Tuesday, February 15, 2011

Firma Malaysia beli ekuiti Just Dial

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/02/16


JUST DIAL antara syarikat carian maklumat terkemuka di India.Konglomerat antara pemegang saham utama syarikat carian maklumat di India

SEBUAH konglomerat Malaysia yang terbabit dalam perniagaan berkaitan media, komunikasi dan teknologi maklumat akan meneroka bidang enjin carian maklumat di India menerusi pembelian kepentingan dalam syarikat pengendali enjin carian maklumat terkemuka negara itu, Just Dial Private Ltd. Sumber industri berkata, konglomerat Malaysia itu akan menyuntik sejumlah pelaburan yang besar dalam Just Dial bagi membolehkannya muncul sebagai antara dua pemegang saham utama syarikat berkenaan. "Ketika ini, satu daripada pemegang saham utama dalam Just Dial sedang mengadakan perbincangan peringkat akhir dengan sebuah konglomerat dari Malaysia bagi melepaskan pegangannya dalam pengendali enjin carian internet itu.

"Jika semuanya berjalan lancar, kedua-dua pihak berkenaan dijangka memuktamadkan urus niaga penjualan dan pembelian itu di India tidak lama lagi," katanya pada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Difahamkan, pemegang saham utama Just Dial itu ialah SAIF Partners, iaitu sebuah firma modal teroka berpangkalan di Hong Kong.

Sementara itu, pemegang saham Just Dial lain, termasuk syarikat penyediaan dana dan perunding perniagaan dari New York, Amerika Syarikat (AS), Tiger Global Management LLC; dan Sequoia Capital, firma berpangkalan di California, AS yang menguruskan lebih AS$1 bilion dana di India.
Sumber industri itu berkata, konglomerat Malaysia itu dipilih menjadi antara pemegang saham terbesar Just Dial susulan kebolehannya menyediakan kepakaran dan penyelesaian dalam industri telekomunikasi dan teknologi maklumat.

Katanya, konglomerat Malaysia itu juga dikatakan berupaya membantu Just Dial mengukuhkan lagi jenama syarikat itu sebagai peneraju khidmat carian maklumat di India, selain membantunya mengembangkan lagi pasaran di luar India termasuk di Amerika Utara.

"Just Dial kini dalam peringkat akhir melancarkan perkhidmatan carian maklumat di Amerika Utara menerusi talian percuma dikenali sebagai '1-800-justdial', selain merancang untuk mewujudkan perniagaan secara francais di pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, dengan kemasukan konglomerat Malaysia itu, ia akan membantu syarikat itu dalam merealisasikan rancangannya untuk menyenaraikan sahamnya di Pasaran Saham Bombay tahun ini.

Ditubuhkan pada 1994 oleh pengasasnya, VSS Mani, Just Dial, penyedia perkhidmatan carian maklumat yang berpangkalan di Mumbai, India itu menyediakan perkhidmatan kepada lebih 57 juta perniagaan dan individu daripada 240 bandar raya utama di India.

Ia menawarkan khidmat carian dalam industri seperti pembuatan, pemborongan, peruncitan, eksport dan import, telekomunikasi, dan lain-lain.

Memiliki cawangan pejabat di bandar raya utama India termasuk di Mumbai, New Delhi, Bangalore, Hyderabad, Kolkata, Chennai, Pune dan Ahmedabad, syarikat itu menyediakan perkhidmatan kepada syarikat multinasional termasuk Asian Paints Ltd, Vodafone Essar Ltd, Mahindra Holidays & Resorts India, TATA AIG Life Insurance Company Ltd, Godrej & Boyce, dan State Bank of India.

Diperkukuhkan dengan 4,000 kakitangan profesional, Just Dial menyediakan perkhidmatan carian berkenaan menerusi pelbagai rangkaian seperti telefon, laman web, WAP dan khidmat pesanan ringkas, selain memiliki lebih 135,000 rangkaian iklan berbayar.

Firma berkaitan industri media, telekomunikasi dan teknologi maklumat India kini semakin menjadi tarikan syarikat asing, khususnya dari Malaysia dalam usahanya mengukuhkan operasi di negara yang memiliki jumlah penduduk kedua paling ramai di dunia itu.

Terbaru membabitkan tokoh perniagaan T Ananda Krishnan, menerusi ASTRO All Asia Networks Plc (ASTRO), yang membeli 49 peratus pegangan ekuiti syarikat TV gaya hidup India, NDTV Lifestyle bernilai AS$40 juta pada September tahun lalu.

NDTV Lifestyle adalah firma penyiaran persendirian yang mengendalikan perniagaan seperti hiburan am dan penerbitan filem khususnya berkaitan gaya hidup

No comments:

Post a Comment