Thursday, September 23, 2010

Proton rancang perkenalkan enjin turbo tahun depan

23/09/2010 6:06pm


SHAH ALAM 23 Sept. 2010 – Proton Holdings Bhd. akan memperkenalkan enjin bercaj turbo yang baharu tahun depan dengan Proton Exora dijadikan sebagai model pertama menggunakannya.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, prestasi enjin itu adalah bersamaan dengan enjin dua liter.

"Enjin itu akan menyokong produk-produk masa depan Proton yang berkaitan dengan prestasi yang dipertingkatkan, pelepasan dan kualiti,” kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini hari ini.

Syed Zainal Abidin berkata, sebelum akhir tahun, syarikat pembuat kereta negara itu akan melancarkan versi berwajah baharu model sedia ada dan model baharu dengan kerjasama Mitsubishi Motors.

Model baharu itu ialah penggantian untuk Waja, kata beliau.

Beliau berkata, harga model penggantian Waja lebih tinggi sedikit seiring dengan prestasi dan ciri-ciri yang lebih baik.

"Proton telah pun memulakan pembangunan kenderaan hibrid dan elektrik yang pada masa ini tertakluk kepada penilaian prestasi, ujian dan penilaian keselamatan,” kata beliau. – Bernama

No comments:

Post a Comment