 2011

JASA Merin labur RM1b beli 16 kapal

JASA Merin labur RM1b beli 16 kapal
Oleh Zailani Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/04/20
Syarikat rebut peluang cari gali minyak, gas

JASA Merin (M) Sdn Bhd, membeli 16 kapal sokongan laut dalam (OSV) bernilai RM1 bilion bagi meraih manfaat daripada kepesatan kegiatan cari gali minyak dan gas asli di perairan Malaysia.
Anak syarikat SILK Holdings Berhad (SHB) yang bergiat cergas dalam industri pengangkutan laut sejak 25 tahun lalu itu telah membeli 13 kapal sokongan termasuk JM Samudera berharga RM120 juta manakala tiga lagi kapal OSV sedang dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini. Pengerusi SHB, Datuk Mohd Azlan Hashim, berkata industri petroleum dan gas asli semakin rancak kebelakangan ini berikutan kejayaan Petronas Carigali menemukan beberapa kawasan baru sumber asli itu di perairan Sarawak.

Baru-baru ini PETRONAs menemui dua lapangan minyak dan gas bersih di pesisir pantai Sarawak dengan anggaran awal kira-kira 2.6 trilion kaki padu gas bersih dan masing-masing mempunyai sumber 100 juta tong minyak mentah.

Syarikat minyak kebangsaan itu juga dijangka meneroka 50 telaga di luar pantai Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang sekali gus merancakkan beberapa industri berkaitan termasuk pengangkutan laut dalam.

"JASA Merin bersedia merebut pelbagai peluang perniagaan yang bakal dicetuskan daripada kepesatan kegiatan cari gali petroleum dan gas asli di perairan Sarawak,” katanya pada majlis pelancaran JM Samudera berharga RM120 juta yang disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan di Pelabuhan Klang, petang kelmarin.
Mohd Azlan berkata, pembelian tiga kapal sokongan laut dalam JM Bayu, JM Sepoi dan JM Samudera adalah hasil pelaburan bersama di antara JASA Merin dan Global Maritime Ventures (GMV) yang juga sebahagian daripada Kumpulan Bank Pembangunan.

Katanya, JM Bayu dan JM Sepoi sudah beroperasi di perairan Malaysia dan Thailand bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan laut dalam kepada beberapa pelanggan yang terbabit dengan cari gali antaranya Petronas Carigali, Exxon Mobil, Murphy and Petrofac.

Beliau berkata, ketiga-tiga kapal sokongan laut dalam yang dilengkapi sistem berteknologi tinggi itu dibina di limbungan milik Muhibbah Engineering (M) Sdn Bhd di Teluk Gong di Pelabuhan Klang.

berdasarkan rekod cemerlang limbungan itu membina lebih 120 kapal pelbagai jenis.

No comments:

Post a Comment