Thursday, February 10, 2011

F&N, Permanis selaras harga produk minuman

Oleh Ahmad Farizal Hajat

2011/02/11
Usaha serap kos berikutan pemberhentian subsidi gula

PENGELUAR minuman berperisa utama tempatan, termasuk Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) dan C I Holdings Bhd mungkin membuat sedikit pelarasan harga bagi produk masing-masing secara berperingkat tidak lama lagi.

Seorang penganalisis berkata, ia bertujuan menyerap peningkatan kos susulan keputusan kerajaan memberhentikan pemberian subsidi gula kepada industri sejak 1 Januari lalu. “Susulan pemberhentian subsidi itu, peserta industri seperti F&N dan C I Holdings dijangkakan membuat sedikit pelarasan harga bagi produk mereka yang membabitkan penggunaan gula tinggi seperti minuman berperisa dan susu pekat manis tidak lama lagi bagi melindungi pendapatan mereka,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, semalam. Pemberhentian pemberian subsidi gula itu diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, menerusi satu surat rasmi kepada 13 pengeluar minuman terbesar tempatan, sehari sebelum cuti sambutan Tahun Baru Cina lalu.

F&N dan C I Holdings bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapatkan komen berhubung perkara berkenaan.

Namun mengikut sumber, kedua-dua kumpulan itu sedang melihat kepada pilihan untuk melaraskan harga produk masing-masing, tetapi masih belum membuat keputusan bila pelarasan harga akan berkuat kuasa.

F&N adalah pengeluar produk minuman berasaskan teh menggunakan jenama Seasons dan jus minuman jenama Fruit Tree.
C I Holdings menerusi anak syarikatnya, Permanis Sdn Bhd pula adalah pengeluar minuman berkarbonat seperti 7 Up, Pepsi dan Mirinda.

Difahamkan, pengeluar minuman berperisa kini terpaksa membayar harga sekitar RM2.62 bagi sekilogram, iaitu kira-kira 35 peratus lebih tinggi bagi mendapatkan bekalan gula di pasaran.

F&N dalam pengumuman keputusan suku kewangan pertama berakhir 31 Disember 2010 Isnin lalu, membayangkan penurunan margin keuntungannya dengan ketiadaan subsidi gula, kenaikan kos tenaga dan harga makanan serta ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi antarabangsa.

Mengulas mengenainya, Ketua Ahli Ekonomi RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng, berkata peserta industri terbabit sebenarnya memiliki pilihan lain untuk tidak memindahkan peningkatan kos kepada pengguna.

“Mereka boleh memilih untuk mengurangkan peratusan kandungan gula dalam produk keluaran mereka. Selain boleh membantu mengurangkan kos, ia juga dapat membantu kerajaan mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan pengguna di Malaysia,” katanya

No comments:

Post a Comment