Tuesday, August 17, 2010

Pharmaniaga mahu teroka dua negara

2010/08/18
Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my

PHARMANIAGA Bhd menyasarkan untuk mengembangkan pasarannya ke Thailand dan Myanmar menjelang separuh kedua tahun depan. Pengarah Urusannya, Mohamad Abdullah, berkata Thailand dan Myanmar adalah pasaran eksport baru berpotensi untuk syarikat itu berdasarkan kepada kurangnya persaingan dan permintaan yang tinggi terhadap produk perubatan dan generik di negara terbabit.

Beliau berkata, permintaan bagi produk perubatan dan generik sentiasa meningkat setiap tahun dan syarikat berharap penerokaan pasaran eksport baru dapat membantunya meningkatkan lagi sumbangan eksport kepada pendapatan keseluruhan syarikat yang kini sekitar 13 peratus.

“Kami dalam proses mendaftarkan produk kami di negara terbabit dan proses pendaftaran produk kebiasaannya mengambil masa sehingga dua tahun,” katanya pada taklimat media di Puchong, Selangor, semalam.

Pharmaniaga ialah antara syarikat penjagaan kesihatan tempatan bersepadu terbesar yang mana perniagaan terasnya termasuk pengilangan produk farmaseutikal generik dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penyediaan gudang simpanan dan pengedaran produk farmaseutikal dan perubatan.
Syarikat milik Boustead Holdings Bhd itu turut membekalkan kelengkapan perubatan dan hospital untuk pasaran tempatan dan eksport.

Pasaran eksportnya ketika ini ialah Indonesia dan Vietnam. Ia turut mempunyai pejabat pemasaran di kedua-dua negara itu.

Dalam tempoh suku kedua berakhir 30 Jun 2010, Pharmaniaga mencatatkan kemerosotan keuntungan sebelum cukai 16.5 peratus kepada RM20.3 juta daripada RM24.3 juta dicatatkan suku sama tahun lalu.

Pendapatannya bagaimanapun meningkat 5.1 peratus kepada RM350.3 juta daripada RM333.2 juta tahun lalu.

Mohamad berkata, untuk baki tahun ini, syarikat itu menjangkakan meraih pendapatan dan keuntungan lebih tinggi dibantu usaha dan strategi meningkatkan pengeluaran dan pasaran produknya.

Katanya, syarikat juga optimis dengan pertumbuhan industri farmaseutikal antara lapan hingga 10 peratus setahun.

“Kami merancang membangun dan memperkenalkan 92 produk baru untuk lima tahun akan datang sebagai tambahan kepada kira 60 produk yang kami ada sekarang,” katanya.

No comments:

Post a Comment