Tuesday, August 31, 2010

Sime Darby rancang senarai unit perladangan

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/09/01


SIME Darby akan mengukuhkan operasi perladangan sebelum menyenaraikan entiti itu di pasaran saham.Konglomerat kaji inisiatif jana nilai di Bursa Malaysia, pasaran asing

SIME Darby Bhd yang minggu lalu mengumumkan cadangan penyusunan semula operasinya dengan membentuk enam entiti berdasarkan perniagaan terasnya, akan mengambil langkah pertama dengan menyenaraikan unit perladangannya dalam tempoh dua tahun ini. Sumber berkata, konglomerat itu sedang mengenalpasti beberapa peluang penyenaraian yang boleh menjanakan nilai unit perlada-ngannya itu, sama ada di Bursa Malaysia atau di pasaran saham asing. “Wujud peluang yang besar untuk unit perladangan Sime Darby sama ada di Indonesia atau di Malaysia bagi tujuan penyenaraian kerana (apabila disenaraikan) ia akan membantu kumpulan menjana nilai anak syarikatnya itu menerusi kepelbagaian aktiviti perniagaan sama ada dalam industri huluan atau hiliran, sekali gus membantu kumpulan mengekalkan momentum sumbangan daripada segmen perladangan,” katanya kepada Berita Harian.

Difahamkan, selain Bursa Malaysia, konglomerat itu turut mengenalpasti Bursa Indonesia sebagai lokasi bagi penyenaraian unit perladangannya.

Minggu lalu, Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Sime Darby, Datuk Mohd Bakke Salleh, ketika mengumumkan langkah itu pada satu sidang media berkata, antara cadangan penyusunan semula yang akan dilaksanakan bermula 1 Januari ini, ialah penyenaraian semula beberapa unit perniagaannya.

Sumber itu bagaimanapun berkata, penyenaraian itu akan direalisasikan sejurus selepas Sime Darby mengukuhkan kecekapan operasi entiti perladangannya.
“Kumpulan itu kini sedang sibuk memberi tumpuan terhadap mengukuhkan kecekapan operasi perniagaan perladangannya sama ada di Malaysia atau di Indonesia selain berusaha meningkatkan margin operasi loji pengeluaran minyak sawit mentah dan ladang.

“Selepas semuanya selesai kelak, mungkin tahun depan atau 2012, barulah kumpulan itu akan menimbang menyenaraikan entiti perladangannya itu di pasaran saham,” jelasnya sambil menambah kumpulan itu tidak akan menyenaraikan unit perladangan berkenaan secara terburu-buru sebelum memastikan hasil aktiviti perlada-ngannya itu berupaya menjana nilai yang konsisten kepada pemegang saham.

Kumpulan Sime Darby yang lahir hasil gabungan tiga ikon perladangan negara iaitu Sime Darby, Kumpulan Guthrie, dan Golden Hope pada November 2007, kini memiliki ladang seluas 524,626 hektar di Semenanjung, Sarawak dan Sabah serta di Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi, Indonesia.

“Sime Darby masih lagi belum menjadi peserta utama yang serius dalam aktiviti perniagaan hiliran.

“Justeru, dengan mengukuhkan kecekapan operasi unit perladangan yang ketika ini banyak memberi penumpuan kepada huluan itu, ia dijangka akan membantu kumpulan muncul peserta utama dalam industri itu di dalam dan luar negara,” kata sumber itu

No comments:

Post a Comment