Thursday, September 30, 2010

Lotus perkenal 5 model di Pameran Motor Paris

2010/10/01


NADZMI (dua dari kiri) bersama Syed Zainal (kiri) dan Duta Besar Malaysia ke Perancis, Tan Sri Abdul Aziz Zainal (dua kanan) menunjukkan isyarat bagus bersama kereta keluaran terbaru Lotus Eterne selepas dilancarkan sempena Pameran Motor Paris, semalam. Permulaan bina kembali reputasi pengeluar kereta sport super

GROUP Lotus Plc, anak syarikat Proton Holdings Bhd berpangkalan di United Kingdom (UK), memperkenalkan lima model terbarunya di Pameran Motor Paris 2010 yang bermula semalam.

Model berkenaan dianggap sebagai permulaan bagi Lotus kembali membina reputasinya sebagai pengeluar kereta sport super terkemuka dunia. Lotus terkenal dengan kepakaran aerodinamiknya mengejutkan ramai pihak apabila buat kali pertama mempamerkan model kereta sport super empat pintu yang dikenali sebagai Eterne. Turut diperkenalkan model Esprit baru, iaitu yang paling anggun selepas kemunculan pertama model konsepnya pada 1974.

Pengerusi Proton dan Group Lotus, Datuk Seri Nadzmi Wahab, berkata tiga lagi model yang bakal dikeluarkan ialah Elan, Elise dan Elite.

"Model baru ini bakal dikeluarkan dalam tempoh lima tahun bermula dengan Elan mulai Oktober 2012, diikuti model lain setiap 12 bulan kemudian.

Di bawah kepemimpinan Dany Bahar sebagai ketua eksekutif dan sokongan pereka automotif terkenal dunia, Donato Coco, yang juga bekas pereka Ferrari, kami yakin lima model ini akan membawa perubahan besar kepada Lotus, katanya selepas jamuan malam anjuran kumpulan itu sempena Pameran Motor Paris di Paris itu, malam kelmarin.
Hadir sama, Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Syed Mohamed Tahir.

Pengenalan lima model baru itu adalah tambahan kepada model Evora yang dilancarkan baru-baru ini.

Nadzmi berkata, pengurusan Lotus bertungkus-lumus sembilan bulan menghasilkan lima model konsep itu bagi membolehkannya membuat kemunculan di Paris.

Kami mahu pastikan Lotus kekal dalam penguasaan Proton. Kami mahu memastikan Lotus membawa keuntungan dan untuk itu kami perlu menampilkan produk kompetitif dan menarik, katanya sambil menegaskan selepas 14 tahun Proton mengambil alih pengeluar kereta sport itu, pandangan skeptikal dan sinis terhadap usaha itu kian terhakis, katanya

ING Insurance, Public Bank tubuh takaful keluarga

2010/10/01
ING Insurance Bhd dan Public Bank Bhd akan menubuhkan syarikat perniagaan takaful keluarga secara usaha sama tahun depan, kata Ketua Pegawai Kewangan ING Insurance, Anusha Thavarajah.

Kami sudah menerima lesen daripada Bank Negara Malaysia, tetapi syarikat itu akan ditubuhkan awal tahun depan, katanya selepas taklimat mengenai Dinamik Industri Insurans Hayat Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. Anusha, yang juga Ketua Pegawai Risiko syarikat itu berkata, Public Bank akan memegang 60 peratus pegangan dalam usaha sama itu dengan bakinya dipegang oleh ING Insurance. Beliau menjangkakan syarikat perniagaan takaful keluarga usaha sama itu mampu menguasai 20 peratus pasaran dan menyumbang antara 10 hingga 15 peratus pendapatan syarikat itu dalam lima tahun akan datang.

Pada taklimat itu, Anusha berkata, wujud peluang besar yang tersedia dalam perniagaan takaful keluarga di Malaysia dan beliau menjangkakan pasarannya berkembang pada purata 26 peratus setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ia disebabkan kadar penembusan bagi takaful keluarga hanya tujuh peratus berbanding 40 peratus bagi insurans konvensional, katanya.
Industri takaful dijangka berkembang pantas berikutan kemajuan pesat industri kewangan Islam, katanya.
Ketua Pegawai Pelaburan ING Insurance, Mark Wang, menjangkakan pasaran akan turun naik disebabkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Wednesday, September 29, 2010

PPHBS lancar skim Muafakat Hartanah

2010/09/30
PERSATUAN Pemaju Hartanah Bumiputra Selangor (PPHBS), akan melancarkan skim Muafakat Hartanah (MuaHarta) bagi membolehkan pemaju hartanah Bumiputra membeli hartanah di lokasi strategik yang bernilai tinggi menerusi konsep perkongsian.

Presidennya, Mohammad Sahar Mat Din, berkata skim itu bertujuan menyelamatkan unit hartanah kuota Bumiputra di kawasan strategik seluruh negara yang sebelum ini tidak mampu dibeli secara individu. Katanya, menerusi inisiatif itu pemaju hartanah Bumiputera akan berkongsi modal dengan menubuhkan syarikat khusus bagi membeli hartanah yang dikenal pasti berpotensi tinggi. Syarikat akan menguruskan hartanah yang dibeli, manakala keuntungan diperoleh akan dinikmati secara saksama berdasarkan pelaburan masing-masing, katanya selepas majlis pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara PPHBS dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, semalam

Visi Maybank terulung rantau Asia

Oleh Ahmad Farizal Hajat

2010/09/30
Tingkat usaha kembangkan perniagaan dalam lima tahun

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) akan memberi perhatian khusus kepada usaha mengembangkan perniagaannya di luar negara dalam tempoh lima tahun ini bagi mencapai misinya menjadi antara institusi perbankan terulung rantau ini.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata Maybank yang kini adalah bank keenam terbesar Asia Tenggara dari segi aset, menyasarkan menggandakan sumbangan perniagaan luar negara kepada keuntungannya kepada 40 peratus menjelang 2015 daripada hanya 21 peratus sekarang. Aspirasi Maybank adalah menjadi peneraju sektor perbankan serantau dalam tempoh lima tahun akan datang, justeru tumpuan ketika ini adalah menggandakan sumbangan operasi luar negara kepada keuntungan kumpulan kepada 40 peratus dan kami sedang bergerak ke arah itu, katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung (AGM) kumpulan perbankan itu di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, dan Ketua Pegawai Kewangan Maybank, Khairussaleh Ramli.

Ketika ini, Maybank, institusi perbankan tempatan terbesar negara dari segi aset itu, memiliki operasi di tujuh daripada 10 buah ASEAN termasuk rangkaian terbesarnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Vietnam dan Kemboja.

Daripada tujuh negara itu, Indonesia dan Singapura menjadi penyumbang utama keuntungan operasi luar negaranya dengan masing-masing menyumbang RM238 juta dan RM818 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun lalu.

Abdul Wahid menjangkakan, perniagaan Maybank di dua republik itu akan kekal sebagai peneraju sumbangan operasi perbankan luar negaranya.
Kumpulan menumpukan perhatian dalam lima bidang utama di Indonesia terutama dalam segmen pembiayaan perkapalan, pengangkutan dan telekomunikasi, selain memperluaskan rangkaian cawangannya kepada 450 daripada 290 ketika ini.

Di Singapura pula, kumpulan akan meningkatkan operasi pembiayaan bagi segmen automotif, katanya.

Abdul Wahid berkata, langkah itu juga akan membolehkan unit perbankan Islam kumpulan itu, Maybank Islamic Bank Bhd menjadi peneraju sektor perbankan Islam di Asean menjelang 2015

AirAsia tawar laluan Surabaya-Bangkok, Pulau Pinang

2010/09/30
AIRASIA akan memulakan penerbangan empat kali seminggu dari Surabaya ke Bangkok dan Surabaya ke Pulau Pinang masing-masing pada 7 dan 13 November ini.

Sempena penerbangan ke laluan baru itu, syarikat penerbangan itu menawarkan kadar tambang bermula 150,000 rupiah (RM55) untuk laluan Surabaya-Bangkok dan 100,000 rupiah (RM37) untuk Surabaya-Pulau Pinang. Dalam kenyataannya, AirAsia berkata tempoh tempahan ke destinasi berkenaan bermula semalam hingga 3 Oktober untuk perjalanan dari 7 November hingga 11 Ogos bagi SurabayaBangkok) dan untuk perjalanan dari 13 November hingga 11 Ogos bagi SurabayaPulau Pinang. "Laluan baru kami ke Bangkok dan Pulau Pinang itu adalah tambahan hebat dalam portfolio laluan antarabangsa AirAsia Indonesia yang akan meningkatkan kedudukan syarikat penerbangan ini sebagai syarikat penerbangan Asean yang menghubungkan Asia, kata Presiden Pengarah AirAsia Indonesia Dharmadi.

Berikutan permintaan popular itu, AirAsia akan meningkatkan kekerapan penerbangannya bagi laluan Kuala LumpurSurabaya daripada empat kali kepada lima kali sehari.

Bagi menambah pelanggan, tambang khas untuk laluan sedia ada ditawarkan bermula daripada RM79 (150,000 rupiah) untuk tempoh tempahan mulai hari ini hingga 3 Oktober untuk perjalanan dari 13 November hingga Ogos

Tuesday, September 28, 2010

Cypark sasar kembang operasi ke luar negara

2010/09/29
CYPARK Resources Bhd (CRB), syarikat pengurusan sisa buangan pepejal yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia 15 Oktober ini, menyasar mengembangkan operasinya ke luar negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Eksekutifnya, Daud Ahmad, berkata CRB, iaitu syarikat pengurusan sisa buangan pepejal tunggal yang beroperasi secara komersial di negara ini, sudah mendapat pelawaan daripada beberapa pihak khususnya dari Indonesia dan Thailand. Katanya, syarikat itu kini diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk mengurus 16 kawasan pelupusan sampah di lima negeri dan dijangkakan meraih sebahagian besar kontrak penutupan 112 tapak pelupusan sampah di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10). “Kami mahu mengukuhkan kedudukan di peringkat domestik terlebih dulu yang mana selepas tiga hingga lima tahun akan datang, barulah kami rasa sesuai untuk mula mengembangkan pasaran ke luar negara,” katanya selepas pelancaran prospektus syarikat itu yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Pengerusi CRB, Tan Sri Razali Ismail.

Sempena penyenaraiannya, CRB membuat tawaran awam permulaan (IPO) 30 juta saham biasa baru bernilai 50 sen seunit pada harga RM1.10 sesaham.

Daripada jumlah itu, lima peratus atau 7.25 juta saham diperuntukkan bagi langganan awam.

Daud berkata, sebagai peneraju dalam bidang pengurusan sisa buangan pepejal di negara ini, CRB sudah membangunkan sistem dikenali SER bagi menutup kawasan pembuangan sampah secara sistematik dengan memastikan air lelehan tidak terserap ke dalam tanah dan gas yang terhasil dapat dilepaskan dengan selamat.
Beliau berkata, antara rekod pencapaian cemerlang syarikat itu ialah kejayaan penutupan kawasan pembuangan sampah di Taman Beringin Kuala Lumpur.

“Selain itu, 16 projek penutupan kawasan pelupusan sampah yang kami sedang usahakan juga berjalan lancar mengikut jadual,” katanya.

Sementara itu, Razali berkata, sebahagian besar daripada dana yang bakal dijana daripada IPO syarikat itu akan digunakan untuk modal kerja dan mengembangkan perniagaan

Habib buka hotel yakin ekonomi Kelantan

Rizal Tahir
KOTA BHARU, 28 Sept 2010: Habib Jewels memilih Kelantan sebagai negeri pertama untuk pelaburannya dalam bidang perhotelan kerana yakin dengan perkembangan ekonomi yang pesat di negeri ini.

Pengurus Besar Habib Jewels Holding, Abdul Razak Abdul Kader, berkata setelah setahun pihaknya membuat kajian berhubung perkara itu, akhirnya bulan Ogos lalu, hotel yang bercirikan ‘butik’ itu beroperasi di Kelantan.

Bagaimanapun, menurutnya, ianya akan dibuka secara rasmi pada 14 Oktober ini di mana satu majlis perasmian akan diadakan.

Menurutnya lagi, berdasarkan maklumat yang diperolehi peluang ekonomi di Kelantan akan bertambah maju pada masa akan datang.

“Kerana itu kami sebagai orang bisnes sanggup melabur di negeri ini dalam eset yang lain pula,” ujarnya.

Tambahnya, pada masa yang sama ianya juga bakal memberi peluang pekerjaan pada masyarakat Kelantan apabila sebahagian besar pekerja di hotel tersebut termasuk ‘show room’ Habib Jewels dan kilang terdiri dari masyarakat Kelantan.

Sambung Razak lagi, sambutan orang ramai terhadap hotelnya hampir memenuhi sasaran sebagaimana yang dijangkakan walaupun baru sebulan dibuka.

Ini kerana, katanya lebih 50 peratus pengunjung telah mendiami hotel tersebut yang terdiri dari ahli perniagaan, kakitangan kerajaan Persekutuan dan pelancong tempatan.

Hotel Habib menawarkan dua pilihan kepada pelanggannya iaitu superior dengan harga RM130 dan deluxe RM150 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 32 bilik.

Kedudukannya yang begitu strategik di tengah bandar Kota Bharu dijangka akan mendapat sambutan yang lebih hebat pada masa akan datang.

Monday, September 27, 2010

HDL bangun pusat sehenti automotif RM42j di Kuantan

2010/09/28
HDL Global Resources Sdn Bhd, sebuah syarikat hartanah, sewa pajak dan pengurusan projek, akan membangunkan pusat sehenti automotif dikenali "East Coast Auto City (ECAC)" bernilai RM42 juta di Bandar Putra, Tanjung Lumpur, Kuantan.

Presidennya, M Samueil Mohd Kameil, berkata ECAC akan dilengkapi ruang pameran kereta, aksesori, perkhidmatan pinjaman dan selepas jualan serta pusat membeli belah. Beliau berkata, pembangunan di tapak seluas 16.1 hektar itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada Ogos tahun depan. "Di ECAC ini, peminat auto akan dikagumi dengan rangkaian kereta berprestasi tinggi, kereta mewah sehinggalah kepada kereta yang unik dan jarang terdapat di Malaysia," katanya pada majlis pecah tanah ECAC yang disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob semalam.

Katanya, ECAC yang adalah yang pertama seumpamanya di negara ini juga, mampu menjadi tarikan pelancong di Pahang.

Sementara itu, Adnan berkata, pembangunan ECAC tidak dilihat menyaingi hab automotif di Pekan.

"Hab automotif masih lagi di Pekan, ECAC ini adalah pusat jualan automotif yang lengkap," katanya.
Beliau turut meminta HDL Global Resources supaya menjalinkan kerjasama dengan syarikat automotif di Pekan dalam memasarkan produk mereka di ECAC

Payar Investment, Camco jalin kerjasama

2010/09/28
KHAZANAH Nasional Bhd, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Payar Investment Ltd, menjalin usaha sama dengan Camco International Ltd, syarikat teknologi hijau United Kingdom (UK) untuk menubuhkan sebuah syarikat pengurangan bahan buangan di Asia Tenggara.

Sayap pelaburan kerajaan itu dalam kenyataannya, berkata syarikat usaha sama itu akan menumpukan pelaburan dalam projek pemerosesan bahan buangan kepada tenaga, pembangunan kredit karbon dan perkhidmatan perundingan dengan modal permulaan AS$30 juta (RM92.7 juta). Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar (atas), berkata usaha sama itu akan memboleh-kannya meningkatkan pengetahuan dan mewujudkan platform perniagaan untuk melaksanakan projek-projek Mekanisma Pembangunan Bersih di Malaysia dan Asia Tenggara. “Usaha sama itu diharap dapat menyumbang kepada sasaran Malaysia dalam mengurangkan tahap pelepasan produk keluaran kasar sebenar menjelang 2020.

"Ia juga akan berperanan sebagai jentera untuk membangunkannya secara komersial sebagai sebahagian daripada komponen Model Ekonomi Baru, selain menangani keperluan kritikal dalam meningkatkan kesedaran dan sokongan mengenai isu-isu perubahan iklim di Malaysia.

“Adalah diharapkan ia dapat menyumbang dengan lebih ketara terhadap komitmen yang dibuat di Copenhagen lewat tahun lalu untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020," katanya.

Sebahagian daripada transaksi itu, Khazanah akan melabur RM9.1 juta dalam Camco menerusi langganan lima peratus saham biasa pada harga 20 pence sesaham.
Khazanah juga akan memperoleh 19.6 peratus saham baru dalam Camco, yang akan memberikan syarikat itu pegangan kepentingan keseluruhan dalam Camco sebanyak 23 peratus.

Camco kini memiliki operasi di Amerika Syarikat (AS), Eropah, China, Afrika, Russia dan Asia Tenggara

Friday, September 24, 2010

Pesawat AirAsia Airbus A320 istimewa diperkenalkan

24/09/2010 6:48pm


KUALA LUMPUR 24 Sept. - AirAsia dan Lotus Racing memperkenalkan pesawat AirAsia Airbus A320 yang dihiasi dengan warna klasik Lotus Racing di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura hari ini.

Pengenalan itu juga berlaku serentak dengan perlumbaan Formula 1 Singtel Singapura 2010 yang berlangsung sehingga 26 Sept di Litar Marina Bay.

"Warna seragam ini bukan hanya mencerminkan perkongsian sinergetik kami, tetapi juga melambangkan bersama cabaran dan usaha gigih yang kami hadapi bagi menikmati kejayaan,” kata Ketua Pegawai Ekskeutif AirAsia Group yang juga Ketua Pasukan Lotus Racing Datuk Seri Tony Fernandes dalam satu kenyataan hari ini. - Bernama

Panasonic meterai MoU dengan Gold Coast Resort

24/09/2010 3:19pm


KUALA LUMPUR 24 Sept. 2010 - Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. memeterai perjanjian kerjasama bernilai RM3 juta dengan Gold Coast Morib Resort untuk membekalkan produk keluaran mereka Selasa lalu.

Rangkaian produk daripada penyaman udara dan kipas siling hinggalah kepada TV LCD dan pemain DVD akan dipasang di 673 bilik di resort tersebut.

Majlis permeterian itu menandakan perkongsian hijau The Gold Coast Morib Resort dengan Panasonic.

Kerjasama tersebut memberikan peluang kepada Panasonic Malaysia untuk meneroka teknologi dan penyelesaian inovasi hijau, secara perkongsian dengan resort tersebut.

"Kami di Panasonic Malaysia berbangga menjalin kerjasama ini ke arah tujuan yang sama memelihara alam sekitar dengan menyediakan produk kami kepada resort tersebut,” kata Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Jeff Lee. - Bernama

Thursday, September 23, 2010

Tan Chong pasang bas

2010/09/10
TAN Chong Motor Holdings Bhd akan memasang dan mengeluarkan bas berjenama Silver Bus untuk dipasarkan di Malaysia dan beberapa negara lain tidak lama lagi.

Langkah itu direalisasikan apabila syarikat itu menerusi anak syarikatnya Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) memeterai perjanjian eksklusif francais dan pengedaran unit komponen terurai (CKD) dengan syarikat pengeluar bas China, Xi’an Silver Bus Corp. Tan Chong dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia berkata, urus niaga bertempoh 10 tahun itu membabitkan pemasangan dan pengedaran bas CKD jenama Silver Bus di Malaysia dan negara lain yang dipersetujui TCIE dan Silver Bus. “Pemasangan dan pengedaran kenderaan Silver Bus dilaksanakan menggunakan struktur perniagaan sedia ada TCIE.

“Ia akan memudahkan syarikat memperluas rangkaian produknya kepada koc mewah China dengan pelaburan perbelanjaan modal yang minimum,” katanya.

Syarikat itu berkata, perbelanjaan untuk perniagaan baru itu dianggarkan RM100,000 yang akan dibiayai sepenuhnya menerusi sumber dalaman syarikat.

Proton rancang perkenalkan enjin turbo tahun depan

23/09/2010 6:06pm


SHAH ALAM 23 Sept. 2010 – Proton Holdings Bhd. akan memperkenalkan enjin bercaj turbo yang baharu tahun depan dengan Proton Exora dijadikan sebagai model pertama menggunakannya.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, prestasi enjin itu adalah bersamaan dengan enjin dua liter.

"Enjin itu akan menyokong produk-produk masa depan Proton yang berkaitan dengan prestasi yang dipertingkatkan, pelepasan dan kualiti,” kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini hari ini.

Syed Zainal Abidin berkata, sebelum akhir tahun, syarikat pembuat kereta negara itu akan melancarkan versi berwajah baharu model sedia ada dan model baharu dengan kerjasama Mitsubishi Motors.

Model baharu itu ialah penggantian untuk Waja, kata beliau.

Beliau berkata, harga model penggantian Waja lebih tinggi sedikit seiring dengan prestasi dan ciri-ciri yang lebih baik.

"Proton telah pun memulakan pembangunan kenderaan hibrid dan elektrik yang pada masa ini tertakluk kepada penilaian prestasi, ujian dan penilaian keselamatan,” kata beliau. – Bernama

Tuesday, September 21, 2010

AirAsia tawar tambang KL-Tokyo RM180

2010/09/22
AIRASIA Bhd, syarikat penerbangan tambang murah antarabangsa pertama yang melakukan penerbangan ke lapangan terbang Haneda di Jepun merancang memulakan perkhidmatan antara Tokyo dan Kuala Lumpur dengan tambang serendah AS$58 (RM180) dan berhasrat meluaskan perkhidmatannya ke tiga lagi lapangan terbang Jepun.

Dalam satu langkah yang akan menyemarakkan lagi persaingan harga untuk laluan penerbangan Jepun, tambang berharga 5,000 yen itu ditawarkan dari Disember hingga Julai 2011, iaitu selepas itu harga tambangnya bermula dari 10,000 yen (AS$116), dengan tempat duduk premium berharga 48,000 yen. Ia lebih murah berbanding harga semasa antara AS$650 hingga AS$2,000 untuk laluan sama ditawarkan syarikat penerbangan lain seperti Japan Airlines, All Nippon Airways, Penerbangan Malaysia (MAS) dan Cathay Pacific. Harga ditawarkan itu menjejaki harga tiket serendah 4,000 yen bagi laluan antara Shanghai dan lapangan terbang Ibaraki, 85 kilometer di utara Tokyo ditawarkan syarikat China, Spring Airlines.

Syarikat penerbangan tambang murah berdepan kesukaran berkembang ke Jepun sebelum ini berikutan kos buruh yang tinggi dan ruang terhad yang ada pada lapangan terbang utama.

Bagaimanapun, lapangan terbang Haneda yang lebih dekat dengan pusat bandar raya Tokyo berbanding lapangan terbang antarabangsa utamanya, Narita akan membuka landasan keempatnya bulan depan, manakala satu pakatan langit terbuka baru akan mengurangkan sekatan kerajaan terhadap syarikat penerbangan untuk keluar dan masuk ke Jepun.

Wednesday, September 8, 2010

Google rancang laman web di TV

2010/09/09
Perkhidmatan layari internet menerusi kaca televisyen ditawar secara percuma

GOOGLE akan memperkenalkan perkhidmatan baru untuk membawa laman webnya ke skrin televisyen ke seluruh dunia pada tahun depan selepas merancang melancarkannya di Amerika Syarikat pada musim luruh ini, kata Ketua Eksekutifnya, Eric Schmidt. Langkah berkenaan adalah antara usaha pengendali laman web carian bersepadu itu untuk mengembangkan capai produknya daripada desktop ke ruang tamu kediaman. Schmidt berkata, perkhidmatan, yang akan membolehkan internet dilayari sepenuhnya menerusi televisyen, akan ditawarkan secara percuma dan Google akan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pengendali program serta pengeluar produk elektronik untuk membawanya kepada pengguna.

“Kami akan bekerjasama dengan penyedia kandungan, tetapi yang pastinya kami tidak akan terbabit dalam pengeluaran kandungan sebenar,” kata Schmidt.

Beliau berkata kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada pameran elektronik pengguna IFA di Berlin, kelmarin.

Pengumuman Google itu dibuat kurang seminggu selepas pesaingnya, Apple melancarkan produk terbaru Apple TV, justeru, menghangatkan lagi persaingan untuk mendapatkan perhatian pengguna dan meraih potensi pasaran pengiklanan TV global yang bernilai AS$180 bilion.
Schmidt juga berkata, Google akan mengumumkan kerjasama dengan beberapa pengeluar komputer tablet yang akan menggunakan sistem operasi barunya Google Chrome menjelang hujung tahun ini.

Sistem yang dijadual untuk dilancarkan tidak lama lagi itu, adalah berbeza berbanding perisian telefon Android yang digunakan pada telefon mudah alih ketika ini.

Google bercadang untuk menjadikan browsernya, Chrome, yang bersaing dengan Internet Explorer keluaran Microsoft dan Firefox oleh Mozilla, sebagai pusat sistem operasi yang menawarkan pelbagai alternatif kepada Microsoft Windows. — Reuters

MAS manfaat ICT bagi kurangkan kos operasi

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2010/09/09
Aplikasi telekomunikasi, laman web mudahkan pengguna

PENERBANGAN Malaysia (MAS) dalam proses meningkatkan sumber pendapatan sampingan serta mengurangkan kos operasinya sebanyak mungkin menerusi penggunaan aplikasi telekomunikasi mudah alih dan internet terkini. Pengurus Besar Kanan (Strategi Komersial) MAS, Dr Amin Khan, berkata selain bertujuan menambahkan hasil pendapatan syarikat, pengenalan aplikasi itu juga bakal menyenangkan pelanggan menerusi penawaran satu penyelesaian lengkap. Beliau berkata, antara pembaharuan yang dibawakan MAS ialah dengan menjadi syarikat penerbangan pertama yang memperkenalkan portal khusus dikenali MHmobile bagi membolehkan penumpang melakukan sendiri tempahan tiket, menentukan tempat duduk dan mendaftar masuk menggunakan telefon pintar masing-masing.

“Langkah itu bukan saja bertujuan menawarkan satu penerbangan yang menyenangkan penumpang, tetapi ia dapat menjimatkan kos operasi bagi syarikat penerbangan bagi membolehkannya menawarkan harga tambang lebih murah.

“Ini adalah sebahagian daripada cara MAS menggunakan idea inovatif bagi meningkatkan pendapatan syarikat ketika industri penerbangan berdepan dengan kesukaran berikutan hasil pendapatan yang berkurangan,” katanya dalam satu temu bual di Subang, baru-baru ini.

Amin berkata, jumlah pelanggan MAS memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) terkini termasuk menggunakan kemudahan laman web bagi membuat tempahan tiket juga semakin menggalakkan.
“Setiap seorang daripada empat penumpang MAS kini menggunakan internet bagi membeli tiket,” katanya.

Jelasnya lagi, MAS juga menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia memperkenalkan kemudahan pembelian tiket dan mendaftar masuk menggunakan iPad menerusi MHkiosk yang terdapat di KL Sentral.

Amin berkata, syarikat penerbangan itu juga sedang membangunkan aplikasi khusus untuk pengguna telefon pintar iPhone yang membolehkan pengguna menikmati keistimewaan eksklusif seperti mendapat harga istimewa di kedai di lapangan terbang.

“Pengenalan perkhidmatan seperti ini akan memberikan pendapatan sampingan kepada syarikat apabila kami boleh mengenakan caj tertentu kepada pekedai yang dikunjungi pengguna iPhone hasil daripada maklumat yang kami berikan,” katanya.

Amin berkata, bagi mengurangkan kos operasi, MAS juga sedang melihat usaha memperkenalkan konsep ‘pejabat pintar mudah alih’ menjelang akhir tahun ini yang bertanggungjawab bagi melayan panggilan daripada pelanggan di stesen tertentu di luar negara.

Konsep pejabat bergerak itu, katanya, membolehkan MAS menempatkan jumlah kakitangan yang minimum bagi mengendalikan sesebuah pusat panggilan tanpa perlu mewujudkan pejabat perwakilan yang menelan kos tinggi

Tuesday, September 7, 2010

Widad Agrofarm tawar daging RM18 sekilo sempena raya

07/09/2010 2:57pm


ALOR SETAR 7 Sept. – Widad Agrofarm Sdn. Bhd. (Widad), syarikat pembekal lembu fidlot terbesar di utara Malaysia, sekali lagi menawarkan daging lembu segar berkualiti pada harga RM18 sekilogram sempena Aidilfitri.

Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Ahmad Shabudin Ariffin, harga istimewa itu ditawarkan mulai permulaan puasa dan akan dikekalkan sehingga Hari Raya Aidiladha November ini.

"Walaupun permintaan meningkat menjelang perayaan, dan harga siling ditetapkan pada RM19 sekilogram, syarikat itu masih mengekalkan harga kompetitif dan tidak menaikkan harga jualan runcit,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ahmad Shabudin berkata, orang ramai boleh mendapatkan bekalan daging di kiosk tetap Widad di Jalan Langgar di sini yang dibuka dari 7 pagi hingga 5 petang setiap hari atau menghubungi talian bebas tol 1800-88-6116. – Bernama

Monday, September 6, 2010

JobsDB.com perkukuhkan pasaran dua tahun lagi

Oleh Shahrizan Salian

2010/09/07
JOBS DB Malaysia Sdn Bhd, pengendali portal pencarian kerja JobsDB.com untuk pasaran Malaysia berhasrat mengukuhkan perniagaannya di negara ini dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengurus Besarnya, Jefferey Goh, berkata berdasarkan usaha yang sedang giat dilaksanakan, Jobs DB Malaysia menyasar sumbangannya kepada pendapatan syarikat induknya, JDB Holdings Ltd yang berpangkalan di Hong Kong meningkat kepada 30 peratus berbanding 10 peratus ketika ini. Antara usaha yang sedang giat dijalankan tahun ini ialah mengukuhkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan serta majikan. Kami akan melaksanakan program pengembangan berskala besar pada tahun depan dengan barisan majikan baru berdaftar dengan portal JobsDB.com, katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Jobs DB Malaysia dengan Persatuan Antarabangsa Arkitek Perisian (IASA) bagi tujuan menjalankan program Pusat Latihan Pencari Kerja JobsDB di Kuala Lumpur, semalam.

Hingga kini, portal JobsDB.com mempunyai 14,000 majikan berdaftar dengan pangkalan datanya merangkumi seluruh sektor industri manakala bilangan pencari kerja yang mendaftar dengan portal itu pula mencecah 650,000 orang.

Portal JobsDB.com mula diperkenalkan di Malaysia pada 1999 dan Jobs DB Malaysia adalah syarikat pertama di negara ini yang menganjurkan Pesta Kerjaya pada peringkat nasional pada 2005.

Syarikat induknya, JDB Holdings Ltd mempunyai operasi di sembilan negara termasuk China, India, Indonesia dan Thailand dengan 220,000 pelanggan korporat. Tahun lalu, ia meraih pendapatan berjumlah HK$400 juta (RM160 juta).
Mengulas prospek pekerjaan di Malaysia untuk 2010, Goh berkata syarikat tidak melihat peluang kerja yang semakin berkurang di sebalik jangkaan pertumbuhan ekonomi yang perlahan untuk separuh kedua tahun ini.

Bilangan pekerjaan yang tersedia di pasaran tidak pernah berkurang dan kami sendiri berkembang secara pesat. Pada masa sama, secara purata kami menerima 3,000 pendaftar kerja baru dalam portal JobsDB.com setiap bulan, katanya sambil menambah bulan lalu ia mencatatkan bilangan pencari kerja tertinggi dalam sejarah penubuhannya di Malaysia.

Syarikat itu meraih pendapatannya menerusi caj dikenakan terhadap majikan yang mengiklankan peluang pekerjaan dalam portal carian kerja yang dikendalikannya

Wednesday, September 1, 2010

DRB-HICOM mahu keluar kereta sport mesra alam

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/09/02


MODEL Westfields Sportscars antara kereta sport yang dikeluarkan Potenza Sports Cars Ltd.Realisasi wawasan mereka cipta kenderaan berjenama sendiri

DRB-HICOM Bhd akan mengeluarkan kereta sport mesra alam mampu milik untuk pasaran tempatan dan Asia Pasifik secara usaha sama dengan firma dari United Kingdom, Potenza Sports Cars Ltd (PSC). Ia susulan selesainya daya maju yang dilaksanakan kedua-dua syarikat itu April lalu. Perjanjian bagi usaha sama itu dimeterai kedua-dua syarikat itu di Shah Alam semalam.

Pada majlis itu DRB-Hicom diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, manakala PSC oleh Pengeru-sinya, Frank Turner. Ia disaksikan Pengarah Perdagangan dan Pelaburan Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Trevor Lewis.

Mohd Khamil dalam kenyataannya mengumumkan usaha sama itu berkata salah satu bidang yang akan dilaksanakan kedua-dua pihak bakal menyaksikan pengeluaran rangkaian model kereta sport baru yang canggih dan berteknologi maju buatan Malaysia.

“Bagi DRB-HICOM, ini adalah langkah besar ke arah merealisasikan wawasan kumpulan untuk mereka cipta dan menghasilkan jenama kenderaan sendiri dengan kerjasama rakan global,” katanya.
Mohd Khamil berkata, kerjasama itu akan turut menyaksikan penubuhan sebuah syarikat usaha sama yang akan menjadi pengimport eksklusif, pengeluar dan pengedar kereta sport Potenza, termasuk varian elektrik dan hibrid untuk pasaran domestik dan rantau Asia Pasifik.

Katanya, syarikat usaha sama itu akan mengeksport komponen dan peralatan CKD buatan Malaysia ke PSC bagi tujuan pemasangan di kilangnya di United King-dom untuk pasaran Eropah dan negara berpotensi lain.

“Peralatan CKD dan unit CBU itu akan dihasilkan di kompleks automotif DRB-Hicom di Pekan. Kami menjangkakan pengeluaran akan bermula menjelang 2012,” katanya.

PSC adalah sebahagian daripada Kumpulan Potenza - merangkumi Potenza Technology dan Potenza Enterprises yang terbabit dalam pembangunan teknologi untuk pesawat dan aplikasi automotif, penjagaan kesihatan dan ortopedik.

Ia memiliki rangkaian pengeluar kereta lumba Westfield Sportscars dan GTM Cars yang mengeluarkan 300 hingga 400 unit kenderaan setahun, dijual secara CBU dan komponen.