Tuesday, August 31, 2010

MySpace seragam kemas kini laman web dengan Facebook

2010/09/01
MYSPACE kini membolehkan penggunanya menyeragamkan kemas kini laman masing-masing dengan Facebook.

Facebook kini adalah peneraju rangkaian sosial, mengambil alih tempat itu yang sebelum ini dikuasai oleh MySpace. “Fungsi penyeragaman baru ini sebahagian usaha berterusan kami menjadikannya lebih mudah untuk pengguna berkongsi kemas kini di luar MySpace dan membenarkan rakan atau peminat mereka berinteraksi dengan isi kandungan itu di seluruh web,” kata MySpace dalam kenyataannya semalam. MySpace, yang dimiliki oleh News Corporation sudah membenarkan penggunanya berkongsi kemas kini dalam bentuk komen, pemerhatian dan pendapat dalam laman perkhidmatan mikro blog, Twitter.

Arahan berkaitan cara untuk menyeragamkan perkhidmatan MySpace dengan Facebook boleh didapati pada pautan myspace.com/guide/sync.

Menerusi perkongsian ke dalam Facebook, pengguna MySpace boleh berkongsi muzik, video, permainan, gambar dan isi kandungan digital lain dengan rakan masing-masing di Facebook.

“Ini perkara menarik untuk jutaan pemuzik yang memiliki MySpace yang kini boleh melengkapi fungsi MySpace Music masing-masing dan berkongsi koleksi isi kandungan masing-masing,” kata MySpace.
Sejak diambil alih kedudukan penguasaannya oleh Facebook dua tahun lalu, MySpace berusaha menempatkan dirinya sebagai sebuah platform untuk pemuzik dan peminat mereka.

Facebook mempunyai kira-kira 500 juta ahli, manakala pengguna MySpace dilaporkan sebahagian daripada jumlah itu.

Eksekutif MySpace dalam persidangan Julai lalu melancarkan pelan untuk menjadi ‘lebih muda, lebih belia’ dengan meletakkan keutamaan terhadap ‘kreativiti dan ekspresi diri’.

Lebih banyak penekanan, contohnya akan diletakkan dalam MySpace sebagai destinasi permainan video kasual, seperti dibentangkan eksekutif terbabit. – AFP

No comments:

Post a Comment