Tuesday, March 22, 2011

Digistar Corporation unjur raih RM2 juta sebulan daripada IPTV

Digistar Corporation unjur raih RM2 juta sebulan daripada IPTV


2011/03/23
SYARIKAT penyedia prasarana teknologi maklumat, Digistar Corporation Bhd, mengunjurkan meraih RM2 juta sebulan daripada perkhidmatan Televisyen Protokol Internet (IPTV) yang disediakannya di hospital seluruh negara.

Pengarah Urusannya, Datuk Lee Wah Chong, berkata permintaan terhadap sistem rangkaian televisyen itu di hospital semakin meningkat dan jumlah penontonnya kini adalah lebih tinggi berbanding di hotel. “Setakat ini Digistar menyediakan perkhidmatan itu kepada 11 hospital dan akan meningkatkan 20 hospital menjelang tahun depan, ” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam. Sejak tiga tahun lalu, Digistar membuat pelaburan bagi meningkatkan teknologi IPTV untuk menyediakan tawaran perkhidmatan seperti permintaan siaran berbayar, pengiklanan dan e-dagang.

Digistar adalah syarikat pertama di ASEAN yang menawarkan sistem sokongan sepenuhnya untuk proses pemindahan daripada definisi tinggi (HD) kepada 3D.

Dengan pengalaman 28 tahun dalam penyediaan perkhidmatan untuk industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Wah Chong berkata, syarikat itu mengendalikan kira-kira 50 hingga 60 peratus projek kerajaan khususnya dalam penyediaan perkhidmatan kepada hospital swasta dan institusi pendidikan di negara ini.

Katanya, setakat 31 Disember lalu, syarikat itu telah memperoleh kontrak berkaitan perkhidmatan penyiaran bernilai RM102 juta dan telah menender projek bernilai RM130 juta.
“Kami mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk mengendalikan pelbagai projek termasuk teknologi maju. Kami juga membeli terus daripada pembekal utama dan menjual terus kepada pengguna sekali gus meneraju pasaran dari segi harga,” katanya.

No comments:

Post a Comment