Tuesday, November 9, 2010

KFCH sasar tingkat jualan RasaMas

Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2010/11/10
Tumpu pembaikan produk, mutu khidmat

KFC Holdings (Malaysia) Bhd (KFCH) menyasar meningkatkan sumbangan jualan rangkaian restoran ayam panggang, RasaMas kepada tiga peratus menerusi langkah agresif pembaikan produk serta mutu perkhidmatan. Pengarah Urusannya, Jamaludin Md Ali, berkata RasaMas yang memiliki 41 cawangan termasuk tiga di Brunei menyumbang dua peratus kepada pendapatan kumpulan itu tahun lalu. Katanya, KFCH juga kini merancang membuka dua lagi cawangan baru RasaMas di kawasan Lembah Klang tahun depan, membabitkan pelaburan kira-kira RM1 juta.

“Pembukaan cawangan baru bukan menjadi tumpuan utama kami dalam tempoh setahun ini, sebaliknya kepada usaha menambah baik perkhidmatan dan produk.

“Bagaimanapun, kami yakin pertumbuhan jualan RasaMas seiring rangkaian restoran KFC, dengan sasaran mencatatkan pertumbuhan jualan dua angka tahun depan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan menu ayam panggang terbarunya, Roaster Lada di Kuala Lumpur, semalam.

RasaMas mencatat pertumbuhan jualan 18 peratus bagi tempoh enam bulan tahun ini.
Mengulas sama ada bencana banjir menjejaskan bekalan ayam, beliau berkata ia hanya menjejaskan operasi penternakan ayam kontrak di sekitar Kedah dan hanya memberi kesan yang kecil.

“Syarikat kini mempunyai 100 penternak ayam kontrak dan yang terjejas adalah kecil bilangannya. Kita masih mampu menampung bekalan ayam bagi keperluan operasi syarikat, yang memerlukan antara 3.2 hingga 3.3 juta ayam sebulan,” katanya.

Mengenai Roaster Lada, beliau berkata hidangan baru itu boleh didapati di semua rangkaian restoran RasaMas seluruh negara selama dua bulan bermula semalam.

Katanya, syarikat membelanjakan lebih RM500,000 bagi aktiviti pengiklanan dan promosi menu baru itu.

No comments:

Post a Comment