Tuesday, February 15, 2011

ATG, Proreka jalin kerjasama keluar rangkaian Sprintex

2011/02/16
TECHNOLOGY Group (ATG) dari Australia memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Proreka (M) Sdn Bhd, iaitu syarikat vendor dan pengeluar bahagian dan komponen automotif tier-satu Malaysia.

MoU itu bertujuan melaksanakan kajian daya maju untuk mengadakan usaha sama bagi mengeluarkan rangkaian Sprintex Supercharger di Malaysia. ATG dalam kenyataannya berkata, usaha sama itu berpotensi menyediakan peluang untuknya mengembangkan perniagaan ke seluruh dunia. “Cadangan usaha sama itu akan mengurangkan kos kami kira-kira 50 peratus dan menyediakan asas kos yang berdaya saing untuk membekalkan rangkaian Sprintex ke pasaran pengeluaran kelengkapan asal (OEM),” katanya.

Ia berkata, kedua-dua pihak berhasrat menyudahkan kajian daya maju itu dalam tempoh tiga bulan selepas memeterai MoU berkenaan.

ATG berkata Malaysia menawarkan banyak kelebihan.

“Ia menawarkan pangkalan pembuatan kos rendah yang mempunyai kelebihan dari segi sistem perundangan, pekerja teknikal yang boleh bertutur bahasa Inggeris dengan baik dan kepakaran dalam automotif.
“Negara ini juga mempunyai zon masa yang sama seperti kemudahan ATG di Perth dan secara geografi, ia terletak di kedudukan yang sesuai di tengah-tengah rantau ASEAN, iaitu antara Australia dan Jepun,” katanya.

Pengarah Urusan ATG, Steven Apedaile dalam kenyataan itu berkata, usaha sama itu boleh menyediakan syarikatnya dengan kemampuan menghasilkan jumlah ‘supercharger’ pada harga berdaya maju di pasaran kereta global.

“MoU itu melengkapkan kedua-dua jumlah pengeluaran dan aturan untuk hak pemasaran dan pengagihan OEM untuk rantau Asean dan Jepun.

“ATG akan mengekalkan hak pengedaran untuk ‘supercharger’ yang dihasilkan oleh usaha sama itu untuk baki pasaran global,” katanya.

Proreka menghasilkan rangkaian alat ganti dan komponen kereta yang dikeluarkan secara besar-besaran untuk jenama kereta terkemuka di Malaysia dan seluruh Asia.

ATG ialah pereka dan pengeluar rangkaian supercharger Sprintex berpaten yang cekap dari segi bahan bakar dan pengeluaran asap yang rendah untuk kegunaan motosikal, kereta dan kenderaan lain.

No comments:

Post a Comment