Thursday, March 31, 2011

Maxis perkenal aplikasi Home Services

Maxis perkenal aplikasi Home Services


2011/04/01
MAXIS Bhd (Maxis), penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia memperkenalkan ‘Maxis Home Services’ iaitu perkhidmatan pelbagai jenis yang bakal dinikmati pelanggannya menjelang suku ketiga tahun ini.

Perkhidmatan itu bakal dinikmati pengguna di kawasan yang mempunyai rangkaian gentian optik di seluruh negara, sekali gus menjadikan Maxis sebagai pengendali komunikasi pertama memperkenalkan aplikasi terbabit. Pelanggan bakal menikmati kebebasan memilih pelbagai kandungan dalam format dikehendaki melalui pelbagai peranti sama ada skrin, komputer, komputer tablet dan telefon mudah alih tanpa mengira masa atau lokasi. Selain itu, perkhidmatan itu juga turut merangkumi akses kepada suara, internet berkelajuan tinggi, perkhidmatan nilai di tambah dan kandungan maklumat yang dikehendaki pengguna.

Ketua Eksekutif Maxis, Sandip Das, berkata perkhidmatan itu membuka ruang kepada pengguna memperkayakan ilmu melalui pengalaman gaya hidup digital tanpa sempadan.

“Maxis menyokong Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan menerusi perjanjian penting dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi perkhidmatan akses jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) Disember lalu,” katanya selepas melancarkan perkhidmatan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang. Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Maxis Bhd, Jean-Pascal Van Overbeke.
Menerusi perjanjian itu, Maxis mengembangkan rangkaian jalur lebar sekali gus mempercepatkan perkhidmatan ‘Maxis Home Services’ menerusi teknologi gentian optik, termasuk perkhidmatan sedia adanya.

“Maxis komited memberi perkhidmatan terbaik dalam pelbagai kategori termasuk berita, hiburan, kewangan, pendidikan, kesihatan dan sukan,” katanya.

Menerusi teknologi gentian optik, Maxis dapat menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan seperti aplikasi interaktif yang boleh dicapai menerusi televisyen, komputer riba, tablet dan telefon pintar.

Sandip berkata, fasa pertama pelancaran perkhidmatan itu menyaksikan Maxis menawarkan pelbagai akses yang didatangkan dengan pakej bersama tiga pelan Internet berkelajuan tinggi dan 10 perkhidmatan tersedia.

Tiga pelan itu ialah standard, value dan advanced yang boleh dilanggan pada harga RM128 hingga RM218, namun dibezakan dengan pelbagai kelebihan berdasarkan pakej selain beberapa peranti telefon DECT tanpa wayar dan modem WiFi yang diberikan secara percuma kepada pelanggan

No comments:

Post a Comment