Monday, February 14, 2011

PERODUA kekal harga

2011/02/15
Objektif jadi produk mampu milik orang ramai

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) tidak akan menaikkan harga keretanya buat masa ini meskipun berlaku pengukuhan dalam nilai yen, kata Pengarah Urusannya Datuk Aminar Rashid Salleh. Beliau berkata, pengeluar kereta nasional kedua itu masih mengimport sebahagian daripada komponennya dari Jepun. “Kami cuba untuk mengekalkan harga pada paras semasa sehingga ke satu tahap kami sudah tidak boleh lagi berbuat demikian,” katanya pada sidang akhbar ketika majlis sambutan Tahun Baru Cina syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, antara faktor yang akan dipertimbangkan bagi sebarang kenaikan harga termasuklah bahan mentah, kadar pertukaran asing, penawaran dan permintaan dan pengenalan model baru yang ditambah baik.

Aminar Rashid berkata, PERODUA berada dalam segmen harga sensitif dan sebarang keputusan untuk menaikkan harga akan mengambil pertimbangan faktor berkenaan tetapi setelah mengambil kira semuanya, objektifnya adalah untuk menjadikan produk dan perkhidmatannya mampu milik kepada orang biasa.

“Yen mengukuh pada hujung akhir tahun lalu dan kini stabil antara RM3.60 dan RM3.70. Jika ia terus mengukuh, kami terpaksa mencari jalan untuk meringankan kesan ini," katanya.
Mengenai penurunan jualan pada Januari, beliau berkata, ia disebabkan beberapa penyelarasan kepada promosinya tetapi syarikat itu berharap dapat bangkit semula bagi memenuhi cabaran dengan menambah baik perkhidmatan penjagaan pelanggan dan selepas jualan.

Beliau berkata, Disember adalah bulan yang baik di mana syarikat itu berjaya mencatatkan jualan rekod 19,400 unit dengan penguasaan pasaran 35.5 peratus semasa bulan berkenaan.

Mengenai sama ada PERODUA telah menetapkan keseluruhan penguasaan pasarannya pada 32 peratus, beliau berkata syarikat itu sudah tentunya mahukan sasaran itu jika terdapat peluang untuknya menjual lebih banyak lagi.

Beliau berkata, PERODUA berharap penguasaan pasarannya tahun ini berada sekurang-kurangnya setara dengan paras 31.2 peratus tahun lalu dan menjual sehingga 195,000 unit.

Pada 2010, Perodua menjual 188,700 unit dengan Myvi adalah model paling laris dengan jualan hampir 78,000 unit.

Sementara itu, Aminar Rashid berkata, PERODUA akan memperkenalkan model baru tahun ini, dengan menyatakan ia sama ada bagi menggantikan MyVi atau satu model yang benar-benar baru.

Beliau berkata, harganya berkemungkinan tinggi sedikit tetapi ia belum dimuktamadkan lagi. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment