Sunday, October 31, 2010

Samsung Malaysia yakin wujud 100 kedai jualan

2010/11/01
SAMSUNG Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd yakin sasaran untuk mewujudkan 100 kedai jualan dan perkhidmatan di seluruh negara akan dicapai menjelang penghujung tahun ini.

Ketika ini, syarikat teknologi terbesar dunia itu sudah memiliki 70 kedai di seluruh negara sekali gus menjadikan negara ini antara pusat jualan terbesar produk jenama Samsung di Asia Tenggara. Naib Presidennya, Chan Lock, berkata sasaran itu dianggap realistik berdasarkan perkembangan terkini apabila semua cawangan semakin rancak mewujudkan premis baru. Beliau berkata, walaupun masa semakin singkat, beliau percaya 30 lagi kedai baru Samsung akan berjaya diwujudkan.

“Sekarang kita berusaha sedaya upaya untuk mencapai sasaran itu.

“Kita akan memberikan tumpuan di kawasan bandar utama di seluruh negara termasuk membuka kedai baru di Miri, Sibu dan Bintulu di Sarawak, manakala di Sabah pula, kita akan menambah kedai di beberapa bandar antaranya Kota Kinabalu dan Sandakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Berita Harian selepas merasmikan Samsung Digital Centre di Jalan Sekama, Kuching baru-baru ini.
Pusat perkhidmatan Samsung Digital Centre yang kedua di Kuching itu adalah usaha sama antara SME dengan Mega Auto.

“Pembukaan pusat ini adalah antara pendekatan agresif kami untuk mengukuhkan lagi kedudukan dalam pasaran produk elektronik di Malaysia dan juga di seluruh Asia Tenggara,” katanya

Orang Kampung buka pusat jualan di Indonesia

2010/11/01
ORANG Kampung Holdings (M) Sdn Bhd, pengeluar pelbagai produk kesihatan, bakal membuka pusat jualan di Indonesia pada awal tahun depan dalam usaha memperkasakan jenama ‘OK’ di luar negara.

Pengarah Urusannya, Habibul Ajmi Manggar, berkata syarikat mula meneroka pasaran luar negara khususnya Indonesia sejak lapan tahun lepas. “Di Indonesia produk terlaris adalah Teh Herba Asli. Kita berharap pusat jualan ini dapat mengukuh dan mengembangkan pasaran kita di sana,” katanya di Melaka, kelmarin. Habibul Ajmi berkata, dengan pembukaan pusat jualan itu, syarikat itu akan memperkenalkan Teh Herba Halia, Teh Herba Limau Purut, Kopi Tongkat Ali dan Kopi Kacip Fatimah di pasaran Indonesia.

Selain Indonesia, katanya, syarikat juga memasarkan produknya di Singapura, Brunei dan Hong Kong dan pasaran di Asia Barat seperti Dubai dan Arab Saudi.

Beliau berkata, produk berasaskan herba paling mendapat sambutan di Malaysia, Indonesia dan Brunei manakala produk berasaskan minuman kopi di Singapura dan Timur Tengah.

“Kita sedang mengkaji pasaran di Mesir di mana selain menghantar produk ke sana, kita juga mengkaji mengimport herba dari Mesir untuk dipasarkan di dalam negara,” katanya.
Beliau berkata, syarikat itu juga sedang mengkaji pasaran di Amerika Syarikat dan sebagai percubaan, sebanyak tiga kontena produk keluaran syarikat itu dihantar ke California.

Pasaran luar negara menyumbang lebih 20 peratus daripada jualan tahunan syarikat itu di mana pada tahun lepas ia memperoleh kira-kira RM20 juta jumlah jualan keseluruhan dan pihaknya menyasarkan kenaikan jualan antara 10 dan 15 peratus setiap tahun, katanya. – BERNAMA

SapuraCrest bertapak di Vietnam

Oleh Sariha Mohd Ali di Hanoi, Vietnam
bhnews@bharian.com.my
2010/11/01
Meterai kerjasama dengan PTSC bangunkan projek berkaitan minyak, gas

SAPURACREST Petroleum Bhd (SapuraCrest), syarikat berkaitan minyak dan gas tempatan terus memantapkan operasi serantaunya menerusi pengembangan perniagaan ke Vietnam selepas memiliki kehadiran di lebih lima negara Asia lain. Kelmarin syarikat itu memeterai perjanjian kerjasama dengan PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC) dengan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di satu majlis di luar acara Persidangan Asean ke-17 di Hanoi, Vietnam. Perjanjian itu akan membolehkan kedua-dua syarikat membangun dan menawarkan perkhidmatan bagi projek berkaitan minyak dan gas secara bersama di Vietnam termasuk kaji selidik gelombang seismos serta memasang dan pembinaan struktur di laut.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Eksekutif Kumpulan SapuraCrest, Datuk Shahril Shamsudin, berkata kerjasama SapuraCrest dan PTSC membolehkan kedua-dua pihak memenuhi permintaan pasaran di Vietnam, sekali gus bakal menyokong SapuraCrest dalam strategi pembangunan perniagaannya pada peringkat antarabangsa.

“Jumlah pelaburan kami dalam kerjasama ini belum ditentukan lagi, namun SapuraCrest akan menggunakan aset sedia ada dalam PTSC dan SapuraCrest
“Setakat ini, SapuraCrest beroperasi di India, Australia, Russia, Jepun dan Afrika, selain di negara rantau Asia Tenggara,” katanya.
Pada majlis itu, Sharil mewakili SapuraCrest, manakala PTSC diwakili Ketua Pengarahnya, Nguyen Hung Dung. Hadir sama, Pengerusi PTSC, Dinh La Thang yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam.

Selain itu, Sharil berkata, perjanjian itu juga bakal memberi manfaat kepada kedua-dua syarikat dari segi pertukaran kepakaran membabitkan kakitangan di Kuala Lumpur atau di Vietnam.

“Perjanjian ini membolehkan kita menghantar jurutera dan juruteknik menimba kepakaran di Vietnam dari semasa ke semasa, selain pihak di sini boleh memahami proses dan perkara teknikal serta struktur organisasi bagi projek yang akan dilaksanakan di negara ini dan rantau Indo-China dalam masa terdekat,” katanya.

SapuraCrest juga, kata beliau, menawarkan lima biasiswa kepada kakitangan PTSC melanjutkan pengajian ke Kolej Universiti Teknologi Maklumat Asia Pasifik (APIIT) di Kuala Lumpur dalam bidang kejuruteraan kimia, pengurusan perniagaan dan bidang lain yang ditentukan PTSC dalam usaha meningkatkan kemahiran kakitangan mereka.

Thursday, October 28, 2010

Firma China jadikan Malaysia hab alat ICT

2010/10/29
MAIPU Communication Technology Co Ltd (MAIPU), pengedar perkakasan dan aplikasi penyelesaian industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) China, bercadang menjadikan Malaysia sebagai hab perkhidmatannya bagi rantau Asia Tenggara.

Naib Presidennya, Jack Wang Jun berkata, susulan itu ia melantik Citra Communication Technology Sdn Bhd (CitraTech) sebagai pengedar eksklusif di Malaysia sebagai langkah awalnya menjayakan hasrat itu. Katanya, selain China, pasaran di Asia menyumbangkan kira-kira 70 peratus pendapatan keseluruhan syarikat, justeru pihaknya berpendapat adalah penting untuk syarikat mengukuhkan perkhidmatan selepas jualannya khususnya dengan membuka pusat perkhidmatan servis yang pertama di Asia Tenggara. “Kami memutuskan untuk memilih Malaysia sebagai hab perkhidmatan selepas jualan kami dengan membuka pusat servis di Kuala Lumpur berbanding negara lain di rantau ini.

“Keputusan itu tidak hanya berlandaskan sumbangan Malaysia kepada pendapatan keseluruhan syarikat sebanyak 10 peratus tapi juga persekitaran perniagaan kondusif disediakan kerajaan Malaysia,” katanya kepada media selepas majlis memeterai perjanjian kerjasama dan pelantikan pengedar eksklusif antara MAIPU dengan CitraTech di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, beliau mewakili Maipu manakala CitraTech diwakili Pengarah Urusannya, Zailani Ismail. Ia disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan dan Pengarah Urusan Numix Engineering Sdn Bhd, Abdul Razak Mohd Noor.

Sementara itu, Zailani berkata, pembinaan pusat servis itu akan menggunakan sepenuhnya dana dalaman syarikat dengan jangkaan kos antara RM1.5 juta hingga RM2 juta

Wednesday, October 27, 2010

Biocon rancang labur RM500j bina pusat R&D

2010/10/28
FIRMA bioteknologi India, Biocon Ltd merancang melabur RM500 juta untuk membina kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengeluaran bio di taman bioteknologi Bio-XCell di Iskandar Malaysia.

Komitmen daripada salah sebuah syarikat bioteknologi utama Asia itu adalah pelaburan asing terbesar yang diperoleh sektor bioteknologi di Malaysia setakat ini menerusi Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp). Ketua Eksekutif BiotechCorp yang juga Pengerusi Bio-XCell, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata pelaburan strategik dan berimpak tinggi itu berupaya menggerakkan industri bioteknologi negara ke peringkat seterusnya. “Pelaburan ini akan menjadi pemangkin dalam usaha pengkomersialan BiotechCorp ketika kita mula memasuki fasa kedua Dasar Bioteknologi Negara iaitu Fasa Sains ke Perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Kedua-dua pihak bertukar dokumen perjanjian bagi tujuan pelaburan itu selepas Ceramah Global Khazanah oleh Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh di Putrajaya, semalam. Ia disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Iskandar Mizal berkata, pelaburan oleh Biocon itu membolehkan Malaysia memiliki kemudahan pengeluaran biosimilar dan biofarmaseutikal canggih yang pertama.

Katanya, kehadiran Biocon akan merangsang pertumbuhan sektor terbabit kerana ia menyediakan peluang komersial untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bioteknologi selain mengembangkan perkhidmatan dan produk tempatan.
“Kami juga menjangkakan kehadiran lebih banyak gergasi global dalam bioteknologi yang mempunyai pakatan dengan Biocon, sekali gus memacu sektor ini ke tahap baru,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengarah Urusan Biocon, Kiran Mazumdar Shaw, berkata Malaysia adalah destinasi dunia yang menarik untuk bioteknologi, disokong oleh infrastruktur bertaraf dunia serta insentif cukai yang menarik.

“Pelaburan di Malaysia akan menyediakan kami lokasi antarabangsa yang strategik dari segi geografi memandangkan kedudukannya yang dekat dengan India.

“Biocon bangga kerana menjadi perintis dalam peluang baru ini ketika kami menyesuaikan operasi penyelidikan dan pembuatan bio dengan kemudahan di Malaysia untuk memperoleh kelebihan dari segi persaingan global,” katanya.

Biocon, yang beribu pejabat di Bangalore mempunyai pejabat perwakilan di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Abu Dhabi.

Produk keluaran firma itu dipasarkan ke 40 negara menerusi rangkaian formulasi dosej dalam kategori kardiologi, diabetologi, nefrologi, onkologi dan segmen terapi khusus lain.

Universiti Antarabangsa Manipal dibina di KL

Oleh Ahmad Fiesal Othman dan Shahrizan Salian
bhbiz@bharian.com.my
2010/10/28

Badan pendidikan India sedia labur RM650 juta

MANIPAL Education (ME) dari India akan melabur sehingga RM650 juta bagi menubuhkan Universiti Antarabangsa Manipal (MIU) di Kuala Lumpur, yang akan menawarkan pelbagai disiplin pengajian bertaraf dunia. Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Anand Sudarshan, berkata MIU yang akan memulakan pengambilan kumpulan pertama pelajarnya pada Mac atau Ogos tahun depan, bertujuan memenuhi keperluan pelajar Malaysia dan antarabangsa dari negara ASEAN, Asia Utara, Asia Barat dan Asia Tengah. Beliau berkata, buat permulaan MIU akan beroperasi di kampus sementara di Akademi Penerbangan Malaysia (MAS) di Kelana Jaya, Selangor sebelum beroperasi di kampus kekalnya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami sudah mengenal pasti tiga tapak bagi kampus kekal dengan keluasan 40 hektar itu, antaranya di Sepang dan satu lagi berdekatan dengan Taman Teknologi Selangor,” katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Hadir sama, Pengerusi ME, Mohandas Pai dan Setiausaha Bahagian Penyelarasan Dasar & Antarabangsa Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Rohani Abdullah.

Komitmen pelaburan MIU itu diumumkan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh ke Malaysia.
ME adalah ahli Kumpulan Manipal Education & Medical Group (MEMG), iaitu badan pendidikan utama dunia dan pembekal perkhidmatan akademik, latihan dan pendidikan di India.

Selama lebih 60 tahun, ME dianggap satu daripada badan pendidikan tinggi terbaik di India dan antara badan pendidikan tinggi swasta terbesar di dunia.

MIU yang akan berteraskan pendidikan kejuruteraan dan pengurusan akan menyediakan program peringkat Ijazah (Sarjana Muda) dan lepasan Ijazah dalam pelbagai disiplin termasuk beberapa bidang kejuruteraan, kajian pengurusan, perniagaan dan perdagangan, undang-undang, animasi dan reka bentuk serta hospitaliti dan pelancongan.

Program yang ditawarkan akan direka dan dibangunkan melalui kerjasama rapat dengan pelbagai industri untuk membolehkan lulusan MIU mudah mendapatkan pekerjaan.

ME sejak 10 tahun lalu telah menubuhkan dan menguruskan Melaka-Manipal Medical College (MMMC) di Melaka dan pelaburan terbaru itu membuktikan lagi komitmennya di Malaysia.

Anand berkata, MIU dijangka mampu menempatkan antara 15,000 hingga 20,000 pelajar dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun.

“Kami menjangkakan 50 peratus daripada pelajar MIU bakal terdiri daripada pelajar dari luar Malaysia,” katanya.

Tuesday, October 26, 2010

Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS sasar premium RM2j

2010/10/27
HONG Leong Tokio Marine Takaful Bhd (HLTM Takaful) menyasarkan premium sehingga RM2 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang daripada Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS yang diuruskannya di bawah inisiatif konsortium pengendali takaful Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Ketua Eksekutifnya, Ab Latiff Abu Bakar, berkata Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS itu adalah produk pertama daripada siri produk takaful yang akan diperkenalkan konsortium pengendali takaful CUEPACS. Beliau berkata, konsortium itu merancang melancarkan sekurang-kurangnya lima lagi pelan takaful untuk ahli CUEPACS yang berjumlah 1.2 juta, sebelum akhir tahun ini. “Bagi HLTM Takaful yang menjadi sebahagian konsortium pengendali takaful CUEPACS, kami menyasarkan melancarkan satu lagi produk sebelum akhir tahun,” katanya pada pelancaran Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Presiden CUEPACS, Omar Osman.

Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS menawarkan dua pelan takaful komprehensif iaitu simpanan dan perlindungan kemalangan diri akibat daripada kematian atau keilatan kekal menyeluruh (TPD).

Untuk menyertainya, peserta perlu membeli sekurang-kurangnya satu unit bermula serendah RM10 sebulan untuk simpanan dan RM2 sebulan untuk perlindungan kemalangan diri.

Penyertaan lebih daripada satu unit juga dibenarkan, tetapi sehingga maksimum 10 unit.
Ab Latiff berkata, menerusi Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS itu, peserta Islam diberi pilihan memilih perkhidmatan ‘Badal Haji’ atau upah Haji bagi membantu mereka memenuhi sebahagian daripada lima Rukun Islam dalam keadaan peserta mengalami kematian atau TPD.

Bagaimanapun katanya, pilihan itu harus dinyatakan ketika peserta mengisi borang permohonan Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS.

“Apabila berlaku kematian atau TPD, sebahagian manfaat peserta yang belum dibayar kepada peserta atau penama akan ditolak untuk pembayaran Badal Haji kepada TH Travel & Services Sdn Bhd,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata, pengenalan Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS itu selaras matlamat CUEPACS bagi membela kesejahteraan ahlinya dalam situasi membabitkan kemalangan, TPD atau kematian.

“Matlamat kami ialah supaya sekurang-kurangnya setiap ahli CUEPACS mempunyai pelan perlindungan insurans bagi membantu mereka dan keluarga dalam menghadapi situasi kecemasan akibat kemalangan, TPD atau kematian,” katanya

YTL lantik ECS edar peranti 4G

2010/10/27
YTL Communications Sdn Bhd melantik ECS Astar Sdn Bhd, anak syarikat ECS ICT Bhd sebagai pengedar eksklusif peranti 4G keluarannya di seluruh negara.

Di bawah perjanjian pelantikan itu, ECS Astar akan membeli peranti sokongan 4G YTL Communications dan mengedarkannya di lebih 2,500 rangkaian pengedarnya di seluruh negara, sekali gus memastikan produk berkenaan berada di pasaran menjelang pelancaran rangkaian 4G YTL bulan depan. Pengarah Urusannya ECS ICT, Foo Sen Chin, berkata beliau yakin syarikatnya mampu menawarkan capaian pelanggan dan penembusan pasaran yang tinggi untuk YTL Communications menerusi keupayaan rangkaian pengedarannya. “Peranan kami menyalurkan peranti sokongan 4G di seluruh negara bagi memastikannya mudah didapati di pasaran menjelang bulan depan,” katanya.

“Kami yakin ia mempunyai potensi pasaran yang besar berdasarkan liputan 4G WiMAX YTL Communications ini akan mencapai 65 peratus di seluruh negara menjelang pelancarannya pada November nanti,” katanya pada sidang media selepas memeterai perjanjian pelantikan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau mewakili ECS Astar manakala YTL Communication oleh Ketua Eksekutifnya, Wing K Lee. Ia disaksikan Pengarah Eksekutif YTL Communication, Datuk Yeoh Seok Hong dan Pengerusi ECS ICT, Datuk Teo Chiang Quan.

Sementara itu, Yeoh berkata, pihaknya berpendapat langkah melantik ECS Astar sebagai pengedar eksklusif adalah penting dalam pelan perluasan rangkaian 4G WiMAX YTL Communication.
Katanya, syarikat itu akan bekerjasama dengan ECS Astar bagi mengenal pasti pelan pemasaran strategik khususnya dalam usaha menawarkan produk di kawasan yang bakal mempunyai liputan

Wednesday, October 20, 2010

Berjaya Corp dibenar buka kilang pasang kenderaan

2010/10/21
BERJAYA Corporation Bhd memperoleh lesen daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menjalankan operasi kilang pemasang kenderaan komersial, kereta hibrid, kereta elektrik dan kenderaan penumpang mewah di Malaysia.

Kilang berkenaan akan dibangunkan di tapak seluas 40 hektar di Bukit Tagar, Selangor. Pengerusi dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Vincent Tan berkata, pemberian lesen itu memberi peluang kepada Berjaya Corporation untuk memasang kenderaan komersial dan penumpang di dalam negara.
Ini, katanya, memberikan syarikat itu lebih fleksibiliti dan keupayaan mengawal dari segi kualiti dan harga kenderaannya.

"Selain secara strategik akan melengkap dan memperluaskan rangkaian jenama kenderaan kami yang sedia ada, ia juga adalah satu peluang baik untuk mempromosikan teknologi hijau menerusi pembangunan kenderaan hibrid dan elektrik yang lebih mesra alam," katanya.

Beliau juga berkata Kumpulan itu berharap untuk memperluaskan penguasaannya dalam pasaran kenderaan dan meningkatkan lagi kehadiran di peringkat global.

Berjaya Corp menerusi syarikat 51 peratus miliknya, Changan Berjaya Auto Sdn Bhd diberikan lesen oleh Chang'an Automobile Co Ltd dari China untuk memasang dan mengedarkan kenderaan jenama Chana di Malaysia.
Menerusi Berjaya Brilliance Auto Sdn Bhd pula, kumpulan itu telah dilantik sebagai pemasang dan pengedar kenderaan komersil jenama ERA Jinbei keluaran Shenyang Brilliance Jinbei Automobile Co Ltd.

Tuesday, October 19, 2010

Maxis rancang bawa masuk iPad

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/10/20
Sasar jadi syarikat pertama pasarkan produk

MAXIS Bhd merancang menjadi syarikat telekomunikasi tempatan pertama membawa masuk iPad, keluaran Apple Inc ke negara ini tidak lama lagi. Ketua Pegawai Operasinya, Jean-Pascal van Overbeke berkata, pihaknya kini ‘sibuk’ membangunkan beberapa aplikasi terbaru untuk disesuaikan dengan iPad, iaitu komputer skrin sesentuh berbentuk tablet mudah alih.
“Kami akan memperkenalkannya (iPad) di pasaran Malaysia tidak lama lagi,” katanya ketika ditanya kemungkinan Maxis membawa masuk iPad ke pasaran tempatan selepas kejayaannya menjual rangkaian iPhone di Malaysia yang mendapat sambutan hangat penggemar gajet berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran ONEMusic, aplikasi perkhidmatan muzik terbaru Maxis yang boleh dimuat turun pelanggan Maxis dari pelbagai peralatan elektronik di Petaling Jaya, semalam.

Hadir sama Naib Presiden dan Ketua Produk, Peralatan dan Inovasi Maxis, T Kugan; Pengerusi One Stop Music Sdn Bhd (OSM), Ng Cheong Hock; dan Pengarah Eksekutif OSM, Edwin Tan.

Alat skrin sesentuh berbentuk tablet dikeluarkan pembuat komputer Macintosh, iPod dan iPhone itu kini dipasarkan dengan dua versi.
Versi WiFi iPad, membolehkan pengguna menonton video, mendengar muzik, bermain permainan video, melayari internet atau membaca buku secara dalam talian, dijual di pasaran AS dengan harga permulaan AS$499 (RM1,656.68) seunit.

Satu lagi model yang menampilkan gabungan aplikasi WiFi dan rangkaian hubungan 3G selular dipasarkan dengan harga AS$829 (RM2,752.28) seunit.

Menurut sumber dalaman Maxis, meskipun harga ditawarkan di AS adalah AS$499 bagi versi asas iPad, harganya dijangka kurang daripada RM2,000 seunit bagi pasaran Malaysia.

Sementara itu, van Overbeke berkata, Maxis sedang menyiapkan pelan perniagaannya untuk dibentangkan kepada kerajaan bagi memperoleh blok 20 megahertz (MHz) spektrum 4G.

“Perbincangan dan perangkaan pelan perniagaan masih berlangsung di peringkat dalaman dan dimuktamadkan sebelum membentangkannya kepada kerajaan,” katanya.
Mengikut laporan sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan lesen 4G atau evolusi jangka panjang yang hanya digunakan selepas 1 Januari 2013.

Selain Maxis, syarikat telekomunikasi seperti DiGi, Celcom, U Mobile, Asiaspace Sdn Bhd, Packet One Network (M) Sdn Bhd, REDtone International Bhd, dan YTL Communications Sdn Bhd sudah dimaklumkan oleh pengawal selia berkenaan yang mereka mungkin menerima 20Mhz daripada spektrum 2.6 gigahertz (Ghz) untuk perkhidmatan 4G tetapi lokasi blok akan ditentukan kelak.

Dalam pada itu, van Overbeke berkata, pelanggan Maxis yang ingin melanggan perkhidmatan ONEMusic yang menawarkan pelbagai genre muzik tempatan dan asing, hanya perlu membayar yuran langganan sebanyak RM8 sebulan dengan menaip ‘On ONEMusic’ dan menghantar khidmat pesanan ringkas ke 29000.

Monday, October 18, 2010

RHB, CGC meterai perjanjian bantu PKS

2010/10/19
KUMPULAN Perbankan RHB memeterai perjanjian dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) bagi membolehkannya menawarkan bantuan kewangan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah Program Bersama Jaminan Portfolio.

Perjanjian Jaminan Portfolio membabitkan nilai RM50 juta itu adalah peringkat pertama daripada potensi peruntukan RM200 juta di bawah program berkenaan. Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Tajuddin Atan, berkata RHB Bank Bhd adalah bank tempatan pertama memeterai perjanjian dengan CGC bagi menyediakan PKS platform baru mendapatkan akses pembiayaan dengan tempoh permohonan dan pengagihan pinjaman yang lebih cepat, walaupun dengan cagaran yang kurang.
Beliau berkata, kemudahan itu boleh didapati di semua Pusat Perniagaan Perbankan Komersil RHB di seluruh negara.

“Matlamat Program Jaminan Portfolio ini adalah untuk membantu PKS Malaysia yang berdaya maju dan berpotensi besar untuk berkembang, tetapi tidak cukup cagaran untuk mendapatkan pembiayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tajuddin memeterai perjanjian Jaminan Portfolio itu bagi pihak RHB Bank, manakala CGC diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad.

Tajuddin berkata, portfolio Perjanjian Jaminan ini menyediakan jaminan menerusi asas risiko bersama dan memberi manfaat kepada PKS menerusi penilaian kredit dan taja jamin yang telus berdasarkan model penilaian kredit BizPower RHB “Produk ini antara inisiatif yang diambil bagi meningkatkan kedudukan RHB dari segi memberikan pembiayaan kepada PKS untuk menjadi satu daripada pemberi pinjaman utama kepada PKS di Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai inisiatif itu, Pengarah Urusan CGC, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad, berkata perjanjian Jaminan Portfolio yang dimeterai dengan RHB Bank itu adalah sebahagian usaha untuk menawarkan perkhidmatan dengan pantas serta memenuhi jangkaan PKS yang semakin meningkat.

Beliau berkata, dengan urusan pemprosesan dan kelulusan permohonan dilakukan berasaskan portfolio, ia hanya mengambil masa tiga hari bekerja bagi CGC untuk meluluskan permohonan.

Sekali gus menangani kebimbangan PKS mengenai kepantasan urusan memproses permohonan pinjaman dan pengagihan dana ketika ini.

“Sebagai peneraju peningkatan penyediaan kredit di negara ini, CGC berhasrat menyediakan lebih banyak skim baru bagi membantu PKS mengakses pembiayaan lebih mudah,” katanya.

Wan Azhar berkata, bagi mencapai matlamat itu, CGC merancang membangunkan Jaminan Portfolio sebagai produk terasnya menjelang tahun depan sebagai usaha menangani isu yang dihadapi PKS sejajar seruan Kerajaan bagi menyediakan akses pembiayaan untuk PKS.

Beliau berkata, CGC akan berusaha melaksanakan model perniagaan Jaminan Portfolio dengan kerjasama institusi kewangan bagi meningkatkan urusan Jaminan Portfolio pada masa akan datang.

“Menjelang akhir tahun ini, kami jangka Jaminan Portfolio akan berkembang sehingga RM315 juta dan dalam tempoh setahun, kami menyasarkan melancarkan RM490 juta menerusi kemudahan kewangan Jaminan Portfolio,” katanya.

Sunday, October 17, 2010

Aeon rancang buka cawangan Jusco ke-28

2010/10/18
AEON Co (M) Bhd, pemilik rangkaian gedung beli-belah Jusco akan membuka satu lagi cawangan baru iaitu di Rawang, Selangor pada suku kedua tahun depan, sejajar rancangan memperkukuh operasinya di negara ini.

Pengurus Besar Eksekutif Kanan Perniagaan Barangan Gedung Aeon, Mitsuru Nakata, berkata bagaimanapun jumlah pelaburan masih belum ditentukan kerana masih mengenal pasti konsep gedung sesuai bagi kawasan berkenaan. Katanya, dengan pembukaan dua cawangan Jusco di Mahkota Cheras, Kuala Lumpur dan Bandaraya Melaka tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan rangkaian operasinya kepada 27 gedung setakat ini.
“Kami merancang membuka gedung Jusco di Rawang pada suku kedua 2011, dan konsep perniagaan mengikut kesesuaian pelanggan terutama penduduk setempat masih dikenal pasti,” katanya kepada Berita Harian selepas pelancaran Pameran Jusco Selection 2010 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, Aeon melabur lebih RM1 bilion bagi membuka 27 cawangan Jusco termasuk empat cawangan MaxValu di Malaysia dan terus melaksanakan strategi pemasaran agresif bagi menguasai industri peruncitan tempatan.

Katanya, ia termasuk mempromosikan serta memperluaskan jenama barangan keluarannya iaitu Jusco Selection, yang kini menyumbang kira-kira dua peratus kepada keseluruhan jualan syarikat.

“Kami mahu meningkatkan penguasaan barangan keluaran Jusco kepada 12 peratus menjelang 2012, menerusi penambahan rangkaian produk dan langkah pemasaran lebih agresif,” katanya.
Nakata berkata, ketika ini Jusco Selection mempunyai rangkaian 389 jenis barangan merangkumi produk makanan, keperluan rumah dan penjagaan peribadi pada harga berpatutan.

“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini, kami akan meningkatkan usaha pembangunan produk, pemasaran serta mengembangkan kepada pasaran lebih besar merangkumi produk kesihatan dan serbaneka bagi meningkatkan bilangan pelanggan termasuk pelanggan J-Card,” katanya.

Ketika ini, katanya Jusco mempunyai lebih 700,000 pelanggan J-Card dan dijangkakan mencecah sejuta pelanggan akhir tahun ini.

Mengenai Pameran Jusco Selection 2010, beliau berkata program itu akan diadakan di Jusco Metro Prima, Kepong bermula 12 Oktober hingga 24 Oktober ini dan di Jusco Taman Equine dari 19 hingga 31 Oktober ini.

Tuesday, October 12, 2010

AirAsia X kaji tambah laluan

2010/10/12
AIRASIA X mengkaji kemungkinan menambah laluan baru ke Jeddah dan Sydney susulan permintaan daripada pengguna, kata Ketua Eksekutifnya, Azran Osman-Rani.

Beliau berkata, laluan berkenaan adalah popular dan negara kerugian banyak wang kerana penumpang terpaksa membayar lebih untuk ke destinasi berkenaan kerana tidak banyak pilihan. “Banyak tempat yang kita rugi dari segi kos peluang dan penumpang terpaksa membayar lebih daripada RM3,000 untuk ke Jeddah atau Sydney,” katanya kepada pemberita selepas Forum CEO StarBiz-ICR Malaysia 2010 di Kuala Lumpur semalam.
“Malaysia pada masa ini mempunyai kurang daripada separuh dan selalunya satu pertiga daripada jumlah penerbangan terus ke ibu kota berkenaan berbanding Singapura dan Bangkok,” katanya.

Singapura dan Bangkok menyediakan sehingga empat syarikat penerbangan yang berlainan, yang menyediakan perkhidmatan ke laluan strategik itu berbanding hanya satu syarikat penerbangan di Malaysia, kata Azran.

“Kita ketinggalan jauh berbanding Singapura dan Thailand. Laluan-laluan ini penting, bukan saja bagi pelancongan, malah juga bagi pusat ekonomi utama, aliran perdagangan dan pelaburan, dan juga hubungan pendidikan,” katanya.

“Untuk menjadi peserta pendidikan yang kukuh, Malaysia memerlukan hubungan udara terus yang ekonomi dari segi kos,” kata Azran dan menambah bahawa AirAsia X bersedia untuk terbang ke Jeddah dan Sydney, dan kini menunggu kelulusan kerajaan.
Sementara itu, Azran berkata, AirAsia X berharap kerajaan akan menetapkan dasar sama rata yang menggalakkan persaingan dalam Bajet 2011 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu menghapuskan sekatan perlindungan dan monopoli, dan membenarkan syarikat untuk bersaing bagi mewujudkan nilai ekonomi untuk negara.

“Ia tidak akan membabitkan kos pada kerajaan, tetapi ia akan memanfaatkan pengguna dan mewujudkan industri yang sihat,” katanya.

YTL lancar TV hibrid 2011

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/10/12


WISER memberi penerangan mengenai fungsi TV hibrid di Kuala Lumpur, semalam.Perkhidmatan baru jadikan negara hab operasi media digital

YTL Communications Sdn Bhd bakal melancarkan perkhidmatan televisyen hibrid yang menggabungkan keupayaan siaran isi kandungan dan internet secara digital sepenuhnya menggunakan platform rangkaian generasi keempat (4G). Perkhidmatan yang bakal dilancarkan tahun depan itu direalisasikan susulan pemeteraian perjanjian perkhidmatan dan pelesenan antara unit perniagaan internet konglomerat YTL Corporation Bhd itu dengan penyedia penyelesaian televisyen hibrid utama global yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Sezmi Corporation.
Berikutan itu rakyat negara ini akan berpeluang mendapatkan satu lagi perkhidmatan televisyen berbayar dengan isi kandungan bermutu tinggi selain Astro dan televisyen protokol Internet (IPTV) yang dikendalikan Telekom Malaysia Bhd.

Pengarah Urusan YTL Corporation dan Pengerusi Eksekutif YTL Communications, Tan Sri Dr Francis Yeoh, berkata pengenalan perkhidmatan baru itu mampu menjadikan Malaysia hab operasi media digital dan siaran televisyen serantau.

Beliau berkata, secara teknikal Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia melancarkan perkhidmatan televisyen hibrid secara digital sepenuhnya pada akhir 2011.

“Kumpulan membuat pelaburan besar untuk merealisasikan televisyen hibrid, dan pengguna boleh menjangkakan kadar caj berdaya saing untuk mendapatkannya,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara YTL Communications dan Sezmi Corp di Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu, Yeoh dan Ketua Eksekutif YTL Communications memeterai MoU itu bagi pihak syarikat berkenaan manakala Sezmi Corp diwakili oleh pengasas bersamanya, Dr Buno Pati dan Phil Wiser.

Ia disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Khalid Ramli dan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba.

Perkhidmatan televisyen hibrid berupaya memberikan siaran televisyen biasa, tayangan atas permintaan dan isi kandungan Internet menggunakan satu jenis peralatan sama ada set televisyen, komputer atau telefon mudah alih menerusi Sezmi Corp yang beribu pejabat di California memperoleh hak pelesenan penyiaran daripada beberapa stesen terkemuka global antaranya CNN, Discovery Channel, ESPN dan CNBC serta hak penyiaran daripada studio perfileman utama dunia seperti Universal Studio dan 20th Century Fox.

Yeoh berkata, YTL Communications turut merancang memperkenalkan isi kandungan tempatan di bawah perkhidmatan televisyen hibrid itu.

“Kami telah menubuhkan unit khas yang berperanan membangunkan isi kandungan tempatan untuk dimuatkan di dalam perkhidmatan ini,” katanya.

YTL Communications, dengan kerjasama Intel Malaysia akan melancarkan perkhidmatan 4G yang berasaskan WiMAX ke seluruh negara pada 18 November ini.

Ia melabur RM2.5 bilion membangunkan teknologi itu yang mempunyai kepantasan lima kali lebih tinggi daripada rangkaian sedia ada.

Monday, October 11, 2010

Bank Rakyat perluas Ar-Rahnu X-Change

2010/10/11
BANK Rakyat menerusi anak syarikatnya Rakyat Management Sdn Bhd (RMS), bercadang mengembangkan perniagaan francais Ar-Rahnu X-Change, khususnya yang diuruskan oleh koperasi, ke beberapa lokasi berpotensi di seluruh Malaysia untuk meningkatkan sumbangan pendapatan dari segmen berkenaan.

Pengurus Besarnya, Mohamad Sabri Mohamed Nor, berkata antara lokasi udah dikenal pasti termasuk Jempol, Negeri Sembilan; Seberang Prai, Pulau Pinang; Mentakab, Pahang; Klang, Selangor dan Danau Kota, Kuala Lumpur. “Tahun ini kami merancang untuk membuka dua lagi cawangan di Rawang dan Puchong dan tahun depan, kami bercadang membuka lima ke tujuh buah lagi cawangan yang bakal diurus koperasi. “Untuk tahun ini, RMS menyasar pengeluaran pinjaman melalui Ar-Rahnu dalam lingkungan RM80 juta dan sehingga sekarang ia mencapai sekitar RM69 juta,” kata Mohamad Sabri selepas majlis pelancaran rangkaian Ar-Rahnu X'Change yang ke-23 di Petaling Jaya, kelmarin.

Katanya, pada tahun lalu, RMS mencatatkan kira-kira RM44 juta dalam pengeluaran pinjaman dan kos pelaburan awal untuk menjalankan operasi sesebuah cawangan adalah kira-kira RM2 juta.

"Kenaikan yang begitu ketara pada tahun ini jelas menunjukkan sambutan dan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan ini semakin meningkat," ujar beliau.

Rangkaian Ar-Rahnu X-Change yang terbaru ini dimiliki dan diuruskan oleh Koperasi New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (Koop NSTP) sebagai francaisi.
Ia adalah bidang terbaru yang diceburi oleh Koop NSTP berikutan keyakinan tinggi terhadap potensi pasaran semasa produk mikro kredit ini.

Menerusi perniagaan ini, Ar- Rahnu X'Change Koop NSTP mengunjurkan purata pengeluaran jumlah pinjaman berjumlah RM500,000 sebulan bagi enam bulan pertama operasi.

Sehingga kini 14 daripada 23 rangkaian Ar-Rahnu X'Change dimiliki dan diuruskan oleh beberapa buah koperasi tempatan.

Secara keseluruhan, semua francaisi Ar-Rahnu X'Change yang dimiliki oleh koperasi mencatatkan jumlah pengeluaran pinjaman terkumpul berjumlah RM64.2 juta sehingga Ogos 2010. - Bernama

Tuesday, October 5, 2010

Pengeluaran model 207 jadikan NAM hab Asean

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my
2010/10/06
Kilang Naza di Gurun bakal lancar Peugeot bulan depan

KILANG automotif Naza Group of Companies di Gurun, Kedah bakal menempa nama sebagai hab pertama mengeluarkan kenderaan Peugeot di Asean susulan proses pengeluaran model Peugeot 207 yang bakal dilancarkan bulan depan. Perkara berkenaan juga sudah mendapat pengesahan daripada PSA Peugeot Citroen, pengeluar kereta Perancis itu. Ia susulan lawatan Ketua Operasi Asia PSA Group, Gregoire Olivier, ke kilang Naza Automotive Manufacturing (NAM) di Gurun, semalam bagi menyaksikan sendiri persiapan pengeluaran model Peugeot pertama di Asean itu.

Pengerusi Eksekutif Bersama Naza Group, SM Nasarudin SM Nasimuddin, berkata persiapan pengeluaran model 207 itu yang sebelum ini dikenali dengan nama kod T33 berjalan lancar dan mengikut jadual ditetapkan.

Beliau yang juga Ketua Eksekutif Nasim Sdn Bhd (NSB), pengedar tunggal dan eksklusif jenama Peugeot di negara ini berkata, 207 yang dihasilkan di NAM dengan bantuan teknikal daripada Automobiles Peugeot adalah setanding dengan model dikeluarkan di Eropah.

“Lawatan oleh Olivier adalah detik penting dalam kerjasama Naza Group dan Peugeot. Ia menjadi bukti sokongan dan keyakinan mereka terhadap kualiti pengeluaran, kakitangan dan asas vendor tempatan kami,” katanya dalam kenyataan.
SM Nasarudin berkata, pihaknya menyambut baik perkembangan itu dan bertekad memastikan sistem dan persiapan untuk pelancaran 207 berjalan baik.

“Ia langkah pertama ke arah meningkatkan kehadiran Peugeot di Asean dengan Malaysia sebagai hab.

“Sokongan PSA Group adalah petunjuk kesungguhan mereka meningkatkan kecekapan sistem pengeluaran globalnya,” kata SM Nasarudin.

Sejumlah 5,000 unit 207 dijangka dikeluarkan setahun di NAM bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan Asean.

Dalam lawatan itu juga, Olivier dan Pengarah Jualan Operasi Asia PSA Group, Jean-Yves Dossal diberi taklimat mengenai perkembangan terkini di kilang yang bernilai RM500 juta itu oleh kakitangan NAM dan Automobiles Peugeot yang ditempatkan di situ.

Olivier yang menjadi ahli Lembaga Pengurusan dan Jawatankuasa Eksekutif PSA Peugeot Citroen sejak 2007 itu juga adalah anggota tetap pertama jawatankuasa eksekutif itu yang dihantar bertugas di China bagi memantau operasi syarikat itu di Asia

Monday, October 4, 2010

Kembara haji dapat tajaan tiga bas mewah

Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh (tengah) bersama sebahagian peserta program Kembara Haji-Jalan ke Mekah 2010, di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


SHAH ALAM 4 Okt. - Penganjur program Kembara Haji - Jalan ke Mekah 2010 (KHj 2010), Barakah Umhaj Travel & Tours Sdn. Bhd., menerima tajaan tiga buah bas Nice Eksekutif Coach daripada Konsortium Transnasional Bhd. (KTB) hari ini.

Penyampaian tajaan tersebut di sini disempurnakan oleh Pengerusi KTB, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh kepada Pengerusi KHj 2010, Datuk Mansor Ramli.

Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi KTB, Tengku Hasmadi Tengku Hashim, pihaknya juga menyediakan enam orang pemandu yang berpengalaman bagi menjayakan program KHj 2010 yang julung kali diadakan.

''Setiap bas akan mempunyai dua orang pemandu, bukan sahaja berpengalaman tetapi juga mempunyai latihan mencukupi untuk memandu jarak jauh. Mereka akan bergilir-gilir memandu sehinggalah rombongan tiba di tanah suci.

'' Bas ini adalah bas mewah yang bakal memberikan keselesaan kepada jemaah haji selain boleh berjalan 1,000 kilometer setiap hari," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan tajaan di Dataran Kemerdekaan di sini hari ini.

KHj 2010 anjuran Barakah Umhaj Travel & Tours Sdn. Bhd., bakal disertai kira-kira 100 orang jemaah haji yang akan memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur pada 17 Oktober depan.

Perjalanan lebih 10,000 kilometer itu dijangka memakan masa selama 60 hari.

Ia akan merentasi Thailand, Bangladesh, India, Pakistan, Iran, Kuwait dan seterusnya Arab Saudi.

Kos bagi semua peserta KHj2010 sebanyak RM2.8 juta iaitu RM28,000 bagi setiap peserta dengan sebahagian daripadanya ditaja oleh beberapa syarikat korporat.

Sementara itu, seorang pemandu bas KHj 2010, Mohd. Nasir Jabidin, 53, yang mempunyai pengalaman 13 tahun berkata, beliau sudah bersiap sedia mengharungi pelbagai rintangan yang bakal dihadapi dalam perjalanan itu nanti.

''Sememangnya ini perjalanan yang paling jauh pernah saya tempuhi sejak menjadi pemandu bas tetapi dengan kursus yang sentiasa diberikan oleh pihak syarikat akan digunakan sepenuhnya dan berharap selamat pergi dan pulang.

''Selain rasa teruja saya juga rasa gembira kerana dipilih menyertai rombongan ini dan ini kali pertama saya mengerjakan haji," katanya