Wednesday, September 8, 2010

Google rancang laman web di TV

2010/09/09
Perkhidmatan layari internet menerusi kaca televisyen ditawar secara percuma

GOOGLE akan memperkenalkan perkhidmatan baru untuk membawa laman webnya ke skrin televisyen ke seluruh dunia pada tahun depan selepas merancang melancarkannya di Amerika Syarikat pada musim luruh ini, kata Ketua Eksekutifnya, Eric Schmidt. Langkah berkenaan adalah antara usaha pengendali laman web carian bersepadu itu untuk mengembangkan capai produknya daripada desktop ke ruang tamu kediaman. Schmidt berkata, perkhidmatan, yang akan membolehkan internet dilayari sepenuhnya menerusi televisyen, akan ditawarkan secara percuma dan Google akan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pengendali program serta pengeluar produk elektronik untuk membawanya kepada pengguna.

“Kami akan bekerjasama dengan penyedia kandungan, tetapi yang pastinya kami tidak akan terbabit dalam pengeluaran kandungan sebenar,” kata Schmidt.

Beliau berkata kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada pameran elektronik pengguna IFA di Berlin, kelmarin.

Pengumuman Google itu dibuat kurang seminggu selepas pesaingnya, Apple melancarkan produk terbaru Apple TV, justeru, menghangatkan lagi persaingan untuk mendapatkan perhatian pengguna dan meraih potensi pasaran pengiklanan TV global yang bernilai AS$180 bilion.
Schmidt juga berkata, Google akan mengumumkan kerjasama dengan beberapa pengeluar komputer tablet yang akan menggunakan sistem operasi barunya Google Chrome menjelang hujung tahun ini.

Sistem yang dijadual untuk dilancarkan tidak lama lagi itu, adalah berbeza berbanding perisian telefon Android yang digunakan pada telefon mudah alih ketika ini.

Google bercadang untuk menjadikan browsernya, Chrome, yang bersaing dengan Internet Explorer keluaran Microsoft dan Firefox oleh Mozilla, sebagai pusat sistem operasi yang menawarkan pelbagai alternatif kepada Microsoft Windows. — Reuters

No comments:

Post a Comment