Wednesday, August 18, 2010

TM, Sony anjur pertandingan fotografi sempena merdeka

19/08/2010 12:15pm


KUALA LUMPUR 19 Ogos – Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan kerjasama Sony Malaysia mempelawa rakyat Malaysia menyertai pertandingan fotografi sempena sambutan kemerdekaan negara ke-53.

Ketua Pegawai Pemasaran TM, Rozalila Abdul Rahman berkata, pertandingan itu, yang bermula Ahad lepas sehingga 9 September ini, diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai inti pati dan maksud di sebalik sambutan merdeka dan konsep 1Malaysia.

"Melalui pertandingan ini, kami berharap dapat membangkitkan semangat 1Malaysia di kalangan rakyat melalui kuasa fotografi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rozalila berkata, pertandingan itu juga terbuka kepada pelanggan TM dan Sony, di mana mereka yang berminat hanya perlu membeli kad panggilan prabayar iTalk dengan nilai minimum RM10 yang membolehkan mereka memuat naik gambar-gambar mereka di laman web pertandingan iaitu www.tm.com.my/ap/sony/Pages.contest.aspx.

"Setiap nilai RM10 kad panggilan prabayar iTalk ini melayakkan peserta kepada satu kemasukan, contohnya RM10 bagi 1 kemasukan, RM20 bagi 2 kemasukan dan seterusnya,” katanya.

Rozalila berkata, peserta hanya perlu mengisi borang penyertaan dengan maklumat peribadi mereka dan nombor 12 digit kad panggilan prabayar iTalk sebelum memuat naik gambar yang mesti bersaiz kurang daripada 500KB dan dalam format jpeg.

Mereka boleh memuat naik seberapa banyak gambar yang dikehendaki berdasarkan nilai kad iTalk dan setiap penyertaan hendaklah mengandungi elemen-elemen seperti logo atau produk TM dan Sony dan bendera kebangsaan.

Pemenang akan dipilih berdasarkan gambar paling kreatif yang menggabungkan ketiga-tiga elemen itu dan memaparkan semangat 1Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan itu, peserta boleh melayari www.tm.com.my. – Bernama

No comments:

Post a Comment