Monday, March 28, 2011

Sistem penjejak RFID ke Thailand

Sistem penjejak RFID ke Thailand
Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2011/03/29
Projek di negara jiran buka peluang Smartag teroka pasaran baru rantau Asia

SMARTAG Solutions Bhd, yang dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bulan depan, merancang menggunakan separuh daripada dana RM17.7 juta yang bakal diraihnya daripada tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya untuk perbelanjaan modal bagi projek berkaitan RFID di rantau ini. Ketua Eksekutifnya, P K Lim, berkata ketika ini syarikat itu menerusi kerjasama dengan Netbay Co Ltd yang berpangkalan di Thailand, akan membangunkan projek perintis sistem penjejak kontena berteknologi RFID di pelabuhan Thailand yang bermula April depan. Katanya, ia membabitkan kos pembangunan kira-kira RM300,000 bagi setiap pos pemeriksaan bergantung kepada keperluan pihak Thailand yang mana ada 46 pos pemeriksaan berpotensi untuk dilengkapi sistem penjejak itu.

“Kami sudah lama membangunkan sistem penjejak ini dan peluang menggunakannya dalam projek perintis pos pemeriksaan dan pelabuhan Thailand akan meningkatkan keyakinan pelanggan sekali gus memudahkan kami meneroka pasaran baru yang lain.

“Sebelum ini kami hanya mempunyai kehadiran di Indonesia dan Thailand, namun selepas ini kami berhasrat mengembangkan sistem penjejak RFID ini ke pasaran baru seperti Laos, China dan Singapura,” katanya pada majlis pelancaran prospektus IPO syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Smartag yang ditubuhkan pada 2004, adalah penyedia penyelesaian sistem pengenalan berfrekuensi radio (RFID) yang turut terbabit dalam pembangunan perisian RFID serta kemudahan perkakasan RFID untuk sektor pengilangan dan logistik.
Sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia 18 April ini, Smartag membuat IPO 57 juta saham biasa baru yang ditawar pada harga 31 sen seunit.

Daripada jumlah itu, 50 juta diperuntukkan bagi langganan pelabur yang dikenal pasti, lima juta bagi pengarah, pekerja dan rakan perniagaan manakala bakinya dua juta diperuntukkan untuk tawaran awam.

Smartag menyasarkan menjana RM17.67 juta daripada daripada IPO itu yang mana RM8.84 juta akan diperuntukkan untuk disalurkan bagi modal belanja projek berkaitan RFID, RM3.36 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), RM3.53 juta untuk modal kerja dan baki perbelanjaan penyenaraian.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2010, Smartag mencatatkan pendapatan RM22.769 juta dengan sumbangan operasi di Malaysia sebanyak 67.2 peratus dan Indonesia 32.8 peratus.

No comments:

Post a Comment