Tuesday, March 22, 2011

Eraman yakin jualan naik

Eraman yakin jualan naik
Oleh Sophia Ahmad

2011/03/23
Anak syarikat MAHB rancang tambah kedai bebas cukai

MALAYSIA Airports (Niaga) Sdn Bhd, atau turut dikenali sebagai Eraman Malaysia, menjangka meningkatkan jualannya sehingga 10 peratus kepada RM513 juta tahun ini susulan promosi bersama yang dilaksanakannya dengan KLIA Ekspres bermula 1 Mac lalu.

Di bawah promosi bersama yang akan berlangsung sehingga September itu, pelanggan di mana-mana 43 kedai kedai bebas cukai yang dikendalikan anak syarikat milik penuh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berkenaan akan menikmati diskaun 10 peratus bagi tiket perjalanan sehala KLIA Ekspres. Pengurus Besar Eraman Malaysia, Umar Bustaman berkata, kedai bebas cukai syarikat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah penyumbang terbesar kepada jualannya ketika ini dengan menyumbang antara 80 hingga 85 peratus. “Tahun lepas kami meraih jualan RM413 juta dan KLIA adalah penyumbang terbesar kerana dari keseluruhan kedai yang kami kendalikan, 21 adalah di lapangan terbang itu dengan setiap pelanggan secara purata berbelanja antara RM100 hingga RM200,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran promosi itu di KLIA semalam.

Mengenai pembukaan cawangan baru, Umar berkata, syarikat itu merancang membuka tujuh kedai baru dibuka KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pertengahan tahun ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Ekspres Rail Link Sdn Bhd, Noormah Mohd Noor, berkata KLIA Ekspres kini digunakan kira-kira 1.6 juta pelanggan setiap tahun.

“Tahun ini kami menyasarkan mengendalikan kira-kira dua juta penumpang menerusi promosi bersama ini,” katanya.
KLIA Ekspress dan KLIA Transit masing-masing mencatatkan peningkatan jualan sebanyak enam dan lapan peratus pada tahun 2010.

No comments:

Post a Comment