Monday, February 14, 2011

SPNB tawar diskaun rumah 30 peratus

2011/02/15
Syarikat adakan promosi seluruh negara capai sasaran jual 6,300 unit kediaman tahun ini

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan mengadakan promosi besar-besaran di seluruh negara tahun ini, termasuk menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus. Pembeli juga berpeluang membeli rumah berharga antara RM35,000 hingga RM250,000 tanpa wang pendahuluan kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah. Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr Sr Kamarul Rashdan Salleh yakin promosi berkenaan membantu pihaknya mencapai sasaran jualan 6,300 unit rumah tahun ini.

Pada 2010, katanya, SPNB menjual kira-kira 3,000 unit bernilai kira-kira RM400 juta dan syarikat mencatatkan keuntungan sebelum cukai kira-kira RM15 juta.

“Berdasarkan angka jualan rumah yang memberangsangkan tahun lalu, SPNB akan mencatatkan jualan lebih tinggi tahun ini menerusi jalinan kerjasama dengan Cagamas Berhad, syarikat perbadanan gadai janji dan pensekuritian terkemuka negara, Malaysia Building Society Bhd dan Bank Simpanan Nasional (BSN),” katanya di sini, semalam.

SPNB adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 bertujuan menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.
Kamarul berkata, pakej SPNB itu amat kompetitif dengan Cagamas akan melaksanakan Skim Rumah Pertamaku untuk pembeli baru yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Malah, katanya, skim itu juga menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment