Monday, March 28, 2011

Sabanilam bina bandar teknologi

Sabanilam bina bandar teknologi
Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah
bhnews@bharian.com.my
2011/03/29
Projek RM300j di tanah sawah terbiar bakal jadi pusat sehenti perniagaan

SABANILAM Enterprise Sdn Bhd (Sabanilam), anak syarikat Malakun Holdings Sdn Bhd iaitu syarikat pemaju hartanah milik Bumiputera Sabah, melabur kira-kira RM300 juta bagi membangunkan sebuah bandar teknologi menerusi pembinaan Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) Penampang di Jalan Pintas Penampang, Kota Kinabalu. Pusat seluas kira-kira empat hektar yang dibangunkan di tanah bekas sawah padi terbiar itu bakal menjadi pusat sehenti perniagaan bagi produk dan perkhidmatan berkaitan elektrik dan inovasi serta tempat aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) berkaitan sains dan teknologi. Pengarah Urusan Malakun Holdings, Datuk Clarence Bongkos Malakun, berkata pembinaan pusat itu dijangka mengambil masa tiga tahun adalah projek komersial terbesar di daerah itu dan projek tunggal mengkhusus kepada produk dan perkhidmatan teknologi serta inovasi di Sabah.

“Asalnya pusat ini dicadang dijadikan pusat konvensyen dan teknologi tetapi selepas mendapat khidmat nasihat Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), kita menukar konvensyen kepada komersial supaya tidak bertindih dengan rancangan kerajaan membina pusat konvensyen antarabangsa di negeri ini.

“Bagaimanapun, rancangan kita untuk menyediakan kemudahan MICE masih diteruskan tetapi tumpuan lebih kepada menjadikan tempat ini sebagai pusat perniagaan produk elektrik dan teknologi,” katanya pada majlis pecah tanah pusat itu oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di Kota Kinabalui, semalam.

Hadir sama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Edward Khoo Keok Hai; Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Donald Peter Mojuntin dan Pegawai Daerah Penampang, William Sampil.
Musa berkata, ITCC Penampang boleh menjadi pemangkin ekonomi di kawasan Penampang dan Kepayan selain menyuraikan tumpuan aktiviti perniagaan di pusat bandar raya Kota Kinabalu yang kini semakin padat dan sesak.

Keadaan padat dan sesak di kawasan bandar raya Kota Kinabalu, katanya, mendorong ramai pemaju meninjau peluang pembangunan projek komersial dan perumahan di luar ibu negeri, khususnya Penampang, Putatan, Kinarut dan kawasan berhampiran.

“Pelaksanaan ITCC Penampang juga selaras usaha kerajaan menggalakkan pembabitan swasta dalam membangunkan ekonomi menerusi pelaksanaan projek berdaya maju seperti yang ditekankan dalam Program Tranformasi Ekonomi (ETP) dan 12 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA).

“Di Sabah, selain industri berkaitan sawit, pelancongan, tenaga dan minyak dan gas yang dikenal pasti sebagai bidang kritikal, bidang lain berkaitan komunikasi dan infrastruktur seperti yang dilaksanakan menerusi ITCC Penampang ini juga diberi perhatian,” katanya.

Pada masa sama, Musa turut menggesa usahawan Bumiputera di Sabah supaya mencari peluang perniagaan dan pelaburan bagi membantu meningkatkan lagi pembangunan ekonomi negeri ini.

No comments:

Post a Comment