Sunday, August 22, 2010

Astro mahu beli 49 peratus kepentingan NDTV Lifestyle

Oleh Ahmad Farizal Hajat

2010/08/23
ASTRO All Asia Networks Plc (Astro), pengendali perkhidmatan TV berbayar tunggal di Malaysia bercadang membeli sehingga 49 peratus ekuiti dalam New Delhi Television Lifestyle Holding (NDTV Lifestyle) bernilai AS$40 juta (RM125 juta), dalam usahanya mengukuhkan operasi di negara yang memiliki jumlah penduduk kedua paling ramai di dunia itu.

Jika urus niaga itu menjadi kenyataan, ia adalah pengambilalihan pertama syarikat milik tokoh perniagaan T Ananda Krishnan itu sejak ia dijadikan syarikat persendirian dan digugurkan daripada penyenaraian di Bursa Malaysia pada 14 Jun lalu.
NDTV Lifestyle adalah firma penyiaran persendirian yang mengendalikan perniagaan seperti hiburan am dan penerbitan filem khususnya berkaitan gaya hidup. Ia juga mengendalikan NDTV Good Times, iaitu salah satu saluran televisyen utama di India.

Sumber berkata, pembelian itu akan menyediakan landasan kukuh kepada Astro untuk mengembangkan lagi pasarannya di India.

Astro memang sedang meninjau peluang pelaburan strategik dalam usaha menjadi pemain utama dalam industri penyiaran di rantau Asia yang mana antaranya adalah menerusi menjalinkan kerjasama di pasaran seperti India, Hong Kong dan China.

Sebagai permulaan, Lembaga Pengarah Astro sedang meneliti cadangan kerjasama di India yang dijangka mengambil sedikit masa sebelum membuat keputusan terbaik untuk kepentingan syarikat sebelum memuktamadkan pembelian tidak lama lagi, katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.
Katanya, Astro akan menggunakan syarikat pelaburan persendirian milik penuhnya yang ditubuhkan di Mauritius, iaitu South Asia Creative Assets Ltd bagi melaksanakan pembelian berkenaan.

Difahamkan, New Delhi Television Group memulakan rundingan penjualan saham dengan Astro itu selepas kegagalan dalam rundingan pertama dengan sebuah firma media terkenal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Scripps Networks Interactive Inc.

Dalam pada itu, New Delhi Television Group menerusi kenyataan kepada Bursa Saham Bombay kelmarin, mengesahkan ia sedang mengadakan rundingan pakatan strategik membabitkan perniagaan berkaitan keperluan gaya hidupnya dengan sebuah firma TV terkenal.

Cadangan menjalinkan pakatan strategik itu masih lagi di peringkat awal. Kelulusan daripada pihak berkuasa juga perlu diperoleh untuk meneruskan transaksi berkenaan yang mana permohonan untuknya sudah pun dibuat, katanya.

Astro tidak asing di India kerana syarikat berkenaan pada 2007 telah pun menjalin kerjasama dengan Sun TV Network Ltd (Sun TV) dan Kavery Kalanithi bagi membekalkan perkhidmatan televisyen satelit digital (DTH) terus ke rumah-rumah di India

No comments:

Post a Comment