Sunday, August 29, 2010

Tune Hotels sasar London

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2010/08/30
Syarikat rancang buka 15 hotel di United Kingdom menjelang 2015

TUNE Hotels menyasarkan membuka sehingga 15 hotel di United Kingdom (UK) menjelang 2015 sebagai antara strategi pengembangan pasaran kumpulan itu di luar negara. Kumpulan itu membuka operasi sulung hotelnya di negara berkenaan pada Jumaat lalu, sekali gus secara keseluruhannya menjadi hotel ke-10 sejak ia mula beroperasi di Kuala Lumpur pada 2007. Hotel pertama Tune Hotels di kota London itu terletak di Westminster Bridge Road, berhampiran stesen Waterloo dan berdekatan pusat kebudayaan London, South Bank.

Selain London, Tune Hotels kini mempunyai tujuh hotel di Malaysia dan dua di Bali, Indonesia.

Tune Hotels dalam kenyataannya berkata, kadar penginapan hotel terbarunya itu bermula pada harga £35 (RM171) dan ia dibangunkan berasaskan struktur harga tambang syarikat penerbangan tambang murah yang mana harga bilik ditawarkan pada kos lebih rendah tetapi mempunyai kelengkapan asas bermutu setanding hotel lima bintang.

“Sama seperti syarikat penerbangan tambang murah, tetamu dinasihatkan membuat tempahan awal di laman web bagi mendapatkan kadar penginapan lebih rendah pada harga promosi bermula £9 (RM44) semalam,” katanya.
Sebagai tambahan kepada katil kelas lima bintang seperti yang digunakan di hotel bertaraf lima bintang, tetamu Tune Hotels London juga mendapat jaminan keselamatan menerusi penggunaan kad kunci elektronik, kawalan keselamatan menerusi CCTV dan orang luar tidak boleh memasuki lobi tanpa kad elektronik selepas tengah malam.

Ketua Eksekutif Kumpulan Tune Hotels, Mark Lankester, berkata pembukaan hotel itu adalah satu pencapaian bagi Tune Hotels sejak pembukaan hotel pertamanya tiga tahun lalu.

“Ini perkembangan menarik dan ia menunjukkan konsep perkhidmatan ‘bayar ke atas apa yang digunakan’ diterima baik di seluruh dunia,” katanya.

Lankester berkata, Tune Hotels bercadang mempunyai 1,500 bilik hotel di kota London menjelang 2017 menerusi 15 hotel miliknya di United Kingdom.

Tune Hotels di UK dikendalikan menerusi kerjasama strategik dengan Queensway Group Ltd, sebuah kumpulan pelaburan berpangkalan di negara itu yang menguruskan aset perhotelan di UK, Eropah dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

No comments:

Post a Comment