Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
2010/11/26
Eksport paip minyak, gas teknologi tinggi ke serantau, Asia Barat
TEHCNIP, gergasi kejuruteraan minyak dan gas dari Perancis, bercadang memasarkan produk paip minyak dan gas berteknologi tinggi ke pasaran serantau dan Asia Barat menerusi kilang terbesar Asia Pasifik milik anak syarikatnya, Asiaflex Products di Tanjung Langsat, Johor.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasi Technip, Thierry Pilenko, berkata kilang terbaru itu adalah yang pertama di Asia dan pelaburan terbesar kumpulan itu di rantau ini.
Kilang dibina dengan pelaburan bernilai euro 1 bilion (RM4.18 bilion) dengan kemudahan menghasilkan paip fleksibel kegunaan industri minyak dan gas dasar laut itu, dibuka secara rasminya semalam. “Kemudahan di kilang ini adalah sama dari segi kualiti dan standard berbanding dua lagi kilang kami di seluruh dunia dan ia mampu menyumbang kepada pembangunan sektor minyak dan gas di Malaysia,” katanya ketika majlis perasmian kilang berkenaan yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pasir Gudang, semalam.
Pilenko menjelaskan, Technip sememangnya sudah bekerjasama rapat dengan kumpulan anak syarikat PETRONAS termasuk Malaysian International Shipping Corporation Bhd (MISC), Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB).
Sementara itu, dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, kehadiran Asiaflex Products di Tanjung Langsat turut memainkan peranan penting sebagai penggalak ekonomi.
“Dengan mengambil serta melatih pekerja tempatan, mendapatkan bekalan dari pembekal tempatan, kilang ini boleh membantu sektor perniagaan di sini.
“Kesan yang baik inilah membuatkan pelabur antarabangsa seperti Technip menjadi rakan niaga berharga buat pembangunan negara untuk jangka masa panjang," katanya.
Selain Tanjung Langsat, Technip yang sudah beroperasi di Malaysia sejak 28 tahun lalu turut membuka kilang pengeluaran paip berteknologi tinggi di Perancis dan Brazil selain beroperasi di 48 negara.
Kilang di Tanjung Langsat itu mampu mengeluarkan kira-kira 200 kilometer paip setahun dengan pasaran utama ialah untuk kegunaan industri minyak dan gas di Asia Pasifik dan Timur Tengah
Thursday, November 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment