Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/02/08
PELUPUSAN kepentingan 32.21 peratus Khazanah Nasional Bhd dalam Pos Malaysia Bhd yang dibuat menerusi tender terbuka, dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya pada suku kedua atau ketiga tahun ini.
Sumber industri berkata, sayap pelaburan kerajaan itu, menerusi CIMB Investment Bank Bhd yang dilantiknya sebagai penasihat bagi pelupusan itu sedang ‘mengemas kini beberapa senarai cadangan pengambilalihan’ yang dikemukakan pembida dari dalam dan luar negara. “Setakat ini, dua gergasi logistik antarabangsa dan beberapa tokoh perniagaan tempatan antara pembida yang sudah menyatakan minat dan menghantar cadangan pengambilalihan masing-masing. “Tawaran daripada pembida itu pula membabitkan harga sekitar RM3.50 hingga RM3.90 sesaham,” katanya pada Berita Harian di Kuala Lumpur.
Saham Pos Malaysia, syarikat logistik yang memiliki 700 cawangan di seluruh negara itu, semalam mengakhiri dagangannya di Bursa Malaysia pada RM3.35 sesaham.
Sumber itu berkata, tender bagi penjualan saham Pos Malaysia oleh Khazanah yang dibuka secara rasminya awal tahun ini itu telah menarik minat dua gergasi logistik antarabangsa iaitu Deutsche Post dari Jerman dan TNT Post dari Belanda.
Difahamkan, antara tokoh perniagaan tempatan yang turut berminat termasuk Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary; Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun (Berjaya Group); dan anak pengasas dan bekas Pengerusi Kumpulan Naza, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin.
Sumber industri itu berkata, ciri utama pembida yang ditimbangkan Khazanah bagi penjualan kepentingannya dalam Pos Malaysia ialah saham majoritinya mestilah dimiliki pelabur Malaysia, selain memberikan pertimbangan sewajarnya kepada kualiti rakan kongsi strategik dan teknikal yang mungkin membabitkan pihak asing.
“Peringkat pertama pelupusan Pos Malaysia sudah selesai pada akhir tahun lalu dan ia kini sudah memasuki peringkat kedua dan hasilnya dijangka dapat diperoleh dalam tempoh beberapa bulan lagi kerana setiap peringkat pelupusan, sama ada membabitkan proses rundingan atau pertimbangan perlu dilaksanakan menerusi proses tadbir urus korporat yang telus,” katanya sambil menambah pelupusan pegangan dalam Pos Malaysia itu dilaksanakan Khazanah dengan teliti sebagai usaha agensi pelaburan itu menetapkan penanda aras untuknya mengurangkan pegangan ekuiti dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain di masa depan.
Peringkat pertama penjualan itu membabitkan penekanan dalam menangani persekitaran perniagaan makro Pos Malaysia yang antara lain merangkumi penstrukturan penggunaan tanah milik kerajaan yang diperuntukkan untuk prasarana pos, dan kepentingan pekerja syarikat.
Peringkat kedua yang bermula selepas syarat pada peringkat pertama dipenuhi pula, akan menyaksikan proses bidaan untuk memilih pemegang saham utama Pos Malaysia berdasarkan pertimbangan kewangan dan strategik.
Monday, February 7, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment