Monday, September 6, 2010

JobsDB.com perkukuhkan pasaran dua tahun lagi

Oleh Shahrizan Salian

2010/09/07
JOBS DB Malaysia Sdn Bhd, pengendali portal pencarian kerja JobsDB.com untuk pasaran Malaysia berhasrat mengukuhkan perniagaannya di negara ini dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengurus Besarnya, Jefferey Goh, berkata berdasarkan usaha yang sedang giat dilaksanakan, Jobs DB Malaysia menyasar sumbangannya kepada pendapatan syarikat induknya, JDB Holdings Ltd yang berpangkalan di Hong Kong meningkat kepada 30 peratus berbanding 10 peratus ketika ini. Antara usaha yang sedang giat dijalankan tahun ini ialah mengukuhkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan serta majikan. Kami akan melaksanakan program pengembangan berskala besar pada tahun depan dengan barisan majikan baru berdaftar dengan portal JobsDB.com, katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Jobs DB Malaysia dengan Persatuan Antarabangsa Arkitek Perisian (IASA) bagi tujuan menjalankan program Pusat Latihan Pencari Kerja JobsDB di Kuala Lumpur, semalam.

Hingga kini, portal JobsDB.com mempunyai 14,000 majikan berdaftar dengan pangkalan datanya merangkumi seluruh sektor industri manakala bilangan pencari kerja yang mendaftar dengan portal itu pula mencecah 650,000 orang.

Portal JobsDB.com mula diperkenalkan di Malaysia pada 1999 dan Jobs DB Malaysia adalah syarikat pertama di negara ini yang menganjurkan Pesta Kerjaya pada peringkat nasional pada 2005.

Syarikat induknya, JDB Holdings Ltd mempunyai operasi di sembilan negara termasuk China, India, Indonesia dan Thailand dengan 220,000 pelanggan korporat. Tahun lalu, ia meraih pendapatan berjumlah HK$400 juta (RM160 juta).
Mengulas prospek pekerjaan di Malaysia untuk 2010, Goh berkata syarikat tidak melihat peluang kerja yang semakin berkurang di sebalik jangkaan pertumbuhan ekonomi yang perlahan untuk separuh kedua tahun ini.

Bilangan pekerjaan yang tersedia di pasaran tidak pernah berkurang dan kami sendiri berkembang secara pesat. Pada masa sama, secara purata kami menerima 3,000 pendaftar kerja baru dalam portal JobsDB.com setiap bulan, katanya sambil menambah bulan lalu ia mencatatkan bilangan pencari kerja tertinggi dalam sejarah penubuhannya di Malaysia.

Syarikat itu meraih pendapatannya menerusi caj dikenakan terhadap majikan yang mengiklankan peluang pekerjaan dalam portal carian kerja yang dikendalikannya

No comments:

Post a Comment