Monday, February 7, 2011

Iris, IBS Koto tubuh syarikat usaha sama pembinaan

2011/02/08
IRIS Corporation menubuhkan syarikat usaha dengan Koto Malaysia Sdn Bhd dan Ambitech Sdn Bhd bagi bagi pembangunan, pembuatan, pembinaan dan pengendalian Sistem Binaan Berindustri (IBS) Koto.

IBS itu adalah bagi projek pembinaan di Semenanjung Malaysia kecuali Perak melainkan projek itu diperoleh, dimiliki atau diuruskan oleh Iris. Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam, Iris berkata ia memegang 60 peratus ekuiti syarikat usaha sama berkenaan manakala Koto dan Ambitech memegang 30 peratus dan 10 peratus. IBS Koto adalah cara alternatif memajukan perumahan, bangunan komersial, serta bangunan tinggi dan perumahan mampu milik yang cekap tenaga.

Ia adalah sistem bersepadu sepenuhnya, dari tapak, semua jenis dinding, hinggalah kepada siling, siling gantung, bumbung, tiang, alang dan jenang ringan.

Di bawah perjanjian usaha sama yang dimeterai syarikat itu, Koto akan membina, mencipta, memasang, menguji, memulakan dan menugaskan kilang pembuatan itu sebelum menyerahkannya kepada syarikat yang ditubuhkan.

Koto akan menyediakan semua sokongan teknikal dan memindahkan pengetahuan mengenai IBS Koto kepada syarikat usaha sama itu serta memberikan lesen dan hak kekal bagi penggunaan dan pengeluaran IBS Koto oleh syarikat usaha sama itu di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Iris akan membuat bayaran pendahuluan lesen tidak berulang bagi IBS Koto berjumlah AS$50,000 dan melabur AS$1 juta dalam syarikat usaha sama berkenaan.

Ambitech pula menyediakan perkhidmatan perundingan dan pemasaran yang berkaitan dengan dan seperti yang dikehendaki oleh syarikat usaha sama itu.

No comments:

Post a Comment