Monday, August 9, 2010

Scomi tinjau bekal 200 bas bagi Melaka

2010/08/10
SCOMI Engineering Bhd, anak syarikat Scomi Group Bhd, meninjau potensi memperoleh kontrak bagi membekalkan 200 unit bas menerusi program memperbaharui dan menggantikan bas lama di bandar raya Melaka.

Presidennya, Syahrunizam Samsudin, berkata menerusi program itu kerajaan Melaka sudah memperuntukkan dana bernilai kira-kira RM36 juta bagi membiayai syarikat yang mahu menukar ganti bas lama mereka kepada bas baru yang lebih canggih. Katanya, pemerolehan kontrak bernilai RM2.4 juta bagi membekalkan 10 bas baru-baru ini menjadi asas kukuh kepada syarikat untuk membuktikan keupayaan menghasilkan bas yang berkualiti. Beliau berkata, program penggantian itu adalah untuk meningkatkan industri pelancongan Melaka, justeru, semua 10 unit bas Midi berukuran panjang sembilan meter akan direka khas dengan dua pintu berbanding satu pintu sebelum ini, selain reka bentuk yang canggih menggunakan teknologi terkini.

“Scomi memang meninjau untuk memperoleh kontrak bagi menggantikan kesemua bas itu, justeru kami perlu berusaha melakukan yang terbaik untuk kontrak 10 bas ini dan jika mereka berpuas hati berkemungkinan kami akan dianugerahkan dengan kontrak yang lain.

“Lawatan Exco kerajaan Melaka ke kilang Scomi, semalam, bagi meninjau proses pemasangan bas turut mewujudkan kerjasama erat di mana kami yakin mampu menyiapkan kesemua tempahan 10 bas menjelang Oktober ini,” katanya selepas lawatan Scomi Group ke Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di Kuala Lumpur, semalam.

Lawatan 14 kakitangan Scomi selama tiga jam itu diketuai Ketua Eksekutif Kumpulan Scomi, Shah Hakim Zain, diiringi Presiden Scomi International, Kanesan Veluppillai; Presiden Scomi Engineering Bhd, Syahrunizam Samsudin dan Ketua Kakitangan Kumpulan Scomi, Rohaida Ali Badaruddin.
Hadir sama meraikan lawatan itu ialah Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarang Kumpulan, New Straits Times Sdn Bhd, Datuk Syed Nadzri Syed Harun; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

No comments:

Post a Comment