Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2010/09/09
Aplikasi telekomunikasi, laman web mudahkan pengguna
PENERBANGAN Malaysia (MAS) dalam proses meningkatkan sumber pendapatan sampingan serta mengurangkan kos operasinya sebanyak mungkin menerusi penggunaan aplikasi telekomunikasi mudah alih dan internet terkini. Pengurus Besar Kanan (Strategi Komersial) MAS, Dr Amin Khan, berkata selain bertujuan menambahkan hasil pendapatan syarikat, pengenalan aplikasi itu juga bakal menyenangkan pelanggan menerusi penawaran satu penyelesaian lengkap. Beliau berkata, antara pembaharuan yang dibawakan MAS ialah dengan menjadi syarikat penerbangan pertama yang memperkenalkan portal khusus dikenali MHmobile bagi membolehkan penumpang melakukan sendiri tempahan tiket, menentukan tempat duduk dan mendaftar masuk menggunakan telefon pintar masing-masing.
“Langkah itu bukan saja bertujuan menawarkan satu penerbangan yang menyenangkan penumpang, tetapi ia dapat menjimatkan kos operasi bagi syarikat penerbangan bagi membolehkannya menawarkan harga tambang lebih murah.
“Ini adalah sebahagian daripada cara MAS menggunakan idea inovatif bagi meningkatkan pendapatan syarikat ketika industri penerbangan berdepan dengan kesukaran berikutan hasil pendapatan yang berkurangan,” katanya dalam satu temu bual di Subang, baru-baru ini.
Amin berkata, jumlah pelanggan MAS memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) terkini termasuk menggunakan kemudahan laman web bagi membuat tempahan tiket juga semakin menggalakkan.
“Setiap seorang daripada empat penumpang MAS kini menggunakan internet bagi membeli tiket,” katanya.
Jelasnya lagi, MAS juga menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia memperkenalkan kemudahan pembelian tiket dan mendaftar masuk menggunakan iPad menerusi MHkiosk yang terdapat di KL Sentral.
Amin berkata, syarikat penerbangan itu juga sedang membangunkan aplikasi khusus untuk pengguna telefon pintar iPhone yang membolehkan pengguna menikmati keistimewaan eksklusif seperti mendapat harga istimewa di kedai di lapangan terbang.
“Pengenalan perkhidmatan seperti ini akan memberikan pendapatan sampingan kepada syarikat apabila kami boleh mengenakan caj tertentu kepada pekedai yang dikunjungi pengguna iPhone hasil daripada maklumat yang kami berikan,” katanya.
Amin berkata, bagi mengurangkan kos operasi, MAS juga sedang melihat usaha memperkenalkan konsep ‘pejabat pintar mudah alih’ menjelang akhir tahun ini yang bertanggungjawab bagi melayan panggilan daripada pelanggan di stesen tertentu di luar negara.
Konsep pejabat bergerak itu, katanya, membolehkan MAS menempatkan jumlah kakitangan yang minimum bagi mengendalikan sesebuah pusat panggilan tanpa perlu mewujudkan pejabat perwakilan yang menelan kos tinggi
Wednesday, September 8, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment