Thursday, March 31, 2011

MBSB sudah sedia jadi institusi perbankan

MBSB sudah sedia jadi institusi perbankan
Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2011/04/01
Syarikat sasar segmen pinjaman peribadi meningkat RM6b

MALAYSIA Buiding Society Bhd (MBSB) yang kini sudah bersedia menjadi sebuah institusi perbankan sepenuhnya, merancang meningkatkan lagi segmen pinjaman peribadinya dengan sa-saran mengeluarkan sehingga RM6 bilion tahun ini. Syarikat pembiayaan kewangan milik kerajaan itu menyasar meningkatkan sumbangan pinjaman peribadi kepada keseluruhan portfolio pinjamannya kepada 50 peratus tahun ini, diikuti 35 peratus perumahan dan selebihnya pinjaman korporat. Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Zaini Othman, berkata MBSB menjangkakan 70 peratus daripada pinjaman peribadi itu adalah penstrukturan semula pinjaman, manakala 30 peratus adalah pinjaman baru.

Katanya, MBSB juga akan menggunakan pendekatan proaktif dalam usaha meningkatkan capaian kepada pelanggan menerusi 33 cawangannya di seluruh negara.

“MBSB menjangkakan mengeluarkan antara RM5 hingga RM6 bilion pinjaman peribadi tahun ini, daripada RM3.9 bilion sepanjang tahun lalu,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Ketika ini, pinjaman perumahan menyumbang 50 peratus kepada portfolio pinjaman MBSB, diikuti pinjaman peribadi (30 peratus) dan selebihnya korporat.
Ahmad Zaini berkata, MBSB berhasrat mengurangkan pinjaman tidak berbayarnya (NPL) sebanyak dua hingga tiga peratus kepada 13 peratus tahun ini daripada 16 peratus tahun lalu.

Beliau berkata, MBSB juga akan memperkenalkan dua produk utama pertengahan tahun ini iaitu kad kredit berlandaskan syariah untuk kakitangan awam dan pinjaman sewa beli.

Katanya, ia antara komitmen MBSB dalam menunjukkan kesediaannya beralih kepada institusi perbankan sepenuhnya secepat mungkin.

“Kami kini hampir mencapai matlamat menjadi bank yang akan mengukuhkan lagi kedudukan kami. Kami sedang berusaha menjadikan bank mengikut Akta Pembangunan dan Institusi Kewangan (DAFIA),” katanya.

Terdahulu, pada AGM itu, pemegang saham syarikat meluluskan cadangan terbitan hak boleh lepas saham biasa baru RM1 sesaham bersama waran boleh pisah percuma baru bagi mengumpulkan hasil kasar kira-kira RM500 juta.

Ia bagi membolehkan MBSB mengukuhkan modal terasnya dan memenuhi keperluan pembiayaan syarikat bagi pertumbuhan pinjaman serta menambah baik nisbah pinjaman kepada pembiayaannya.

No comments:

Post a Comment