KidZania taman tema pendidikan
Oleh Sophia Ahmad
2011/03/01
Dijangka tarik 500,000 pengunjung setahun
KIDZANIA Kuala Lumpur (KidZania), taman tema berunsur pendidikan yang akan dibuka kepada pengunjung pada suku keempat tahun ini, disasarkan mampu menerima kehadiran sehingga 500,000 pengunjung setahun susulan kedudukannya di lokasi strategik yang menjadi tumpuan ramai.
KidZania yang dibina di pusat membeli-belah The Curve, di Petaling Jaya itu juga adalah satu-satunya taman tema berunsur pendidikan di Malaysia setakat ini. Dengan bayaran masuk RM50, taman tema itu bakal memberi peluang kepada kanak-kanak untuk merasai pengalaman menjadi orang dewasa dan melakukan pelbagai jenis ‘pekerjaan’ berpandukan kepada jenama syarikat penaja. Ketua Eksekutifnya, Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin, berkata KidZania yang dibangunkan oleh Rakan Riang Sdn Bhd (RRSB), syarikat usaha sama antara Theme Attractions and Resort (TAR) dan Boustead Curve Sdn Bhd, disasarkan untuk kanak-kanak berusia antara tiga hingga 16 tahun.
“Pengalaman yang ditawarkan oleh taman tema ini lain daripada taman tema biasa. Pengunjung bukan sekadar berseronok tetapi mempelajari dan memuaskan rasa ingin tahu, selain menguji kemahiran dengan jenama tempatan dan antarabangsa yang disediakan di sana,” katanya selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama enam penaja dengan nilai tajaan RM8 juta di Petaling Jaya, semalam.
Semua penaja itu terdiri daripada Air Asia Berhad, Kumpulan CIMB, Honda Malaysia, Media Prima Bhd, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd dan Pos Malaysia Bhd.
Mengenai strategi pemasaran KidZania, Tunku Ahmad Burhanuddin, berkata RRSB berhasrat untuk mengembangkan operasi taman tema itu ke lokasi lain di Malaysia selain rantau ASEAN.
“Lokasi sebenar untuk cawangan KidZania selepas ini belum diputuskan tetapi kami menjangkakan beberapa siri pengumuman berhubung perkara ini tidak lama lagi,” katanya.
KidZania yang bernilai RM50 juta ini juga katanya, bakal mewujudkan 400 peluang pekerjaan sebaik saja ia beroperasi
Monday, February 28, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment