Tuesday, March 15, 2011

Rangkaian biodiesel sawit terbesar Asia

Rangkaian biodiesel sawit terbesar Asia
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/03/16
Kerjasama bersepadu Felda Global, Mission

FELDA Global Group dan Mission Biotechnologies Sdn Bhd akan menubuhkan sebuah rangkaian pengeluaran dan pembekalan biodiesel sawit bersepadu terbesar di Asia yang mencapai piawaian Pensijilan Kemapanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC) dalam usaha memperluaskan bekalan bahan api itu pada peringkat global. Pembentukan rangkaian itu direalisasikan susulan pemeteraian perjanjian pembekalan jangka panjang antara kedua-dua pihak baru-baru ini. Kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama, berkata menerusi perjanjian itu, Felda Global dan Mission akan bekerjasama memperluas program pensijilan itu ke kilang dan ladang milik Felda yang lain, bertujuan bagi meningkatkan bekalan biodiesel yang mencapai piawaian ISCC.

ISCC adalah satu-satunya pensijilan bagi bahan api bio dan bahan api cecair bio paling komprehensif di dunia.

Usaha untuk mencapai standard piawaian itu akan dilaksanakan menerusi kilang penapisan Mission di Pelabuhan Kuantan.

ISCC disyaratkan bagi syarikat berhasrat membekalkan bahan api bio atau bahan api cecair bio di Jerman yang memberikan subsidi, pengecualian cukai dan keistimewaan lain kepada pengguna bahan bakar berkenaan.
FELDA adalah antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, manakala Mission, anak syarikat milik penuh Mission NewEnergy Ltd, syarikat senaraian awam di Bursa Australia, pula adalah peneraju global dalam penyediaan tenaga diperbaharui.

Mengulas mengenainya, Presiden Felda Group, Datuk Sabri Ahmad, berkata perjanjian itu sejajar dengan misi FELDA untuk memperluas kegiatannya dengan menceburi bidang bahan api bio.

Katanya, piawaian itu memberi kelebihan kepada kumpulan bersaing dalam pasaran antarabangsa.

“Memandangkan Kumpulan Felda Global kini agresif dalam bidang bahan api bio, ISCC memberikan kumpulan ini satu kelebihan bersaing di pasaran antarabangsa.

“Selain memenuhi keperluan bagi pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Mapan (RSPO), sijil ISCC juga mematuhi Peraturan Tenaga Diperbaharui (RED) Kesatuan Eropah,” katanya.

ISCC kini diperlukan bagi syarikat yang mahu membekal bahan api bio atau bahan api cecair bio di Jerman, iaitu negara yang memberikan subsidi, pengecualian cukai dan faedah lain kepada pengguna bahan api bio.

Pemberian faedah itu adalah sejajar dengan peruntukan undang-undang negara itu yang diperkenalkan pada November 2010.

Sabri berkata, untuk mencapai RED, ia memerlukan minimum 35 peratus penjimatan dalam pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada penggunaan bahan api bio dan bahan api cecair bio bagi melayakkannya menerima subsidi dan faedah lain.

“Penggunaan minyak sawit mentah dari ladang Bukit Sagu dan Lepar Hilir untuk menghasilkan bahan api bio memberikan penjimatan GHG, masing-masing sebanyak 47 peratus dan 41 peratus,” katanya.

No comments:

Post a Comment