Oleh Che Wan Badrul Alias
2010/11/15
Anugerah inovasi 2011 bakal pilih 6 pemenang kategori usahawan PKS
SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan menganjurkan Anugerah Inovasi SME 2011 kali kedua yang bakal menawarkan hadiah berjumlah RM2 juta kepada enam pemenang kategori usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) paling inovasi.
Pengerusinya, Datuk Ir Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid, berkata keenam-enam kategori terbabit adalah inovasi terbaik sektor perkilangan; sektor perkhidmatan termasuk pembinaan; sektor ICT dan Elektrik & Elektronik (E&E); Kejuruteraan dan Industri Rekaan; Teknologi Hijau serta sektor Bioteknologi dan Teknologi Agro. Katanya, pemenang utama iaitu PKS paling inovasi di antara semua kategori berkenaan akan memenangi hadiah berjumlah RM1 juta, manakala bagi pemenang lain setiap kategori akan memenangi RM200,000 setiap satu. Beliau berkata, semua PKS yang berdaftar menyertai anugerah itu perlu memenuhi kriteria penilaian 1-Inovatif Pensijilan Bagi Penarafan Perusahaan dan Transformasi (1-InnoCERT).
“Bagi tujuan itu, SME Corp akan mengadakan kerjasama strategik dengan Sirim Bhd bagi melaksanakan kerja audit, perakuan dan pemantauan setiap penyertaan anugerah ini supaya menepati tahap yang ditetapkan.
“SME Corp akan menganjurkan empat bengkel kesedaran antara 25 November hingga 16 Disember ini bagi membimbing PKS yang berminat menyertai anugerah itu,” kata beliau pada majlis pelancaran Anugerah Inovasi SME 2011 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pendaftaran secara dalam talian bermula sejak semalam sehingga tarikh tutup 8 Februari 2011 atau apabila kuota 100 syarikat terawal yang membayar yuran pendaftaran sudah dipenuhi.
Hadiah dan anugerah akan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis perasmian Pameran Inovasi PKS 2011 pada Jun tahun depan.
Mohamed Al Amin berkata, 1-InnoCERT adalah program pensijilan mengguna pakai Model Innobiz Korea dan usaha sama antara Kumpulan Teknologi Tinggi Kerajaan-Industri Malaysia (MIGHT) serta SME Corp awal tahun ini.
Sunday, November 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment