Monday, March 21, 2011

BSN sasar pembiayaan RM5 bilion

BSN sasar pembiayaan RM5 bilion
Oleh Mohd Zin Ali

2011/03/22
Skim ditawarkan tahun ini meningkat 50 peratus

BANK Simpanan Nasional (BSN) menyasar menyalurkan pembiayaan berjumlah RM5 bilion di bawah skim pembiayaan peribadi tahun ini, peningkatan kira-kira 50 peratus berbanding tahun lalu.

Naib Presiden Kanannya, Akhsan Zaini, berkata melalui pelbagai kempen dan keistimewaan diberikan bank itu kepada pelanggan, pihaknya percaya sasaran itu mampu dicapai. Beliau berkata, tahun lalu, BSN mengeluarkan pembiayaan peribadi berjumlah RM3.3 bilion, termasuk dalam tempoh kempen ‘BSN Happy Cash’ yang bermula September hingga Disember. “Dalam tempoh itu saja kami berjaya mendapatkan 60,000 pelanggan baru untuk pembiayaan peribadi.

“Dengan kempen ‘BSN Happy Cash’ kedua bermula 1 Januari lalu hingga 30 April ini serta pelbagai usaha yang akan dilakukan hingga akhir tahun ini, kami menyasarkan memperoleh 100,000 pelanggan baru dengan jumlah pembiayaan bernilai RM5 bilion,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Akhsan berkata, bagi kempen BSN Happy Cash berkenaan, pihaknya menawarkan kadar keuntungan serendah 3.15 peratus setahun, pembayaran 100 peratus, pembiayaan hingga RM200,000 dan tempoh pembiayaan hingga 20 tahun.

Beliau berkata, syarat dikenakan ialah warga negara berusia 21 tahun ke atas, kakitangan kerajaan dan badan berkanun, kakitangan kontrak/sementara perlu berkhidmat lebih 12 bulan, berpendapatan gaji minimum RM800 serta pemegang akaun GIRO/GIRO-I BSN.
Katanya, bagi pelanggan bergaji pokok lebih RM5,000, urusan dokumentasi dipermudahkan dengan hanya memerlukan penyata pendapatan terkini dan borang kebenaran potongan gaji saja.

“Selain pakej pembiayaan menarik, kami juga memberikan sebuah iPad kepada 100 pelanggan pertama yang diluluskan pembiayaan peribadi lebih RM150,000 manakala menawarkan 601 hadiah hebat menerusi cabutan bertuah seperti 100 iPad, 500 komputer netbook dan hadiah utama sebuah kereta mewah Audi A4 bagi mereka yang membuat pinjaman lebih RM50,000,” katanya.

Akhsan berkata, bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang berminat untuk mendapatkan pembiayaan peribadi, BSN mempunyai 384 cawangan dan 320 pegawai jualan bergerak untuk menemui pelanggan sama ada di pejabat atau rumah.

“Sehingga kini, kami sudah mencapai kira-kira 50 peratus daripada sasaran pemberian pinjaman bernilai sebanyak RM1.8 bilion untuk pembiayaan peribadi dalam tempoh kempen ‘BSN Happy Cash’ terbaru,” katanya.

No comments:

Post a Comment