Wednesday, August 4, 2010

Al Rajhi tawar perbankan mewah

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/08/05
Pusat sehenti pembiayaan, pelaburan khusus golongan berpendapatan tinggi

AL RAJHI Bank Malaysia Bhd akan menubuhkan pusat perbankan mewah pertamanya di Malaysia yang menawarkan semua perkhidmatan perbankannya termasuk deposit, pembiayaan dan pelaburan khusus untuk pelanggannya dari kalangan golongan berpendapatan tinggi. Naib Presiden Kanan Pembiayaan Peribadi Bahagian Perbankan Runcitnya, Ronnie Chai Ching Beng, berkata pusat perbankan sehenti itu akan dibuka di Bangsar Shopping Centre di Bangsar Kuala Lumpur Oktober ini. Katanya, bank itu memperuntukkan pelaburan yang besar bagi membuka pusat berkenaan bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan dari golongan berkenaan melaksanakan pelbagai urusan perbankan mereka.

“Kami tidak dapat menyatakan jumlah pelaburan untuk cawangan baru itu, tetapi ia adalah tanda komitmen kami untuk bertapak kukuh di Malaysia.

“Pembukaan pusat perbankan mewah itu nanti adalah tambahan daripada perancangan kami untuk membuka dua hingga tiga cawangan baru tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah utama bagi promosi Pembiayaan Peribadi bank itu di Kuala Lumpur, semalam.

Di bawah promosi itu, Al Rajhi menawarkan 20 hadiah utama termasuk televisyen 55 inci kepada pemenang bertuah yang membuat pembiayaan lebih RM20,000 sepanjang tempoh promosi dari Mei hingga Jun lalu.
Sementara itu, Chai berkata bank itu kini berada pada landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan aset pembiayaan peribadi sebanyak 60 peratus akhir tahun ini.

Setakat ini, katanya nilai aset pembiayaan peribadi bank itu sudah pun mencecah lebih RM1 bilion daripada RM980 juta akhir tahun lalu.

Beliau berkata, pertumbuhan itu akan dirangsang pengenalan pelbagai produk pembiayaan peribadi baru selain pembukaan lebih banyak cawangan dan pusat perbankan.

Katanya, langkah memperkenalkan produk pembiayaan peribadi sesuai dengan musim perayaan juga akan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan aset pembiayaan peribadi itu.

“Kami menerima sambutan menggalakkan bagi produk pembiayaan terbaru kami, Red Hot Raya, yang mana sebagai penghargaan kami memberikan pelanggan wang tunai segera sebanyak satu peratus daripada nilai pinjaman yang diluluskan,” katanya

No comments:

Post a Comment