Thursday, March 31, 2011

Maxis perkenal aplikasi Home Services

Maxis perkenal aplikasi Home Services


2011/04/01
MAXIS Bhd (Maxis), penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia memperkenalkan ‘Maxis Home Services’ iaitu perkhidmatan pelbagai jenis yang bakal dinikmati pelanggannya menjelang suku ketiga tahun ini.

Perkhidmatan itu bakal dinikmati pengguna di kawasan yang mempunyai rangkaian gentian optik di seluruh negara, sekali gus menjadikan Maxis sebagai pengendali komunikasi pertama memperkenalkan aplikasi terbabit. Pelanggan bakal menikmati kebebasan memilih pelbagai kandungan dalam format dikehendaki melalui pelbagai peranti sama ada skrin, komputer, komputer tablet dan telefon mudah alih tanpa mengira masa atau lokasi. Selain itu, perkhidmatan itu juga turut merangkumi akses kepada suara, internet berkelajuan tinggi, perkhidmatan nilai di tambah dan kandungan maklumat yang dikehendaki pengguna.

Ketua Eksekutif Maxis, Sandip Das, berkata perkhidmatan itu membuka ruang kepada pengguna memperkayakan ilmu melalui pengalaman gaya hidup digital tanpa sempadan.

“Maxis menyokong Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan menerusi perjanjian penting dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi perkhidmatan akses jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) Disember lalu,” katanya selepas melancarkan perkhidmatan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang. Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Maxis Bhd, Jean-Pascal Van Overbeke.
Menerusi perjanjian itu, Maxis mengembangkan rangkaian jalur lebar sekali gus mempercepatkan perkhidmatan ‘Maxis Home Services’ menerusi teknologi gentian optik, termasuk perkhidmatan sedia adanya.

“Maxis komited memberi perkhidmatan terbaik dalam pelbagai kategori termasuk berita, hiburan, kewangan, pendidikan, kesihatan dan sukan,” katanya.

Menerusi teknologi gentian optik, Maxis dapat menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan seperti aplikasi interaktif yang boleh dicapai menerusi televisyen, komputer riba, tablet dan telefon pintar.

Sandip berkata, fasa pertama pelancaran perkhidmatan itu menyaksikan Maxis menawarkan pelbagai akses yang didatangkan dengan pakej bersama tiga pelan Internet berkelajuan tinggi dan 10 perkhidmatan tersedia.

Tiga pelan itu ialah standard, value dan advanced yang boleh dilanggan pada harga RM128 hingga RM218, namun dibezakan dengan pelbagai kelebihan berdasarkan pakej selain beberapa peranti telefon DECT tanpa wayar dan modem WiFi yang diberikan secara percuma kepada pelanggan

MBSB sudah sedia jadi institusi perbankan

MBSB sudah sedia jadi institusi perbankan
Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2011/04/01
Syarikat sasar segmen pinjaman peribadi meningkat RM6b

MALAYSIA Buiding Society Bhd (MBSB) yang kini sudah bersedia menjadi sebuah institusi perbankan sepenuhnya, merancang meningkatkan lagi segmen pinjaman peribadinya dengan sa-saran mengeluarkan sehingga RM6 bilion tahun ini. Syarikat pembiayaan kewangan milik kerajaan itu menyasar meningkatkan sumbangan pinjaman peribadi kepada keseluruhan portfolio pinjamannya kepada 50 peratus tahun ini, diikuti 35 peratus perumahan dan selebihnya pinjaman korporat. Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Zaini Othman, berkata MBSB menjangkakan 70 peratus daripada pinjaman peribadi itu adalah penstrukturan semula pinjaman, manakala 30 peratus adalah pinjaman baru.

Katanya, MBSB juga akan menggunakan pendekatan proaktif dalam usaha meningkatkan capaian kepada pelanggan menerusi 33 cawangannya di seluruh negara.

“MBSB menjangkakan mengeluarkan antara RM5 hingga RM6 bilion pinjaman peribadi tahun ini, daripada RM3.9 bilion sepanjang tahun lalu,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Ketika ini, pinjaman perumahan menyumbang 50 peratus kepada portfolio pinjaman MBSB, diikuti pinjaman peribadi (30 peratus) dan selebihnya korporat.
Ahmad Zaini berkata, MBSB berhasrat mengurangkan pinjaman tidak berbayarnya (NPL) sebanyak dua hingga tiga peratus kepada 13 peratus tahun ini daripada 16 peratus tahun lalu.

Beliau berkata, MBSB juga akan memperkenalkan dua produk utama pertengahan tahun ini iaitu kad kredit berlandaskan syariah untuk kakitangan awam dan pinjaman sewa beli.

Katanya, ia antara komitmen MBSB dalam menunjukkan kesediaannya beralih kepada institusi perbankan sepenuhnya secepat mungkin.

“Kami kini hampir mencapai matlamat menjadi bank yang akan mengukuhkan lagi kedudukan kami. Kami sedang berusaha menjadikan bank mengikut Akta Pembangunan dan Institusi Kewangan (DAFIA),” katanya.

Terdahulu, pada AGM itu, pemegang saham syarikat meluluskan cadangan terbitan hak boleh lepas saham biasa baru RM1 sesaham bersama waran boleh pisah percuma baru bagi mengumpulkan hasil kasar kira-kira RM500 juta.

Ia bagi membolehkan MBSB mengukuhkan modal terasnya dan memenuhi keperluan pembiayaan syarikat bagi pertumbuhan pinjaman serta menambah baik nisbah pinjaman kepada pembiayaannya.

Infineon labur RM485 juta perluas operasi

Infineon labur RM485 juta perluas operasi


2011/04/01
INFINEON Technologies AG, firma semikonduktor berpangkalan di Neubiberg, Jerman akan melabur AS$160 juta (kira-kira RM485 juta) bagi menaik taraf kemudahan pengeluarannya di negara ini, selain melaksanakan penyelidikan teknologi serta pengembangan produk sejajar pengembangan operasinya.

Selain membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran kuasa semikonduktor bagi kegunaan kecekapan tenaga, pelaburan baru itu juga akan mewujudkan 350 lagi peluang pekerjaan di kemudahan pengeluarannya yang terletak di Melaka. Ketua Eksekutifnya, Peter Bauer, berkata peruntukan pelaburan itu antara langkah kumpulan berkenaan mengembangkan lagi kedudukannya di Asia yang kini antara penyumbang terbesar kepada pendapatannya iaitu sebanyak 42 peratus tahun lalu. “Untuk mencapai kejayaan di Asia, sesebuah syarikat perlu berbuat lebih daripada hanya melaksanakan perniagaan semata-mata. Mereka perlu mengiktiraf budaya dan harus menjadi sebahagian daripada masyarakat negara berkenaan.

“Justeru, Infineon menyasar mewujudkan nilai tambah tempatan menerusi sumbangan kepakaran dan teknologi selain mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan lagi bakat pekerja tempatan,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Asia muncul sebagai pasaran utama bagi jualan global syarikat semikonduktor.

Pada Januari lalu, Infoneon menubuhkan anak syarikat baru di Beijing, China, yang dikenali sebagai Infineon Integrated Circuits (Beijing) Co. Ltd.
Berfungsi sebagai entiti tambahan kepada jualan dan pemasaran dan aktiviti R&D, syarikat baru itu turut menempatkan pusat teknikal bagi penyelesaian automotif serta kemudahan pembuatan bahagian produk transistor dua kutub pepintu bertebat (IGBT).

IGBT digunakan sebagai sumber tenaga untuk kegunaan semikonduktor

Standard Chartered derma RM1 lewat layan pelanggan

Standard Chartered derma RM1 lewat layan pelanggan
Oleh Sophia Ahmad
sophia@bharian.com.my
2011/04/01


BERTAMINI bersama Ketua Negara Perbankan Konsumer, Tiew Siew Chuen pada pelancaran piagam perkhidmatan baru Standard Chartered Bank di Dataran Sunway, semalam.Piagam perkhidmatan baru bersifat serampang dua mata

TEMPOH menunggu hanya lapan minit. Itulah janji Standard Chartered Bank (M) Bhd kepada pelanggan dalam piagam perkhidmatannya, dan jika lewat ia akan mendermakan RM1 bagi setiap kelewatan kepada tabung kebajikan. Bercakap kepada media selepas melancarkan piagam pelanggan berkenaan, Pengarah Eksekutif Kumpulan bank itu, Steve Bertamini, berkata langkah berkenaan bertujuan menjadikan perkhidmatan bank itu lebih cekap, serta memastikan setiap pelanggan mendapat layanan serta khidmat yang lebih cemerlang. “Inisiatif ini adalah pendekatan kami untuk meningkatkan produktiviti syarikat, pada masa sama, memberi kepuasan maksimum kepada pelanggan.

“Ia juga, katanya, bersifat serampang dua mata kerana turut meletakkan aspek kebajikan,” katanya sambil berkata, Standard Chartered adalah bank pertama di negara ini memperkenalkan piagam sedemikian.

Mengulas lanjut Bertmanini berkata, tempoh menunggu lapan minit itu dikira bermula daripada saat pelanggan menerima nombor giliran sehingga nombor giliran mereka dipaparkan di skrin LCD yang dipasang di setiap cawangan.

“Sistem giliran itu secara automatik akan merekodkan tempoh menunggu setiap pelanggan dan seterusnya memaklumkan kepada petugas jika mereka telah melebihi tempoh lapan minit yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, hasil daripada kutipan bagi kelewatan itu akan disalurkan kepada empat program kebajikan global naungan bank terbabit iaitu ‘Seeing Is Believing’, ‘Living with HIV’, ‘Environment’ dan ‘Financial Literacy Programme’.

“Seeing Is Believing adalah dana yang dibentuk untuk menangani dan mencegah masalah cacat penglihatan, manakala ‘Living with HIV’ ialah program khas yang dibentuk untuk mengurangkan bilangan jangkitan HIV.

“Environment pula ialah program pemuliharaan alam sekitar, manakala ‘Financial Literacy Programme’ ialah program yang disusun untuk menanamkan kesedaran mengenai pengurusan wang di kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Tuesday, March 29, 2011

Ar-Rahnu X’change diperluas

Ar-Rahnu X’change diperluas
Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2011/03/30
Bank Rakyat mahu buka 13 cawangan baru khidmat pajak gadai Islam

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) komited mengembangkan perniagaan francais perkhidmatan pajak gadai Islam, Ar-Rahnu X’change dengan rancangan membuka 13 lagi cawangan baru diuruskan oleh koperasi tahun ini. Kini, Bank Rakyat menerusi anak syarikatnya, Rakyat Management Services Sdn Bhd memiliki dan mengurus sembilan Ar-Rahnu X’change manakala 17 lagi diurus oleh francaisi, terdiri daripada kumpulan koperasi. Perkhidmatan itu turut ditawarkan di semua 127 cawangan Bank Rakyat di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sasaran pembukaan 13 cawangan baru tahun ini akan menjadikan keseluruhan rangkaian francais Ar-Rahnu X’change meningkat kepada 30 cawangan seluruh negara.

Bank Rakyat, katanya, turut menyasarkan pengeluaran pinjaman terkumpul oleh rangkaian francaisi Ar-Rahnu X’change meningkat kepada RM200 juta tahun ini.

Katanya, francaisi Ar-Rahnu X’change mencatat prestasi membanggakan dengan jumlah pengeluaran terkumpul berjumlah RM121.7 juta sepanjang tahun lalu.
Katanya, sejumlah RM24.8 juta pinjaman dikeluarkan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini dengan jumlah baki pinjaman RM95.7 juta bagi tempoh sama.

“Peningkatan keyakinan pelanggan ke atas jenama Ar-Rahnu X’change juga dapat dilihat dengan pertumbuhan pengeluaran pinjaman francaisi pajak gadai itu yang sentiasa konsisten.

“Ini kerana ada juga francaisi mencatat jumlah pengeluaran pinjaman bulanan melebihi RM2 juta,” katanya pada sidang media selepas melancarkan cawangan francais terbaru Ar-Rahnu X’change yang dimiliki oleh Koperasi Wawasan Pekerja-pekerja Bhd (KOWAJA) di Rawang, Selangor semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat merangkap Ahli Lembaga Pengarah RManagement; Penasihat KOWAJA, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan Pengerusi KOWAJA, Bruhanutheen Ahmed Mustafa.

Menerusi francais Ar-Rahnu X’change, Bank Rakyat membenarkan KOWAJA yang dianggotai lebih 89,000 oleh kakitangan awam dan swasta itu memegang hak sebagai francaisi bagi menjalankan perniagaan pajak gadai Islam itu.

Ar-Rahnu X’change KOWAJA turut mencatatkan prestasi permulaan memberangsangkan dengan mencatatkan jumlah pengeluaran pinjaman melebihi RM1 juta dalam tempoh tiga bulan beroperasi.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, industri pajak gadai kini terbukti sebagai penyelesaian segera kepada keperluan kewangan peribadi serta antara kaedah mendapatkan modal bagi peluang perniagaan.

“Peningkatan tahap kesedaran Ar-Rahnu di kalangan masyarakat juga menjadikannya sebagai satu alternatif kepada kebergantungan terhadap ceti haram atau ‘ah long’,” katanya.

Labur RM4b bina kilang polimer

Labur RM4b bina kilang polimer
Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2011/03/30


NAJIB bersalaman dengan Brudermuller di pejabat Perdana Menteri, semalam. Turut hadir dalam kunjungan hormat itu (dari kiri) Wan Zulkiflee; Presiden PETRONAS, Datuk Shamsul Azhar Abbas; Presiden BASF Asia Pasifik, Saori Dubourg dan Pengarah Urusan BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd, Dr Hermann Brandt.PETRONAS, BASF SE tingkat kerjasama tinjau potensi industri petrokimia

PETRONAS dan pengeluar produk kimia terbesar dunia, BASF SE akan memulakan kajian daya maju untuk membina sebuah kilang polimer boleh serap di Malaysia membabitkan pelaburan RM4 bilion. Projek itu yang dijangka menyediakan 500 peluang pekerjaan baru kepada pekerja mahir tempatan dibincangkan ketika kunjungan hormat delegasi BASF SE diketuai anggota Lembaga Pengarah Eksekutifnya, Dr Martin Brudermuller kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya, semalam. Kedua-dua firma itu juga bercadang untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran asid akrilik dan n-butana menerusi syarikat usaha sama, BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd.

Mengulas perkembangan itu, Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Hiliran PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata masa depan industri petrokimia akan dibentuk menerusi perubahan dalam arah aliran global seperti meningkatnya kesedaran mengenai tahap kesihatan di kalangan pengguna.

Katanya, arah aliran itu menyebabkan pertumbuhan kukuh permintaan bagi bahan kimia khusus termasuk polimer boleh serap dalam kegunaan kebersihan peribadi.

“Kejayaan usaha sama PETRONAS dengan BASF memberikan kami keyakinan untuk meninjau peluang kerjasama lanjut dalam portfolio nilai tambah lebih tinggi dan turut meletakkan kumpulan sebagai peserta utama industri petrokimia di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Brudermuller berkata kerjasama BASF PETRONAS Chemicals memainkan peranan penting kepada firma berpangkalan di Jerman itu untuk mencapai Strategi Asia Pasifik Kumpulan bagi 2020.

Katanya, menerusi pelaburan dalam bahan kimia khusus itu, kumpulan akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggannya di rantau Asia.

Dengan pengembangan kapasiti dan pembabitan dalam bidang polimer boleh serap, kami akan menjana potensi lebih jauh dalam rantaian nilai industri akrilik menerusi BASF PETRONAS Chemicals,” katanya.

Polimer boleh serap adalah bahan yang mempunyai keupayaan menyerap dan mengekalkan sejumlah besar air dan penyelesaian yang berkaitan dengan air.

Bahan itu diperbuat daripada sebahagian poli asid akrilik yang neutral dan ringan serta menjadi bahan utama dalam pembuatan lampin pakai buang, produk pembersih wanita dan lampin dewasa.

Ia turut digunakan dalam penebat kabel, pasu tanah dan campuran kompos profesional, bungkusan makanan serta bahan buangan perubatan.

Pelaburan baru itu adalah sebahagian daripada komitmen BASF PETRONAS Chemicals yang ditubuhkan pada 1997.

Syarikat itu kini beroperasi di sebuah kompleks bersepadu di Zon Perindustrian Gebeng, Pahang.

BASF memegang 60 peratus kepentingan dalam syarikat itu manakala bakinya oleh PETRONAS dengan jumlah pelaburan bernilai RM3.4 bilion untuk kemudahan pengeluaran bahan seperti monomer akrilik, produk berasaskan oksigen dan butanediol.

Monday, March 28, 2011

Sabanilam bina bandar teknologi

Sabanilam bina bandar teknologi
Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah
bhnews@bharian.com.my
2011/03/29
Projek RM300j di tanah sawah terbiar bakal jadi pusat sehenti perniagaan

SABANILAM Enterprise Sdn Bhd (Sabanilam), anak syarikat Malakun Holdings Sdn Bhd iaitu syarikat pemaju hartanah milik Bumiputera Sabah, melabur kira-kira RM300 juta bagi membangunkan sebuah bandar teknologi menerusi pembinaan Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) Penampang di Jalan Pintas Penampang, Kota Kinabalu. Pusat seluas kira-kira empat hektar yang dibangunkan di tanah bekas sawah padi terbiar itu bakal menjadi pusat sehenti perniagaan bagi produk dan perkhidmatan berkaitan elektrik dan inovasi serta tempat aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) berkaitan sains dan teknologi. Pengarah Urusan Malakun Holdings, Datuk Clarence Bongkos Malakun, berkata pembinaan pusat itu dijangka mengambil masa tiga tahun adalah projek komersial terbesar di daerah itu dan projek tunggal mengkhusus kepada produk dan perkhidmatan teknologi serta inovasi di Sabah.

“Asalnya pusat ini dicadang dijadikan pusat konvensyen dan teknologi tetapi selepas mendapat khidmat nasihat Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), kita menukar konvensyen kepada komersial supaya tidak bertindih dengan rancangan kerajaan membina pusat konvensyen antarabangsa di negeri ini.

“Bagaimanapun, rancangan kita untuk menyediakan kemudahan MICE masih diteruskan tetapi tumpuan lebih kepada menjadikan tempat ini sebagai pusat perniagaan produk elektrik dan teknologi,” katanya pada majlis pecah tanah pusat itu oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di Kota Kinabalui, semalam.

Hadir sama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Edward Khoo Keok Hai; Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Donald Peter Mojuntin dan Pegawai Daerah Penampang, William Sampil.
Musa berkata, ITCC Penampang boleh menjadi pemangkin ekonomi di kawasan Penampang dan Kepayan selain menyuraikan tumpuan aktiviti perniagaan di pusat bandar raya Kota Kinabalu yang kini semakin padat dan sesak.

Keadaan padat dan sesak di kawasan bandar raya Kota Kinabalu, katanya, mendorong ramai pemaju meninjau peluang pembangunan projek komersial dan perumahan di luar ibu negeri, khususnya Penampang, Putatan, Kinarut dan kawasan berhampiran.

“Pelaksanaan ITCC Penampang juga selaras usaha kerajaan menggalakkan pembabitan swasta dalam membangunkan ekonomi menerusi pelaksanaan projek berdaya maju seperti yang ditekankan dalam Program Tranformasi Ekonomi (ETP) dan 12 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA).

“Di Sabah, selain industri berkaitan sawit, pelancongan, tenaga dan minyak dan gas yang dikenal pasti sebagai bidang kritikal, bidang lain berkaitan komunikasi dan infrastruktur seperti yang dilaksanakan menerusi ITCC Penampang ini juga diberi perhatian,” katanya.

Pada masa sama, Musa turut menggesa usahawan Bumiputera di Sabah supaya mencari peluang perniagaan dan pelaburan bagi membantu meningkatkan lagi pembangunan ekonomi negeri ini.

Sistem penjejak RFID ke Thailand

Sistem penjejak RFID ke Thailand
Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2011/03/29
Projek di negara jiran buka peluang Smartag teroka pasaran baru rantau Asia

SMARTAG Solutions Bhd, yang dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bulan depan, merancang menggunakan separuh daripada dana RM17.7 juta yang bakal diraihnya daripada tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya untuk perbelanjaan modal bagi projek berkaitan RFID di rantau ini. Ketua Eksekutifnya, P K Lim, berkata ketika ini syarikat itu menerusi kerjasama dengan Netbay Co Ltd yang berpangkalan di Thailand, akan membangunkan projek perintis sistem penjejak kontena berteknologi RFID di pelabuhan Thailand yang bermula April depan. Katanya, ia membabitkan kos pembangunan kira-kira RM300,000 bagi setiap pos pemeriksaan bergantung kepada keperluan pihak Thailand yang mana ada 46 pos pemeriksaan berpotensi untuk dilengkapi sistem penjejak itu.

“Kami sudah lama membangunkan sistem penjejak ini dan peluang menggunakannya dalam projek perintis pos pemeriksaan dan pelabuhan Thailand akan meningkatkan keyakinan pelanggan sekali gus memudahkan kami meneroka pasaran baru yang lain.

“Sebelum ini kami hanya mempunyai kehadiran di Indonesia dan Thailand, namun selepas ini kami berhasrat mengembangkan sistem penjejak RFID ini ke pasaran baru seperti Laos, China dan Singapura,” katanya pada majlis pelancaran prospektus IPO syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Smartag yang ditubuhkan pada 2004, adalah penyedia penyelesaian sistem pengenalan berfrekuensi radio (RFID) yang turut terbabit dalam pembangunan perisian RFID serta kemudahan perkakasan RFID untuk sektor pengilangan dan logistik.
Sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia 18 April ini, Smartag membuat IPO 57 juta saham biasa baru yang ditawar pada harga 31 sen seunit.

Daripada jumlah itu, 50 juta diperuntukkan bagi langganan pelabur yang dikenal pasti, lima juta bagi pengarah, pekerja dan rakan perniagaan manakala bakinya dua juta diperuntukkan untuk tawaran awam.

Smartag menyasarkan menjana RM17.67 juta daripada daripada IPO itu yang mana RM8.84 juta akan diperuntukkan untuk disalurkan bagi modal belanja projek berkaitan RFID, RM3.36 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), RM3.53 juta untuk modal kerja dan baki perbelanjaan penyenaraian.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2010, Smartag mencatatkan pendapatan RM22.769 juta dengan sumbangan operasi di Malaysia sebanyak 67.2 peratus dan Indonesia 32.8 peratus.

Boustead ambil alih pegangan MHS Aviation

Boustead ambil alih pegangan MHS Aviation
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/03/29

Pengambilalihan 51 peratus kepentingan pada harga RM100j

LANGKAH Boustead Holdings Bhd mengambil alih pegangan majoriti dalam syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan helikopter, MHS Aviation Bhd menyediakannya potensi lebih besar untuk memperoleh projek dalam aktiviti pembangunan telaga minyak kecil dan laut dalam di dalam negara serta serantau. Pengambilalihan membabitkan 51 peratus kepentingan pada harga RM100 juta yang diselesaikan semalam itu, selain meningkatkan keuntungan konglomerat itu dalam jangka panjang juga dijangka membantu mengembangkan lagi sumbangan sektor berasaskan minyak dan gas kepada pendapatannya mulai tahun ini. Boustead adalah sebuah kumpulan yang mempunyai kepentingan besar dalam pelbagai sektor ekonomi di Malaysia dengan operasinya bertumpu kepada enam bidang utama iaitu perladangan, industri berat, hartanah, kewangan dan pelaburan, perdagangan serta pembuatan dan perkhidmatan.

MHS Aviation pula yang memulakan operasi pada 1983 adalah penyedia perkhidmatan pengangkutan helikopter, perkhidmatan perubatan kecemasan serta kerja mencari dan menyelamat bagi industri minyak dan gas Malaysia.

Ia turut menawarkan kemudahan sewa pesawat bagi helikopter dan kapal terbang serta latihan penerbangan dan perkhidmatan kejuruteraan serta teknikal.

Timbalan Pengerusi yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata pengambilalihan itu adalah bersinergi dan tepat pada masanya ekoran potensi peningkatan sektor minyak dan gas, khususnya pada separuh kedua tahun ini.
“Kami yakin pembelian itu akan memberikan sumbangan positif kepada keuntungan kumpulan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, lebih-lebih lagi dengan reputasi MHS yang mantap serta menjadi perintis dalam perkhidmatan helikopter bagi sektor minyak dan gas pesisir pantai di Malaysia,” katanya kepada media selepas memeterai perjanjian jual beli dengan Pengerusi dan Ketua Eksekutif MHS, Ma’som Mahadi, di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, MHS turut memeterai perjanjian dengan Eurocopter Malaysia Sdn Bhd bersempena penyerahan unit pertama helikopter EC225 dari lima unit yang dibelinya dengan baki empat unit lagi akan diterimanya secara berperingkat dalam beberapa tahun lagi.

Sektor minyak dan gas kini menjadi antara antara bidang yang diberikan perhatian serius oleh kerajaan dalam usaha menambah jumlah simpanan minyak negara.

PETRONAS pada Januari lalu mengumumkan cadangan untuk mula memberikan kontrak bagi pembangunan telaga minyak kecil tahun ini yang mana ia dijangka membantu membangunkan lagi syarikat penyediaan perkhidmatan industri minyak dan gas tempatan.

MHS Aviation baru-baru ini diberikan kontrak oleh Petronas Cari Gali Sdn Bhd serta kontrak sah lain yang kesemuanya menjangkau tempoh lebih 10 tahun dengan nilai kira-kira RM3.1 bilion.

Tuesday, March 22, 2011

Digistar Corporation unjur raih RM2 juta sebulan daripada IPTV

Digistar Corporation unjur raih RM2 juta sebulan daripada IPTV


2011/03/23
SYARIKAT penyedia prasarana teknologi maklumat, Digistar Corporation Bhd, mengunjurkan meraih RM2 juta sebulan daripada perkhidmatan Televisyen Protokol Internet (IPTV) yang disediakannya di hospital seluruh negara.

Pengarah Urusannya, Datuk Lee Wah Chong, berkata permintaan terhadap sistem rangkaian televisyen itu di hospital semakin meningkat dan jumlah penontonnya kini adalah lebih tinggi berbanding di hotel. “Setakat ini Digistar menyediakan perkhidmatan itu kepada 11 hospital dan akan meningkatkan 20 hospital menjelang tahun depan, ” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam. Sejak tiga tahun lalu, Digistar membuat pelaburan bagi meningkatkan teknologi IPTV untuk menyediakan tawaran perkhidmatan seperti permintaan siaran berbayar, pengiklanan dan e-dagang.

Digistar adalah syarikat pertama di ASEAN yang menawarkan sistem sokongan sepenuhnya untuk proses pemindahan daripada definisi tinggi (HD) kepada 3D.

Dengan pengalaman 28 tahun dalam penyediaan perkhidmatan untuk industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Wah Chong berkata, syarikat itu mengendalikan kira-kira 50 hingga 60 peratus projek kerajaan khususnya dalam penyediaan perkhidmatan kepada hospital swasta dan institusi pendidikan di negara ini.

Katanya, setakat 31 Disember lalu, syarikat itu telah memperoleh kontrak berkaitan perkhidmatan penyiaran bernilai RM102 juta dan telah menender projek bernilai RM130 juta.
“Kami mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk mengendalikan pelbagai projek termasuk teknologi maju. Kami juga membeli terus daripada pembekal utama dan menjual terus kepada pengguna sekali gus meneraju pasaran dari segi harga,” katanya.

Eraman yakin jualan naik

Eraman yakin jualan naik
Oleh Sophia Ahmad

2011/03/23
Anak syarikat MAHB rancang tambah kedai bebas cukai

MALAYSIA Airports (Niaga) Sdn Bhd, atau turut dikenali sebagai Eraman Malaysia, menjangka meningkatkan jualannya sehingga 10 peratus kepada RM513 juta tahun ini susulan promosi bersama yang dilaksanakannya dengan KLIA Ekspres bermula 1 Mac lalu.

Di bawah promosi bersama yang akan berlangsung sehingga September itu, pelanggan di mana-mana 43 kedai kedai bebas cukai yang dikendalikan anak syarikat milik penuh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berkenaan akan menikmati diskaun 10 peratus bagi tiket perjalanan sehala KLIA Ekspres. Pengurus Besar Eraman Malaysia, Umar Bustaman berkata, kedai bebas cukai syarikat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah penyumbang terbesar kepada jualannya ketika ini dengan menyumbang antara 80 hingga 85 peratus. “Tahun lepas kami meraih jualan RM413 juta dan KLIA adalah penyumbang terbesar kerana dari keseluruhan kedai yang kami kendalikan, 21 adalah di lapangan terbang itu dengan setiap pelanggan secara purata berbelanja antara RM100 hingga RM200,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran promosi itu di KLIA semalam.

Mengenai pembukaan cawangan baru, Umar berkata, syarikat itu merancang membuka tujuh kedai baru dibuka KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pertengahan tahun ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Ekspres Rail Link Sdn Bhd, Noormah Mohd Noor, berkata KLIA Ekspres kini digunakan kira-kira 1.6 juta pelanggan setiap tahun.

“Tahun ini kami menyasarkan mengendalikan kira-kira dua juta penumpang menerusi promosi bersama ini,” katanya.
KLIA Ekspress dan KLIA Transit masing-masing mencatatkan peningkatan jualan sebanyak enam dan lapan peratus pada tahun 2010.

Monday, March 21, 2011

Bank Islam mahu tarik 500,000 pelanggan

Bank Islam mahu tarik 500,000 pelanggan


2011/03/22
BANK Islam Malaysia Bhd menyasarkan menarik 500,000 pelanggan bagi Kad Debit i- Visa barunya menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar Perbankan Penggunanya, Khairul Kamarudin, berkata sejak ia dilancarkan tiga minggu lalu, Bank Islam sudah menarik antara 1,500 hingga 2,000 pelanggan setiap hari. “Setakat ini kami sudah mempunyai kira-kira 28,000 pemegang kad debit itu dan menjangkakan jumlahnya bertambah didorong tahap capaian kad ini yang membolehkan pengguna mendapat pelbagai kemudahan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran kempen Debit = Myvi Bank Islam di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Pengurus Negara Visa Malaysia, Stuart Tomlinson. Kempen yang bermula semalam hingga 20 September ini membolehkan pemegang Kad Debit i- Visa Bank Islam memenangi enam Perodua Myvi (Myvi) dan hadiah berbentuk rebat tunai setiap minggu dengan hanya berbelanja RM10 menggunakan kad itu di mana-mana rangkaian yang mempunyai logo VISA di seluruh negara.

Pada masa sama, pemegang kad itu melanggan perkhidmatan perbankan mudah alih tanpa internet melalui Transact at Palm (TAP Mobile banking-i) secara automatik berpuang bersaing memenangi hadiah bulanan, Myvi.

Selain itu, tiga pemegang kad bertuah juga berpeluang memenangi hadiah rebat tunai mingguan sehingga RM1,000 yang akan dikreditkan dalam akaun simpanan atau semasa.

Sementara itu, Tomlinson berkata, kempen Debit = Myvi Bank Islam bertujuan meningkatkan lagi manfaat apabila pemegangnya menggunakan kad debit sebagai kaedah pembayaran.

BSN sasar pembiayaan RM5 bilion

BSN sasar pembiayaan RM5 bilion
Oleh Mohd Zin Ali

2011/03/22
Skim ditawarkan tahun ini meningkat 50 peratus

BANK Simpanan Nasional (BSN) menyasar menyalurkan pembiayaan berjumlah RM5 bilion di bawah skim pembiayaan peribadi tahun ini, peningkatan kira-kira 50 peratus berbanding tahun lalu.

Naib Presiden Kanannya, Akhsan Zaini, berkata melalui pelbagai kempen dan keistimewaan diberikan bank itu kepada pelanggan, pihaknya percaya sasaran itu mampu dicapai. Beliau berkata, tahun lalu, BSN mengeluarkan pembiayaan peribadi berjumlah RM3.3 bilion, termasuk dalam tempoh kempen ‘BSN Happy Cash’ yang bermula September hingga Disember. “Dalam tempoh itu saja kami berjaya mendapatkan 60,000 pelanggan baru untuk pembiayaan peribadi.

“Dengan kempen ‘BSN Happy Cash’ kedua bermula 1 Januari lalu hingga 30 April ini serta pelbagai usaha yang akan dilakukan hingga akhir tahun ini, kami menyasarkan memperoleh 100,000 pelanggan baru dengan jumlah pembiayaan bernilai RM5 bilion,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Akhsan berkata, bagi kempen BSN Happy Cash berkenaan, pihaknya menawarkan kadar keuntungan serendah 3.15 peratus setahun, pembayaran 100 peratus, pembiayaan hingga RM200,000 dan tempoh pembiayaan hingga 20 tahun.

Beliau berkata, syarat dikenakan ialah warga negara berusia 21 tahun ke atas, kakitangan kerajaan dan badan berkanun, kakitangan kontrak/sementara perlu berkhidmat lebih 12 bulan, berpendapatan gaji minimum RM800 serta pemegang akaun GIRO/GIRO-I BSN.
Katanya, bagi pelanggan bergaji pokok lebih RM5,000, urusan dokumentasi dipermudahkan dengan hanya memerlukan penyata pendapatan terkini dan borang kebenaran potongan gaji saja.

“Selain pakej pembiayaan menarik, kami juga memberikan sebuah iPad kepada 100 pelanggan pertama yang diluluskan pembiayaan peribadi lebih RM150,000 manakala menawarkan 601 hadiah hebat menerusi cabutan bertuah seperti 100 iPad, 500 komputer netbook dan hadiah utama sebuah kereta mewah Audi A4 bagi mereka yang membuat pinjaman lebih RM50,000,” katanya.

Akhsan berkata, bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang berminat untuk mendapatkan pembiayaan peribadi, BSN mempunyai 384 cawangan dan 320 pegawai jualan bergerak untuk menemui pelanggan sama ada di pejabat atau rumah.

“Sehingga kini, kami sudah mencapai kira-kira 50 peratus daripada sasaran pemberian pinjaman bernilai sebanyak RM1.8 bilion untuk pembiayaan peribadi dalam tempoh kempen ‘BSN Happy Cash’ terbaru,” katanya.

Sunday, March 20, 2011

Volvo pertingkat program CKD model baru terpilih

Volvo pertingkat program CKD model baru terpilih
Oleh Ahmad Farizal Hajat

2011/03/21


MODEL Volvo S60 yang akan dilancarkan pada April.Kenderaan SUV turut dipasang di kilang Shah Alam Ogos

PASARAN automotif Malaysia kini semakin rancak susulan langkah beberapa pengeluar kereta terkemuka dunia memperluas, atau meningkatkan aktiviti perniagaan masing-masing di pasaran tempatan.

Terbaru, pengeluar kenderaan mewah berpangkalan di Gothenburg, Sweden, Volvo Car Corporation, dikatakan bakal meningkatkan lagi aktiviti program pemasangan tempatan (CKD) model terba-ru terpilihnya di Malaysia. Sumber industri berkata, syarikat itu yang kini melaksanakan CKD bagi model S40, S80, kenderaan serba guna sukan (SUV) XC60, dan V50 di kilang pengeluaran anak syarikatnya, Swedish Motor Assemblies Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor, akan melaksanakan program yang sama terhadap model sedan eksekutif S60 baru, pada Ogos atau September ini. “Sebagai permulaan, firma automotif Sweden itu menerusi anak syarikat pengedarannya di Malaysia, Volvo Car Malaysia (VCM) akan melancarkan S60 yang diimport sepenuhnya (CBU) di pasaran tempatan pada 6 April ini, sebelum ia mula melaksanakan program CKD terha-dap model itu pada suku ketiga.

“Peningkatan program CKD terhadap model Volvo itu sejajar hasrat pengeluar kereta mewah Sweden itu menjadikan Malaysia sebagai hab pemasangan dan pengedaran kenderaan Volvo di ASEAN dengan mengambil kesempatan daripada dasar automotif di bawah Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA),” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Sumber itu berkata, dengan peningkatan program CKD Volvo di Malaysia, firma Sweden itu memiliki kelebihan tersendiri berbanding pesaingnya, kerana ia akan berupaya menawarkan kenderaan keluarannya pada harga yang lebih berdaya saing.

Jurucakap VCM mengesahkan perkembangan itu ketika dihubungi Berita Harian.
“VCM akan membawa masuk sekitar 100 unit CBU S60 untuk dipasarkan di pasaran tempatan pada April ini sebagai program pengenalan sebelum model itu dipasang di Shah Alam pada suku ketiga,” katanya sambil menambah model CBU S60 yang menggunakan enjin tiga liter versi turbo akan ditawarkan pada RM350,000 seunit, manakala versi dua liter turbo pula akan dijual pada RM290,000 seunit.

Model sedan S60 yang dilancarkan di Geneva Motor Show pada Mac tahun lalu itu, akan bersaing sengit dengan BMW 3 Series dan Audi A4.

Antara kelebihan kereta S60 mempunyai rangka binaan kukuh itu mampu mengurangkan impak apabila berlaku gulingan, selain turut mampu mengenal pasti sebarang kecenderungan kegelinciran pada tahap awal.

Tuesday, March 15, 2011

Rangkaian biodiesel sawit terbesar Asia

Rangkaian biodiesel sawit terbesar Asia
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/03/16
Kerjasama bersepadu Felda Global, Mission

FELDA Global Group dan Mission Biotechnologies Sdn Bhd akan menubuhkan sebuah rangkaian pengeluaran dan pembekalan biodiesel sawit bersepadu terbesar di Asia yang mencapai piawaian Pensijilan Kemapanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC) dalam usaha memperluaskan bekalan bahan api itu pada peringkat global. Pembentukan rangkaian itu direalisasikan susulan pemeteraian perjanjian pembekalan jangka panjang antara kedua-dua pihak baru-baru ini. Kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama, berkata menerusi perjanjian itu, Felda Global dan Mission akan bekerjasama memperluas program pensijilan itu ke kilang dan ladang milik Felda yang lain, bertujuan bagi meningkatkan bekalan biodiesel yang mencapai piawaian ISCC.

ISCC adalah satu-satunya pensijilan bagi bahan api bio dan bahan api cecair bio paling komprehensif di dunia.

Usaha untuk mencapai standard piawaian itu akan dilaksanakan menerusi kilang penapisan Mission di Pelabuhan Kuantan.

ISCC disyaratkan bagi syarikat berhasrat membekalkan bahan api bio atau bahan api cecair bio di Jerman yang memberikan subsidi, pengecualian cukai dan keistimewaan lain kepada pengguna bahan bakar berkenaan.
FELDA adalah antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, manakala Mission, anak syarikat milik penuh Mission NewEnergy Ltd, syarikat senaraian awam di Bursa Australia, pula adalah peneraju global dalam penyediaan tenaga diperbaharui.

Mengulas mengenainya, Presiden Felda Group, Datuk Sabri Ahmad, berkata perjanjian itu sejajar dengan misi FELDA untuk memperluas kegiatannya dengan menceburi bidang bahan api bio.

Katanya, piawaian itu memberi kelebihan kepada kumpulan bersaing dalam pasaran antarabangsa.

“Memandangkan Kumpulan Felda Global kini agresif dalam bidang bahan api bio, ISCC memberikan kumpulan ini satu kelebihan bersaing di pasaran antarabangsa.

“Selain memenuhi keperluan bagi pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Mapan (RSPO), sijil ISCC juga mematuhi Peraturan Tenaga Diperbaharui (RED) Kesatuan Eropah,” katanya.

ISCC kini diperlukan bagi syarikat yang mahu membekal bahan api bio atau bahan api cecair bio di Jerman, iaitu negara yang memberikan subsidi, pengecualian cukai dan faedah lain kepada pengguna bahan api bio.

Pemberian faedah itu adalah sejajar dengan peruntukan undang-undang negara itu yang diperkenalkan pada November 2010.

Sabri berkata, untuk mencapai RED, ia memerlukan minimum 35 peratus penjimatan dalam pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada penggunaan bahan api bio dan bahan api cecair bio bagi melayakkannya menerima subsidi dan faedah lain.

“Penggunaan minyak sawit mentah dari ladang Bukit Sagu dan Lepar Hilir untuk menghasilkan bahan api bio memberikan penjimatan GHG, masing-masing sebanyak 47 peratus dan 41 peratus,” katanya.

Monday, March 14, 2011

Program SMS peminat, artis

Program SMS peminat, artis


2011/03/15
KUALA LUMPUR: Peminat dunia hiburan kini boleh berkomunikasi bersama selebriti kesayangan mereka menerusi JomChat, sebuah program SMS yang dijalankan secara kerjasama antara akhbar Harian Metro dan IDOTTV Sdn Bhd.

Program JomChat ialah langkah alternatif terbaik bagi peminat berhubung secara langsung dengan artis kesayangan dengan lebih telus menerusi telefon bimbit pada bila-bila masa. Sebagai permulaan, empat selebriti yang juga finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 iaitu Aizat, Zizan Razak, Alyah dan Ana Raffali dipilih. Ketua Pegawai Eksekutif IDOTTV Sdn Bhd, Firoz Mohd Noor, berkata selain berkomunikasi secara santai menerusi SMS, pelanggan juga menerima catatan diari artis kesayangan menerusi ciri ‘fans alert’ yang ditawarkan aplikasi JomChat.

“Walaupun pelanggan bebas menghantar SMS, tetapi pihak kami tetap utamakan keselamatan dan setiap mesej ditapis sebelum disalurkan kepada artis.

Mereka yang berminat perlu mendaftar dengan menaip SCREGNAMA dan hantar ke talian 33333. Untuk menghantar mesej pula, pelanggan perlu menaip SCnama artismesej dan hantar ke 33333.

Pelanggan juga boleh mengetahui berita dan aktiviti terkini artis dengan menaip ON>jarak dan hantar ke 33333

Wednesday, March 2, 2011

Firma insurans Jepun jadi rakan kongsi Hong Leong

Firma insurans Jepun jadi rakan kongsi Hong Leong


2011/03/03
MITSUI Sumitomo Insurance Group bakal menyertai industri takaful tempatan dengan menjadi rakan kongsi baru Kumpulan Hong Leong dalam anak syarikat takafulnya.

Ini susulan kelulusan diperoleh Hong Leong Assurance Holdings Sdn Bhd (HLAH) daripada Bank Negara Malaysia untuk menjual kepentingan dalam anak syarikat takafulnya kepada syarikat insurans dari Jepun itu. Cadangan penjualan itu susulan keputusan Tokio Marine & Nichido Fire Insurance Co Ltd, juga dari Jepun untuk menamatkan usaha samanya dalam Hong Leong Tokio Marine Takaful (HLTMT) berikutan perbezaan strategi perniagaan. Tokio Marine & Nichido, anak syarikat kepada Tokio Marine Holdings bercadang menjual 35 peratus pegangannya dalam HLTMT kepada HLAH, yang mana kemudian akan menjualnya kepada Mitsui Sumitomo.

Hong Leong Financial Group Bhd, syarikat induk HLAH memiliki 65 peratus pegangan ekuiti dalam HLTMT.

Sementara itu, Mitsui Sumitomo pula kini melaksanakan strategi baru iaitu mengembangkan operasi pada peringkat antarabangsa secara agresif menerusi kerjasama dengan rakan niaga di pasaran baru muncul.

Mengulas perkembangan berkenaan, Ketua Eksekutif HLTMT, Abdul Latiff Abu Bakar, bagaimanapun berkata, tiada sebarang perubahan dari segi hala tuju perniagaan pada peringkat syarikat.
“Semua sama kerana model perniagaannya juga sama," katanya selepas majlis memeterai memorandum persefahaman antara Darul Fikir Sdn Bhd dan Kijang Kota Trading di Kuala Lumpur, semalam.

Tuesday, March 1, 2011

PROTON meterai MoU guna platform, enjin Nissan

PROTON meterai MoU guna platform, enjin Nissan
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/03/02


DR MAHATHIR diiringi Amrizal (dua dari kiri), Mohd Nazmi (tiga dari kanan) dan Syed Zainal (kiri) melawat Tooling Plant Miyazu Malaysia di Tanjung Malim, semalam.Syarikat laksana kajian daya maju hingga 30 April

PROTON Holdings Bhd telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Nissan Motor Company Ltd yang mungkin menyaksikannya menggunakan platform serta enjin yang dimajukan pengeluar automotif ketiga terbesar dunia itu bagi kenderaan keluarannya. MoU itu dimeterai pengeluar kereta nasional itu dengan syarikat automotif Jepun itu semalam. “MoU itu akan membuka jalan ke arah kajian maju bagi bidang kerjasama khusus antara kedua-dua pihak, termasuk potensi penggunaan platform dan ‘powertrain’ Nissan.

“Tempoh bagi kajian daya maju itu bermula dari tarikh pemeteraian MoU dan akan berakhir 30 April ini, atau sehingga satu perjanjian muktamad dimeterai, yang mana terlebih dulu, kecuali dilanjutkan atas persetujuan bersama,” kata PROTON dalam kenyataan ringkasnya kepada Bursa Malaysia lewat petang semalam.

Pegawai PROTON ketika dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung MoU itu enggan mengulas, tetapi katanya, syarikat itu dijangka mengeluarkan kenyataan media memperincikan MoU itu hari ini.

Bagaimanapun, awal Januari lalu, Berita Harian melaporkan mengenai rancangan PROTON menggunakan platform Nissan Fuga dengan kapasiti enjin 2.5 liter bagi model yang akan menggantikan Proton Perdana.
Mengikut laporan yang memetik sumber industri itu, sebagai permulaan Proton akan mengimport 150 unit model berkenaan dari Jepun dan membuat sedikit perubahan dalaman dan luaran untuk dipasarkan khusus untuk kegunaan kereta rasmi pegawai tinggi kerajaan, sebelum dipasarkan secara komersial.

Fuga yang bersaing dalam pasaran kereta eksekutif seperti Toyota Crown, Honda Legend, Mercedes-Benz E-class, Audi A6, BMW 5 series dan Jaguar XF, adalah kereta mewah Nissan yang menggunakan platform Nissan FM. Ia mula diperkenalkan di Jepun pada Oktober 2004.

Sementara itu, Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir ketika ditemui selepas mengiringi Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melawat kilang Miyazu Malaysia Sdn Bhd di Tanjung Malim, Perak, semalam berkata, beliau yakin pengeluar kereta nasional itu masih mampu mencatatkan keputusan kewangan baik dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Mac ini, di sebalik kerugian dialaminya pada suku ketiga lalu.

“Adalah perkara biasa bagi sesebuah syarikat mengalami kerugian ketika menyusun semula perniagaan anak syarikatnya untuk pulih dan kembali mencatatkan keuntungan.

“Ini kami alami dalam suku ketiga lalu (yang mana Proton mencatatkan kerugian bersih RM60.1 juta) berikutan perbelanjaan penyusunan semula pelan transformasi perniagaan Group Lotus Plc. Namun ia (kerugian) adalah kecil dan dijangka tidak berterusan.

“Bersandarkan kepada strategi pemasaran dan penawaran model kereta pada harga wajar dalam segmen pasaran tepat, kami yakin masih mampu mencatatkan keuntungan positif bagi seluruh tahun kewangan ini,” katanya.

Miyazu Malaysia, syarikat usaha sama antara Proton, Miyazu Seisakusho dan Sojitz Corporation, adalah pereka dan pengeluar perkakasan, khusus untuk industri automotif.

Syed Zainal menegaskan, apabila selesainya pelan transformasi perniagaan lima tahun Lotus itu yang membabitkan pelaburan 480 juta pound (RM2.3 bilion) yang sedang dilaksanakan, pengeluar kereta sport itu bakal muncul penyumbang penting kepada keuntungan kumpulan mulai 2014, iaitu sekitar 30 peratus.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga adalah penasihat Proton berkata, syarikat itu memiliki dana mencukupi untuk membiayai penyusunan semula Lotus tanpa memerlukannya mendapatkan dana dari luar.