Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/11/29
Projek di Kazakhstan dijangka beroperasi awal tahun depan
AMANAH Raya Bhd (AmanahRaya) yang kini hanya melaksanakan aktiviti pengurusan amanah dan wasiat profesional dalam negara, akan menceburi dan meneroka bidang perbankan Islam luar negara menerusi penubuhan sebuah bank Islam di Kazakhstan tahun depan. Sumber industri berkata, untuk tujuan itu AmanahRaya mengadakan pakatan strategik bersama dua lagi institusi perbankan di republik itu, iaitu Development Bank of Kazakhstan (DBK) dan JSC Fattah Finance. “Perjanjian antara ketiga-tiga pihak untuk bekerjasama menubuhkan bank Islam di negara bekas jajahan Turki itu sudah pun dimeterai di Astana, Kazakhstan pada Julai lalu.
“Jika semua berjalan lancar, Kazakhstan bakal memiliki bank Islam kedua yang dijangka memulakan operasinya pada awal tahun depan,” katanya pada Berita Harian di Kuala Lumpur semalam.
Difahamkan, pengumuman mengenai penubuhan bank Islam itu akan dibuat pada Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ketujuh yang akan diadakan di
Kazakhstan, Mac tahun depan.
Al Hilal, institusi perbankan yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu, adalah bank Islam pertama yang memulakan operasi di Kazakhstan pada Mac lalu.
DBK yang ditubuhkan pada 2001 adalah institusi perbankan berkaitan kerajaan dan terbabit dalam aktiviti pemberian dana bagi projek pelaburan dalam sektor infrastruktur, manakala JSC Fattah adalah syarikat pertama Kazakhstan memberikan perkhidmatan kewangan yang menepati undang-udang Syariah.
Sumber itu berkata, Badan Pengawal Selia Kewangan Kazakhstan (FSA) akan menyediakan beberapa set dokumen kepada ketiga-tiga pihak itu pada bulan depan bagi membolehkan mereka memaklumkan butiran terperinci mengenai penubuhan bank Islam kedua itu, sebelum diberikan permit operasi perbankan Islam di negara itu.
Katanya, apabila semuanya selesai, bank Islam yang ditubuhkan hasil kerjasama AmanahRaya dengan DBK dan JSC Fattah itu, akan berpangkalan di Almaty, bandaraya terbesar di Kazakhstan, sebelum mengembangkan rangkaiannya ke beberapa lagi bandar raya utama negara berkenaan.
“Almaty yang berjiran dengan Kyrgyzstan dan terletak di selatan Kazakhstan itu adalah pusat komersial utama dan terbesar di negara Eropah timur itu.
“Kerajaannya kini sedang rancak membangunkan bandar raya itu sebagai hab perniagaan dan kewangan serantaunya dan aktif menarik masuk dana pelaburan asing, khususnya daripada syarikat utama yang tersenarai di pasaran bursa di beberapa negara maju lain di dunia.
“Ia bertujuan mempelbagaikan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber asli tempatan,” jelasnya.
Sumber itu berkata, sebagai permulaan, bank Islam hasil kerjasama syarikat Malaysia dan Kazakhstan itu akan menumpukan operasinya terhadap penyediaan dana pinjaman kepada perniagaan syarikat kecil dan sederhana yang terbabit dalam aktiviti ekonomi utama di negara itu.
Selain pakatan menubuhkan institusi perbankan, AmanahRaya dan JSC Fattah turut bekerjasama membangunkan hab Halal di Kazakhstan
Sunday, November 28, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment