Thursday, February 10, 2011

Tawaran baru beli baki saham MTD RM11 seunit

Oleh Shahrizan Salian

2011/02/11
KONSORTIUM empat syarikat yang dimiliki Pengerusi Eksekutif MTD Capital Bhd, Datuk Nik Hussain Abdul Rahman menaikkan harga tawaran pembelian baki saham yang tidak dimilikinya dalam syarikat itu kepada RM11 sesaham daripada RM9.50 sesaham sebelum ini.

Tawaran baru konsortium Nikvest Sdn Bhd, Alloy Consolidated Sdn Bhd, Alloy Concrete Engineering Bhd dan Alloy Capital Sdn Bhd itu adalah 4.6 peratus lebih tinggi berbanding harga dagangan terakhir saham pengendali lebuh raya bertol kedua terbesar di Malaysia itu, iaitu RM10.52 sesaham sebelum ia digantung urus niaga semalam. MTD Capital dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, berkata ia menerima notis semakan harga tawaran itu daripada Maybank Investment Bank Bhd bagi pihak konsortium berkenaan semalam. “Tawaran itu akan dibuka untuk penerimaan sehingga jam 5.00 petang pada Khamis 1 Mac ini.

“Pemegang saham yang menerima tawaran itu pada harga tawaran asal RM9.50 sesaham yang ditawarkan sebelumnya, berhak menerima tawaran yang disemak semula RM11 sesaham itu,” kata kenyataan berkenaan.

Konsortium berkenaan mula mengemukakan tawaran itu pada 20 Disember lalu yang membolehkannya membeli secara langsung 131.483 juta atau 53.13 peratus saham biasa yang masih belum dimilikinya dalam MTD Capital.

Tawaran berkenaan juga dikatakan akan mencetuskan pengambilalihan seterusnya anak syarikat MTD Capital lain iaitu MTD ACPI Engineering Bhd apabila konsortium itu berhasrat membeli saham minoriti dalam syarikat itu pada harga 53 sen sesaham.
Aktiviti utama Nikvest adalah pegangan pelaburan dan penyewaan harta; Alloy Consolidated menceburi pembinaan lebuh raya serta pemegangan pelaburan; Alloy Concrete dalam pembinaan dan Alloy Capital bergiat dalam pegangan pelaburan.

Konsortium itu juga berhasrat untuk menjadikan MTD Capital dan MTD ACPI Engineering syarikat persendirian jika tawaran pengambilalihan itu menjadi kenyataan.

Teras perniagaan utama MTD Capital adalah pembinaan lebuh raya, terutama yang membabitkan projek di kawasan sukar dibangunkan seperti cerun bukit.

Selain beberapa lebuh raya di Malaysia, termasuk lebuh raya Pantai Timur, kumpulan itu turut mengendalikan Lebuh Raya Luzon Selatan di Filipina yang kini menjadi penyumbang utama pendapatannya.

Lebuh raya itu dimiliki oleh South Luzon Tollway Corp, sebuah syarikat usaha sama antara anak syarikat MTD Capital, MTD Manila Expressways dan firma milik kerajaan negara itu, Philippines National Construction Corp (PNC).

Kumpulan itu yang mempunyai kepentingan perniagaan di 13 negara juga mempunyai perniagaan lain antaranya pembangunan hartanah, loji kuasa arang batu dan pengurusan pelabuhan.

No comments:

Post a Comment